calendar
<< April 2008 >> | ||||||
Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
01 | 02 | 03 | 04 | 05 | ||
06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 |
13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 |
20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 | 26 |
27 | 28 | 29 | 30 |
categories
contact
cReditS
Pengarang : Nurul Syahida
Halaman : 351
Tahun : 2008
Terbitan : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM16.90
Blurb:
Aku tidak mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang hanya berpuas hati dengan kesederhanaan. Aku ingin menjadikan hidup aku lebih dari itu.
Maksud saya, kawan-kawan Ana terdiri daripada gadis-gadis yang… macam Ana. Tapi awak tak macam dia. Tak ada beg jenama LV atau bersolek MAC atau berbau minyak wangi Carolina Herrera. You're like a Plain Jane berbanding mereka semua.
Kau gila Kis? Esok ada lima kelas! Tak penat ke? Hati aku menjerit. Tapi kenapa nak dengar kata hati? Baik dengar kata Zaniel. Zaniel sepuluh kali lebih kacak dari hati aku.
Kadang-kadang kita perlukan drama untuk menambahkan rencah dalam cerita yang bakal kita ulang kepada anak cucu. Khir adalah 'bunjut dalam sup' hidup aku ini, ia menambah rasa, namun bukan untuk ditelan!
Awak ikut protokol dan awak rasa memberitahu saya yang awak cintakan saya dan mendapat pengesahan yang saya cintakan awak adalah cara bercinta yang ideal. Kadang-kadang kita tak perlu menyebut 'Saya Cintakan Awak' untuk memberitahu seseorang yang memang kita cintakan dia. Cukup hanya dengan menunjukkannya, mengambil tahu, memahami.
Aku tidak perlukan fantasi itu. Semudah itu untuk menjadi diriku.
* * * * * *
Plain Jane kisah tentang Siti Nurbalkis Bt Sulaiman, Pelajar Jurusan Psikologi di universiti tempatan. Kisah tentang seorang gadis yang ~kalau boleh dikatakan~ mengalami 'krisis identiti', yang hidup dalam 'dunia' yang biasa-biasa ~pada pandangan mata Ana & 'wannabes group'~ tetapi mula mengalami perubahan yang dia sendiri tidak sedar atau buat-buat tak sedar setelah berkenalan dengan Zaniel seorang 'businessman' yang berjaya. Zaniel yang 'somebody', yang semua orang ingin mendampinginya.
Segala-galanya nampak sempurna pada pandangan Balkis. Namun tanpa dia sedari dia mula kehilangan sahabat baiknya Tengku Aklilee aka Lilee bahkan dia mula bersikap 'biadab' terhadap ahli keluarganya. Semuanya gara-gara Zaniel yang dicintainya. Dia sanggup berubah daripada seorang 'ugly duckling' kepada 'beauty swan' semata-mata untuk memenuhi kehendak Zaniel, 'Mr Darcy'nya.
Bagaimana kesudahan nasib Balkis, jawapannya ada dalam novel ini.
Apa yang aku suka tentang buku ini adalah gaya penulisan penulisnya. Kalau nak dirujuk pada 'isi'nya, Plain Jane ini biasa-biasa saja persoalannya. Iaitu kisah cinta si gadis di alam remaja/belia. Tapi cara Nurul Syahida menggarap cerita ini amat menarik pada aku. Dari interpretasi watak Balkis yang 'Plain' hinggalah pada falsafah hidupnya yang bersahaja namun jelas unik dan menarik. Dari seorang gadis yang terlalu sensitif pada BMI (Indeks Purata Badan) hinggalah pada sensitiviti ejaan namanya antara Q dan K.
Walaupun persoalan yang 'biasa' sahaja, tapi Nurul Syahida telah berjaya mengikat aku hingga ke noktah terakhir. Sangat menarik dan sesuai untuk bacaan santai kerana ketebalannya mampu membuatkan aku dapat menghabiskannya dalam masa satu hari.
Menarik..!! (itulah ayat aku untuk kali ini) cubalah baca.
Pengarang : Puteri Andalas
Halaman : 741
Tahun : 2008
Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM24.00
Blurb:
"Seumpama bayang-bayangku sendiri… ingatan kepadamu kasih… tetap mengekori ke mana sahaja aku pergi"
Luahan Sharina…
" Aku mencintai Asnawi…
Bagaikan aku memiliki pelangi
Tanpa aku sedari
Pelangi mengundang tsunami di hati
Mengenali Reshidi
Rasa kasih menjelma kembali
Digagahi hati… cuba menafi
Kerana Reshidi masih beristeri
Onak melilit hidupku
Duri merodok hatiku
Namun kerana kejora hati
'Atim' amanah ilahi
Aku bangun menggagahi diri
Tekad di hati
Cahaya akan kuburu dan kucari
Bukan lagi pelangi atau tsunami…"
Berjayakah Sharina ?
