calendar
<< February 2008 >> | ||||||
Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
01 | 02 | |||||
03 | 04 | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 |
10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 |
17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 | 23 |
24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 |
categories
contact
cReditS
Pengarang : Ramlah Rasyid
Halaman : 559
Tahun : 2007
Terbitan : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM19.90
Blurb:
Lewat perkenalan di ruang skrin alat telekomunikasi yang canggih itu, membibitkan perasaan sayang Qhalida Qaseh terhadap si dia yang digelar B. Qhalida sendiri sebagai D, nama pengganti dirinya. Hanya SMS sebagai pengantara hubungan mereka. Bagaikan wujud keserasian hinggakan mereka memeterai pertunangan di alam siber dengan cara sendiri.
Seperti yang dijanjikan, setelah beberapa bulan barulah mereka bersedia untuk saling bersuara dan bersua muka. Biar bagaimanapun rupa dan bentuk, mereka tetap menerima kelebihan dan kelemahan masing-masing. Ternyata perjumpaan itu mengeratkan lagi kasih antara mereka.
Namun, kenangan semalam kembali bertamu, ketika Qhalida Qaseh bersama temannya Nabil bertemu dengan Tengku Qaisy Iskandar, tidak disangkanya Tengku Qaisy Iskandar sebenarnya adalah B, kekasih dan tunangnya di alam maya.
Saat itu, Qhalida Qaseh terkenangkan zaman kanak-kanak mereka. Tengku Qaisy Iskandar sering membuli dan menyuruh Qhalidah Qaseh melakukan sesuatu yang tidak disukainya. Disebabkan status yang berbeza Qhalida Qaseh menurut segala kemahuan Tengku Qaisy Iskandar biarpun hatinya terluka. Tengku Qaisy Iskandar merupakan anak majikan ibunya, Puan Maimon yang bekerja sebagai pembantu rumah keluarga kaya Tengku Nazim Shah dan Puan Satirah.
Qhalida Qaseh merasakan seperti dipermainkan. Lalu rasa cinta pada lelaki itu cuba disingkir dan perasaan benci dipupuk. Rasa kasih dan cinta bercampur dendam serta benci yang dibajanya membuat Qhalida Qaseh berasa sedih. Hatinya juga tidak senang tetapi sengaja berbuat tegar dan ego. Tengku Qaisy Iskandar berusaha meleraikan segala kekeliruan dan salah faham demi cintanya terhadap Qhalida Qaseh.
Tetapi, darjat keturunan menghalang penyatuan cinta Qhalida Qaseh dan Tengku Qaisy Iskandar. Apakah takdir yang menjurangi kisah mereka? Darjat keturunan? Nama atau kedudukan?
Bukan mudah memadam kenangan semalam, tidak semudah melewati kebahagian yang berlalu.
******
Qaseh Qaisy – kisah cinta dua darjat, apabila si Tengku bertemu dengan orang kebanyakan iaitu kerabat diraja yang jatuh cinta dengan rakyat biasa.
Sebagaimana yang dijangkakan… percintaan antara Qhalida Qaseh dengan Tengku Qaisy Iskandar mendapat tentangan dari keluarga terutamanya keluarga Tengku Iskandar yang mahukan Tengku Iskandar mengahwini Tengku Zurin yang sama darjat dengan mereka – keturunan diraja.
Sebagai anak, Tengku Iskandar harus tunduk pada keputusan Ayahandanya Tengku Nazim Shah. Sebagai kekasih, dia ingin memberikan yang terbaik buat 'princess' hatinya. Antara keinginan hati dan kemahuan keluarga, Tengku Iskandar tersepit dalam membuat pilihan.
Qaseh Qaisy adalah kisah tentang keperitan yang terpaksa diharungi oleh Tengku Iskandar dalam mempertahankan cintanya pada Qhalida Qaseh apabila darjat yang menjadi ukuran.
Qaseh Qaisy adalah kisah tentang pengorbanan Qhalida Qaseh dalam membuktikan cintanya terhadap Tengku Iskandar, yang seringkali membuatkan hidupnya berendam airmata.
Pendek kata Qaseh Qaisy adalah kisah uda dan dara yang menempuh pelbagai cabaran dalam mempertahankan cinta antara dua darjat.