* * * * *
Cinta Seindah Madah, satu lagi karya terbitan Kaki Novel hasil tulisan penulis yang berpengalaman Puteri Andalas. Novel kedua bersama Kaki Novel ini memperlihatkan kematangan kak Puteri dalam menggarap cerita dan bermain kata.
Kisah tentang Sharina yang telah di'buta'kan oleh cinta Asnawi - yang dikenali tatkala keluarganya bercuti di Tasik Country Villas, Serdang - nekad menurut kata hati, berkahwin dengan Asnawi walaupun mendapat tentangan dari kedua-dua orang tuanya. Sementelah dia baru mendapat keputusan peperiksaan dan teman-teman seperjuangan sedang sibuk mengisi borang ke IPTA. Sharina rela melupakan hasratnya untuk menyambung pelajaran di universiti tempatan.
Dengan janji untuk menyambung pelajaran di US di samping Asnawi di sisi, walaupun berat hati, Long Mat Shah & Long Shaaba terpaksa melepaskan anak tersayang. Kemahuan anak tersayang diturutkan jua dengan hati yang berat dan berbelah bahagi.
Pelangi yang dikejar namun tsunami yang mendatang, memaksa Sharina pulang ke tanahair tanpa segulung Ijazah yang dijanjikan tetapi "Atim" yang dibawa pulang. Dengan semangat dan azam untuk melupakan sejarah semalam yang sepahit hempedu, Sharina bangkit. Walaupun tidak berjaya menyandang gelaran Doktor, namun 'Misi' Sharina sudah memadai setelah apa yang berlaku pada dirinya.
Cabaran sebagai ibu tunggal penuh dugaan. Bersama si anak yang keletah, si kecil yang petah bersuara, yang sering mengundang ceria membuatkan Sharina tegar berusaha. Perkenalan si Atim dengan Lan, rakan seusia di satu rancangan 'talk show sempena Raya' membuatkan hidup Sharina mula berubah. Komplot kedua-dua orang tuanya bersama kak Rahimah untuk menemukan 'jodoh' Sharina dengan Dr Taufik menambahkan lagi kemelut di hati Sharina.
Perkenalan tanpa sengaja dengan Reshidi - bapa si Lan yang polos - di satu acara sukaneka sekolah, ditakdir pula mereka menetap di kejiranan yang sama dan anak-anak berkongsi taman permainan yang satu, membuatkan hidup Sharina bertambah berselirat.
Pelbagai badai yang mendatang, pelbagai masalah yang dihadapi, berjayakah Sharina menghadapi setiap kemelut yang melanda diri? Semua jawapannya ada dalam novel ini.
Apa yang aku rasa?? aku suka dengan cerita kak Puteri kali ini. Sebuah kisah kekeluargaan yang memperlihatkan kematangan beliau dalam menggarap cerita dan bermain dengan emosi pembaca. Aku suka dengan watak Atim & Lan... sungguh 'hidup'. Aku tidak hairan kalau ada yang akan menjadikan 2 watak kanak-kanak ini sebagai 'watak utama' kerana mereka yang menjadi nadi dalam cerita ini.
Aku juga suka dengan cara kak Puteri ber'cerita' tentang kejadian yang berlaku pada Sharina di US dengan cara 'flashback'. Menjadikan cerita ini pada aku tidak terlalu meleret-leret.
Selain dari itu, aku suka dengan watak Reshidi yang penyabar, terutamanya di waktu dia harus menangani masalahnya dengan Marhanie mummy si Lan yang ada kalanya menggugat kesabarannya.
Sebuah kisah yang santai dan bersahaja. Namun terdapat kesilapan suntingan sana-sini membuatkan penumpuan aku kadang-kala tergugat. Walau bagaimanapun keseluruhan cerita, aku terhibur. Tahniah buat kak Puteri yang telah berjaya mengikat aku untuk menyelusuri perjalanan hidup Sharina hingga ke noktah akhir tanpa aku sedar.
Ini sekadar apa yang aku rasa. Mungkin anda tidak akan bersetuju dengan aku, tapi sekurang-kurangnya cubalah baca untuk menilai sejauh mana kebenaran kata-kata aku.
Pengarang : Nazurah Aishah
Halaman : 530
Tahun : 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
telah kau tunai seribu janji
satu kau mungkiri… hidup bersamaku…
Aku dan Najah kenal di depan Stadium Old Trafford, berkahwin sembunyi-sembunyi di Tanah Ratu. Sekembali ke tanah air, aku dan Najah harus pula menjadi pelakon di depan mama yang sudah ada pilihan sendiri.
Itulah permulaan kisah ini... yang bagaikan sudah terang lagi bersuluh.
Apakah boleh aku memilih jalan ceritaku sendiri, Najah?
Jika tidak, bagaimana pula dengan perasaan?
Berkorban perasaanlah yang paling memedihkan, kerana perasaan itu tidak pernah ada bau dan warna: lalu sukarnya untuk orang lain memahami, apatah lagi merasai...
Tulis Najah:
apalah maknanya bulan kalau langit diselubungi mendung
apalah ertinya mentari kalau sinarnya dihalang gerhana
jadi bagaimana aku harus terus hidup
kalau mentari tak mahu berkongsi kehangatannya
dan bulan tidak mahu meminjamkan sinarnya…?
Najah, sudah jadi fitrah alam... matahari itu tetap terbit dari arah timur, dan bulan pula tetap setia menemani malam!
+++++
Nazurah Aishah, menulis Lili Buat Najah dari kaca mata hatinya. Sebuah kisah yang mengesankan pada yang sedia berkongsi rasa. *****Lili Buat Najah merupakan satu lagi karya terbitan Jemari Seni Publishing yang menjadi koleksi peribadi aku. Karya penulis baru yang berbakat, Nazurah Aishah ini adalah novel ke-11 terbitan Jemari Seni.
Kisah tentang Natasha Ameera yang jatuh cinta dengan Syahrun Najah, nekad untuk berkahwin walaupun pada masa yang sama mereka sama-sama masih menuntut di Manchester. Perkahwinan mereka terpaksa dirahsiakan dari pengetahuan orang tua Najah. Sementelah Puan Sri Tunku Helena Tunku Ariff Rahman Bendahara, bonda Najah telahpun punyai calon pilihan untuk dijodohkan dengan anak bongsunya Najah. Di sini bermula episod suka duka pahit manis mereka melayari bahtera rumahtangga. Pelbagai onak duri sanggup mereka redahi asalkan berdua.!!
Seorang teman pernah bertanya pada aku, apa istimewanya buku ini? Membaca blurb dibelakang kulit, ia umpama typical love story ~kahwin dengan orang yang tidak sekufu~ kemudian tidak diterima oleh mertua... but at the end baik semula...!! Pada awalnya aku memang tiada jawapan untuk persoalan itu, tapi setelah aku usai baca, aku selami dunia mereka -Tasha & Najah- kini aku ada jawapannya.
Aku suka Lili Buat Najah kerana walaupun persoalan yang 'biasa-biasa' saja yang diutarakan iaitu kisah perkahwinan yang tidak direstui tetapi apa yang istimewanya, penulis telah berjaya 'bercerita' sehingga tanpa sedar, aku dapat merasai setiap apa yang 'berlaku' pada mereka, kesusahan mereka, kesedihan mereka bahkan kegembiraan yang mereka kecapi walaupun tanpa restu bonda Najah.
Aku jadi jatuh cinta pada Najah yang sungguh sabar walaupun dalam hatinya sarat dengan rindu pada orang tuanya. Aku jatuh kasih pada Tasha yang sanggup bersabar demi seorang Najah. Demi cinta, mereka sanggup hadapi walau seribu halangan dan dugaan yang mendatang demi rumahtangga mereka.
Nazurah bercerita terus ke hati aku. Terasa begitu dekat dijiwa aku. Tatkala Tasha diambang kesedihan yang amat, aku umpama berkongsi kesedihan yang sama. Dan Tatkala Tasha terpaksa menghadiahkan 'Lili Buat Najah', aku sanggup menangis kerananya. Begitulah kuatnya Nazurah telah mempengaruhi jiwa & rasa aku.
Tahniah buat Nazurah, kerana telah berjaya membuatkan aku mengalirkan airmata tanpa sedar. Pada aku sekiranya sesebuah novel berjaya membuatkan aku 'tenggelam' dalam dunia mereka, telah berjaya membuatkan aku menangis di bab yang sedih, aku tergelak di babak yang lawak, sesungguhnya penulis itu telah berjaya.!!
Pada aku, aku akan lebih mengingati novel yang berjaya mencuit hati aku, membuatkan aku menangis, telah membuatkan aku tersenyum senang... tapi buku ini lebih membuatkan aku menangis dari ketawa.!! berbanding dengan buku yang tiada 'rasa' apa-apa pada jiwa aku.