Aku membaca Qaseh Qaisy kerana ia hasil karya Ramlah Rasyid. Dengan gaya bahasa yang mudah dihadam oleh pemikiran aku, aku dapat menghabiskan bacaan ini dalam masa 2 hari (sebab seringkali diganggu 'iklan' aka anakandaku). Usai membaca Qaseh Qaisy apa yang dapat aku simpulkan… okay la sebagai bacaan santai buat mereka yang gemarkan kisah cinta uda dan dara.
Pengarang : Zuraidah Othman
Halaman : 480
Tahun : 2008
Terbitan : CESB
Harga : RM22.90
Blurb:
Pelangi cinta yang kita titi bersama itu adalah rindu yang kupintal tatkala kehilanganmu
Sepuluh tahun lalu AJ pergi meninggalkannya bersama untaian janji yang tidak pernah tertunai. Dia menyakinkan diri bahawa AJ hanya sebahagian daripada mimpi. Tidak mungkin hadir di alam realiti. Dendam dan benci kesumat kak long menolak dirinya semakin jauh dari hidup AJ hinggakan terlalu sukar untuk dia menjejaki lelaki itu. Biarpun rindu terhadap lelaki itu masih berdenyut namun… terlalu mengharapkan keajaiban berlaku bukan dia orangnya.
Dalam parah membelai rindu, dalam pedih membuang onak angkara kak long dan dalam kepayahan menggapai kasih ibu, tiba-tiba pada satu subuh yang indah, lelaki itu hadir merawat luka…
*****
Suci Wajah Rindu adalah karya terbaru Zuraidah Othman terbitan Creative Enterprise. Kisah tentang Fitrah Najwa yang tidak mendapat layanan yang sewajarnya dari ibu kandungnya sendiri ekoran ulah dari Farah Hani – kak longnya. Layanan yang berat sebelah dari ibu, menyebabkan Najwa rasa tersisih dan terpinggir. Walaubagaimanapun kasih sayang dari bapanya, menyingkirkan jauh-jauh rasa berjauh hati Najwa pada si ibu.
Karenah kak long yang seringkali mencari peluang untuk 'menyusahkan' Najwa menyebabkan Najwa merasa rendah diri. Najwa sering dijadikan 'korban' dan 'kambing hitam' oleh kak longnya. Bahkan AJ – lelaki yang berjaya mencuit hati remajanya juga menyingkir jauh dari hidupnya akibat angkara kak longnya. Sudahnya, dia hanya pasrah pada takdir namun dia tetap percaya, di suatu ketika nanti sang Arjuna hati pasti muncul merawat hatinya yang luka & sengsara.
Pada aku, buah tangan terbaru Zuraidah Othman ini sama sekali tidak menghampakan kerana ia mampu membuatkan aku terpaku menatap bait demi bait ayat, helaian demi helaian mukasurat hinggalah ke noktah yang terakhir tanpa sedikitpun rasa bosan. Bahkan aku seakan tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku selanjutnya. Pendek kata aku suka dengan Suci Wajah Rindu ini.
Sebuah kisah tentang ketidakprihatinan si ibu dalam membahagikan kasih sayang terhadap anak-anak. Sebenarnya tidak mustahil kemelut ini memang ada berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Suci Wajah Rindu menyebabkan aku jatuh kasihan pada nasib yang menimpa Najwa. Malah aku jadi benci dan menyampah dengan ulah & karenah Farah Hani.
Buat Penulis… Tahniah.!! kerana telah berjaya membuatkan koleksi novel aku bertambah lagi satu.
Pengarang : Emma Maizura
Halaman : 522
Tahun : 2008
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM19.90
Blurb:
Mereka ditakdirkan lahir sebagai pasangan kembar seiras. Walaupun dari segi lahiriah tiada bezanya, tapi batiniah mereka tidak sekata. Adlyna seorang gadis yang langsung tidak takut pada halangan sehinggakan apa yang diingini mesti dikota. Bagi Adreena pula, dia seorang yang lembut hati dan mudah mengikut kata. Lantaran, dia sering dipersendakan oleh kakak kembarnya.