Ini sekadar apa yang aku rasa. Kalau anda ingin tahu, anda kenalah baca sendiri... cuma satu nasihat aku, sediakan tisu disebelah anda kerana anda akan memerlukannya nanti. Maafkan aku andai aku tersilap meneka, tapi aku yakin dengan apa yang aku rasa.
So selamat membaca.!!
Pengarang : Syud
Halaman : 544
Tahun : 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
Blurb:
Dhiya Nurlisa & Azril Mustaufi
Mereka 'terpaksa' kenal waktu menyiapkan kerja kursus berkumpulan.
Azril tak pernah faham kenapa Dhiya membencinya habis-habisan. Padahal alasan kenapa Azril dimusuhi sudah jelas, kan?
Menurut Dhiya, Azril tu:
Tipikal groupmate: tak datang untuk diskusi, ambil bena tak bena hal assignment, almaklumlah EOP sekadar kertas elektif untuk bakal arkitek itu!
Sedangkan Azril juga ada alasan sendiri, untuk semua sikapnya selama ini. Cuma Dhiya yang menyinga tak bertempat.
Lepas graduate, masing-masing bawa diri. Fuh, leganya...!
Namun takdir telah menemukan lagi mereka, kali ini dalam suasana yang tak sama. Seperti biasa Azril masih lagi 'masalah' kepada Dhiya. Lalu apa langkah seterusnya, Dhiya?
Tidak semua perkara layak diberi peluang kedua, Dhiya. Usah tegar memberi peluang jika tahu apa sudahnya. Berpalinglah... jika itu yang terbaik!
SYUD ada gaya yang tersendiri apabila bercerita Tentang… Dhiya. Watak-watak ciptaannya terasa hidup dan dekat dengan kita.
* * * * * *
Tentang... Dhiya merupakan karya terbaru dari Jemari Seni Publishing (Edisi Khas sempena Pesta Buku 2008) dan merupakan hasil karya penulis baru yang berbakat, Syud.
Tentang... Dhiya, kisah tentang Dhiya Nurlisa, si yatim piatu yang menumpang kasih pada keluarga Ayah Ngah ~abang arwah ayahnya. Hidup sebagai anak tunggal sesungguhnya menjadikan Lisa anak manja. Namun segala-galanya berubah sekelip mata pabila kedua orang tuanya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mereka dan Lisa sendiri terlantar di katil hospital hampir dua bulan lamanya.
Trauma masa lalu ~kehilangan orang tersayang~ menjadikan Lisa seorang yang sukar ditelah. Lisa yang melatih dirinya cara untuk melindungi diri... "biar dia tak kena marah... biar dia tak rasa bersalah dan dipersalahkan... biar dia tak rasa sakit... biar dia tak rasa sedih". Si Lisa yang gemar memendam perasaan, Lisa yang cuba membetulkan keadaan tanpa sesiapa pun sedar tentangnya dan itulah Lisa yang 'so unpredictable'.!
'Perkenalan'nya dengan Azril Mustaufi di kala hatinya 'sakit' dek perbuatan Ahmad Faiz - lelaki yang selama ini dia percaya akan bersama dengannya. Namun sebaliknya, pada lelaki itu, Lisa hanyalah satu masalah, satu beban padanya. Sudahnya Azril dijadikan 'punching bag' tempat untuk melepaskan beban yang bersarang dihati.
Apatah lagi perkenalan pertama antara mereka dalam situasi yang dianggap "at the wrong time, at the wrong place" menjadikan hubungan mereka umpama Israel - Palestin. Tambahan pula first Impression Lisa, Azril adalah seorang lelaki yang menyakitkan hati, seorang lelaki yang menjengkelkan, seorang lelaki yang menyusahkan bahkan semuanya yang negatif sahaja pada pandangan mata Lisa. Sedangkan Azril ada sebab-musababnya yang tersendiri.
Segalanya usai, tatkala berakhirnya semester terakhir mereka di UTM. Berakhir tanpa noktah, berakhir dengan tragedi. Lisa menyambung master di swiss dan Azril mendapat kerja di JB.
3 tahun berlalu... Lisa kembali. Kembali sebagai Dhiya Nurlisa yang baru. Tapi bagaimana mereka ~Lisa & Azril~ bertemu..?? Siapa Ezwan yang sanggup menunggu 3 tahun demi seorang Lisa??