Adlyna hebat di pentas peragaan. Kerlipan cahaya yang sering menyimbahi tubuhnya menyebabkan dia seperti berada di awang-awangan. Sehingga, dia nekad meninggalkan majlis perkahwinan di saat-saat akhir demi memenuhi tuntutan hatinya. Akibatnya, Adreena yang terpaksa menjadi korban saudara sendiri.
Keterpaksaan Syukri dan Adreena menjadi pasangan suami isteri menyebabkan hubungan itu bergantung tidak bertali. Tiga tahun mereka melayari bahtera yang tiada nakhoda, dan selama itu semuanya menjadi rahsia. Indah di mata orang tapi derita di hatinya.
Kesetiaan Adreena dicabar dan diasak-asak. Sampai bila dia harus berdiri dan terima segalanya dengan redha? Ya… selagi ada cinta di hati, dia harus lakukan sesuatu biar apa jua natijahnya.
Dia sering diterjah dengan pepatah, 'air dicincang takkan putus.' Tapi, di mana kebenaran kata-kata itu kalau hatinya sering disiat-siat dan dilapah tiap ketika? Dan bagaimana dengan Adlyna? Bahagiakah dia setelah mencipta duka?
*****
Ada cinta di hati (ACDH) adalah karya pertama Emma Maizura yang aku baca. Kisah tentang pasangan kembar seiras yang hidup dalam dua dunia yang berbeza. Adreena dan Adlyna dilahirkan kembar seiras tetapi sifat dan sikap mereka jauh berbeza. Pertama kali membaca aku teringatkan kisah pasangan kembar Viviana Lisa (Lisa) & Vanisha Aini (Eisha) dalam Kesturi karya Fatinilam Sari terbitan CESB, cetakan pertama tahun 2001 yang aku baca lama dulu.
Kisah tentang pergolakan yang berlaku dalam hidup Adreena yang sering menjadi 'mangsa' kakaknya Adlyna, lantaran sifatnya yang lembut hati dan menurut kata dalam kata lain tidak pandai nak membantah. Sehinggalah ke satu tahap di mana kebahagiaan hidupnya menjadi taruhan.
Lantaran ingin mengejar glamour dan kegemilangan dalam dunia modeling, Adlyna nekad menghilangkan diri di saat-saat akhir tarikh pernikahannya menyebabkan Adreena terpaksa menjadi 'bidan terjun' menggantikan kakaknya, sebagai pengantin walaupun hati tidak rela melakukannya.
Bermula dari saat itu, hidup Adreena penuh liku. Apatah lagi Syukri yang 'marah' dengan tindakan Adlyna menjadikan Adreena sebagai tempat untuk melepaskan geramnya dengan menjatuhkan hukum 'gantung tak bertali' pada Adreena.
Bagaimana nasib Adreena & apa kesudahan rumahtangganya bersama Syukri? Adlyna – tenteramkah hidupnya apabila menjadikan nasib & masa depan adiknya sebagai taruhan? Semuanya akan terjawap apabila anda membaca karya ini.
Pada awalnya aku frust jugak… tapi bila dah mula baca dan aku dah dapat 'rentak'… aku mula tertarik!! Hey not bad..!! Walaupun pada awalnya jalan cerita seakan sama... tapi jangan terkeliru, ada kelainan yang diketengahkan oleh penulis. Sampailah ke mukasurat terakhir… hmmm interesting!! Well done buat penulisnya Emma Maizura.
PS: Ini sekadar apa yang aku rasa... tak semestinya korang akan sependapat dengan aku.!!
Pengarang : Hlovate
Halaman : 495
Cetakan : Januari 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
cinta itu, jatuh dari langit atau jatuh dari hati? ~ Addin
Inilah... sebuah kisah perjalanan; perjalanan bersama masa; perjalanan cerita aA + bB. Semua orang belajar, semua orang membesar; tetapi tidak semua orang menjadi dewasa. Selagi hidup bersama masa, maka selagi itu juga yang hidup itu dewasa bersama usia.
Addin mengemukakan teorinya begini:
1. membesar dan belajar dengan pengetahuan serta pengalaman adalah suatu cabaran
2. membesar dan belajar tentang hidup serta mengenal diri sendiri adalah suatu hakikat yang tidak dapat dielak
7 tahun kemudian...
Apa yang terjadi apabila doktor dipaksa berkahwin dengan jurutera, yang bukan pilihan hatinya?
Apa yang terjadi kalau sang kepala batu dan sang keras kepala itu harus tinggal sebumbung?
Cerita 'cinta' antara Addin dan Benz, tidak semudah A + B = Aman Bahagia. Ini kerana sejarah mereka bermula lebih awal dari itu. Mereka pernah saling membenci, saling mendendam dan saling membisu sejak zaman sekolah...
Siapa aku pada dia? A pal? A room-mate? A brother? Never a husband? ~ Benz
Setelah 5 Tahun 5 Bulan dan Gurindam Jiwa: Schubert's Serenade, Hlovate kembali mengasah penanya dengan trademark:
Hlovate kembali dengan cerita yang lain dan rasa yang berbeza tetapi tetap dengan bahasa santai yang segar.
aA+bB seunik judulnya… begitu juga dengan ceritanya, mampu membuatkan hati aku terhibur. Kisah tentang aA (Addin) dan bB (Benz Alif). Kisah tentang 'perkahwinan paksa' mereka yang diharapkan agar hidup aA (Aman) dan bB (Bahagia) oleh ahli keluarga terutama kembar Addin – Kucai.
Kisah tentang perjalanan hidup Addin dan Benz Alif yang membesar dari a+b – zaman remaja, kepada A+B – zaman dewasa. Pelbagai rencah yang mereka tempuhi dari seawal di bangku sekolah hinggalah ke alam rumahtangga yang penuh cabaran.
Perkahwinan Addin dengan Benz lelaki yang dimusuhinya sedari zaman persekolahan, tanpa rasa cinta..? menyebabkan rasa geram dan benci Addin pada Benz terus menapak di hati walaupun mereka telah berkahwin.
Perkahwinan tanpa rela, menyebabkan rumahtangga yang dibina suram dan hambar. Segala ketidakpuasan hati Addin, 'rasa hati' Addin terhadap Benz, hanya Aie - jejaka yang dikenali tatkala Addin sesat di tanah Leiden – yang bisa membuatkan Addin tanpa sedar membuka mulut untuk bercerita.
Bagaimanakah kesudahan rentetan hidup Addin bersama Benz? Mampukah dipertahankan mahligai yang dibina atas dasar paksa walaupun suatu ketika dahulu Addin pernah menyimpan rasa hati yang 'suka' pada ex-taiko sekolah itu? Segalanya hanya terjawap tatkala anda membaca naskah terbaru dari Hlovate ini.
Usai membaca karya terbaru Hlovate ini, aku tersenyum puas.!! kerana :-)
1. Ia membuatkan aku membaca hingga ke noktah terakhir tanpa sedar
2. Perasaan aku tenang & tiada 'insiden' yang buat jantung aku berdegup kencang
3. Tiada perasaan tidak puashati pada setiap kejadian malah kadang kala aku turut terbuai sama… so sweet!! – part mana ?? korang kena baca sendiri lah..!!
4. Banyak info berguna yang diselitkan buat peringatan berguna untuk aku.
5. Banyak lagi… tapi korang kena nilaikan sendiri lah ;-)
So, buat pembaca yang pernah membaca karya Hlovate tidak kira 5T5B, Shubert's Serenade (Gurindam Jiwa) mahupun setiap e-novel beliau… aku pasti korang akan terhibur dengan aA + bB ini.
Pengarang : Kamsiah Abu
Halaman : 635
Tahun : 2007
Terbitan : Tintarona Publication Sdn Bhd
Harga : RM26.00
Blurb:
"kutemani tidurmu dengan rinduku, kurawat lukamu dengan cintaku"
Natasha dan Zaimir setia membajai cinta pertama. Segalanya bagaikan sempurna.
Natasha berkelana meneruskan kehidupan. Hatinya tawar untuk menerima sebarang cinta lain. Baginya, Zaimir tiada taranya. Cinta Zaimir terlalu agung sehingga tiada siapa yang mampu menandingi. Tetapi haruskah dia menyisihkan setiap cinta yang hadir?
Natasha bertambah keliru apabila jodohnya dengan Firdaus – lelaki yang tidak pernah dikenali sama sekali – diatur oleh kedua-dua orang tuanya. Tiada daya lagi Natasha menolaknya.
Dilema hati yang resah bertambah kusut apabila sekali lagi Natasha diuji dengan kehadiran lelaki yang persis Zaimir. Iskandar jejaka kacak yang sudah beristeri seakan sengaja pula mencuri peluang. Sesekali Natasha terbuai oleh kenangan silam yang sering bertandang, apatah lagi dalam terpaksa dia juga harus berdampingan dengan Iskandar.
Perjalanan cinta Firdaus memburu mahligai kasih bersama Natasha bertambah rencam apabila dia sering diuji dengan pelbagai dugaan. Teka-teki di sebalik jalinan cinta Firdaus dan Natasha mengundang pelbagai prasangka kawan… juga lawan! Pengertian cinta Firdaus hanya mampu ditafsir Natasha, kerana jawapan kepada syurga idaman ada ditangannya.
******
Menggamit Syurga Firdaus berkisah tentang Natasha yang hampir nanar kehilangan orang tersayang yang terlibat dalam kemalangan. Kehilangan yang hampir meragut kewarasan seorang Natasha. Namun dengan sokongan dan dorongan keluarga serta Rina dan Hariz ~ teman rapatnya… Natasha berjaya bangkit walaupun dengan seribu kepayahan.
Mendapat peluang kerja di tempat baru, Natasha meniti hari-hari muka dengan tabah namun layanan dan perhatian Michael Tan, pegawai yang menjadi bosnya, sering membuatkan hati Natasha tidak keruan. Walaubagaimanapun ingatan terhadap arwah Zaimir telah menutup seluruh pintu hati Natasha terhadap sebarang hubungan yang serius dengan sebarang lelaki. Namun segala-galanya menjadi berantakan tatkala ibu bapanya menerima risikan dari Mohd Firdaus anak kepada jiran sekampung dan sekaligus menjadikan Natasha bertambah keliru dengan perasaannya.
Sebagai anak yang patuh, Natasha menerima takdir yang mendatang dan menerima Mohd Firdaus atas alasan tidak mahu menjadi anak derhaka tanpa mengetahui siapa sebenarnya Mohd Firdaus. Perjalanan hidupnya bertambah celaru pabila rahsia siapa sebenarnya Mohd Firdaus terbongkar.
Natasha mengambil keputusan drastik meletak jawatan dan bekerja di tempat baru iaitu sepejabat dengan Hariz. Di sini dia dipertemukan dengan Iskandar yang mempunyai wajah mirip arwah Zaimir… yang kadangkala membuatkan hatinya goyah dengan kenangan silam.
Dalam mengharungi dugaan demi dugaan… mampukan Natasha hidup bahagia?? Siapa sebenarnya Mohd Firdaus yang menjadi tunangan Natasha?? Dapatkah diterima Mohd Firdaus sebagai seorang suami dengan penuh keikhlasan tanpa bayangan arwah Zaimir?? Dan Iskandar, mampukah Natasha melawan rasa hati tatkala memandang Iskandar, telah menggamit kenangan semalam yang
Usai membaca Menggamit Syurga Firdaus… aku menghela nafas lega.!! Haaah!! Pada aku ia sebuah cerita yang menarik dan berjaya membuatkan aku membacanya hingga ke helaian terakhir tanpa henti. Kamsiah Abu telah berjaya membuatkan aku berminat untuk mengetahui kesudahannya hingga ke noktah yang terakhir.
Cuma kadang-kala kesilapan ejaan dan penggunaan sengkang di tengah-tengah ayat yang berlaku di awal pembacaan, sedikit sebanyak telah mengganggu tumpuan aku. Pada aku, kesilapan sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam kadar yang amat ketara.! Walaubagaimanapun aku harus juga memberi kredit pada penulis yang telah berjaya menghasilkan satu lagi karya yang telah menarik minat membaca aku. Syabas.!!
PS: tapi aku harus ingatkan pada anda pembaca sekalian... ini hanya sekadar apa yang aku rasa... kerana minat kita tak sama! Mungkin anda tidak suka dengan apa yang aku baca..
Next Page |