Bagi mereka yang tidak tahu, Tentang... Dhiya adalah "Cerita Seorang Dhiya" versi enovel. Tapi bagi mereka yang sering mengikuti enovel syud - CSD, inilah "hadiahnya".
Jika ditanya apa yang aku suka tentang TD ini mudah saja jawapan aku. Aku suka pada plotnya yang simple. Aku suka dengan cara syud menggarap cerita, melakar setiap watak menjadikan 'mereka' seakan 'hidup' dan wujud di alam nyata. Bahkan terasa sayang nak 'tinggalkan' mereka diakhir cerita.
Aku suka dengan gelagat Lisa yang kadang-kala blurr (adakah macam penulisnya?? hehehe), namun tetap jua terselit perasaan halus seorang wanita. Aku jatuh cinta dengan Azril yang sungguh... nakal? gila-gila? but yet can be so romantic? hehehe. Tapi apa yang pasti pada aku Azril seorang yang amat bertanggungjawab & bertimbangrasa.
Pada aku cerita ini, soo touching... walaupun cerita dia adalah cerita biasa, tapi the way syud buat... 'cara lisa'... 'cara azril'... even 'cara Ezwan' akan buat kita jatuh cinta+sayang pada mereka... ops kecuali Ezwan rasa menyampah!!
Tentang... Dhiya bagi aku, punyai keistimewaannya yang tersendiri. Bacalah dan nilaikanlah sendiri. Mungkin aku salah!! kerana selera masing-masing tidak sama. Tapi bagi aku TD mampu buatkan aku senyum meleret.. terasa mereka benar-benar dekat dihati aku.
Pengarang : Andrea Hirata
Halaman : 447
Tahun : 2007
Terbitan : PTS Litera Utama Sdn Bhd
(versi terjemahan)
Harga : RM 28.00
Blurb:
Pelbagai peristiwa menakjubkan terjadi pada zaman para anggota Laskar Pelangi masih kecil. Sebelas orang anak Melayu Belitong yang luar biasa ini tidak menyerah kalah walau keadaan tidak selalu menyebelahi mereka.
Lintang, si miskin cilik yang genius dengan senang hati berbasikal berulang alik sejauh 20 kilometer untuk menuntut ilmu meskipun kadang-kadang hanya sempat menyanyikan lagu Padamu Negeri pada akhir waktu sekolah. Mahar, selain bersekolah dia turut memarut kelapa untuk biaya keluarganya adalah seniman yang imaginatif dan kreatif meskipun dia sering dipersendakan sahabat-sahabatnya. Tetapi dia berjaya mengangkat darjat Sekolah Muhammadiyah di kampung mereka. Begitu juga kisah sembilan orang Laskar Pelangi lain yang bersemangat dalam menjalani kehidupan dan berjuang meraih cita-cita.
Selamilah kehidupan mereka, kejujuran pemikiran, dan indahnya pengembaraan mereka. Anda akan tertawa, menangis dan tersentuh menghayati gelagat mereka. Novel ini dipersembahkan untuk mereka yang meyakini the magic of childhood memories, dan untuk mereka yang masih percaya akan adanya pintu keajaiban lain untuk mengubah dunia pendidikan.
* * * * * *
Laskar Pelangi merupakan novel pertama dari siri Tetralogi Laskar Pelangi (diikuti Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov - belum diterbitkan lagi).
Membaca novel ini, sesungguhnya banyak ilmu yang aku kutip. Selain semangat yang ditunjukkan oleh setiap ahli Laskar Pelangi dalam mengharungi pelbagai dugaan pahit manis semata-mata untuk menimba ilmu.
Walaupun Sekolah Muhammadiyah iaitu sekolah tertua di Belitong amat daif dan hampir ditutup kerana kekurangan murid, jika dibandingkan dengan Sekolah PN yang 'kaya & mewah', namun tidak sedikitpun mematahkan semangat juang mereka untuk mengaku kalah. Betapa semangat yang ditunjukkan oleh mereka benar-benar membuatkan aku terpaku. Betapa hebatnya mereka dalam darjah mereka yang tersendiri.
'Pengembaraan' mereka penuh dengan keajaiban. Kecintaan mereka pada ilmu, keunggulan nilai persahabatan mereka dalam menempuh kesukaran hidup, kemurnian prinsip mereka, sesungguhnya menyuntik satu semangat baru dalam 'dunia pendidikan' mereka. Mereka belajar bukan sahaja dalam bilik darjah yang sungguh daif, tapi pada mereka dunia ini merupakan 'bilik darjah' bagi mereka. Tempat di mana mereka 'belajar' untuk hidup selain belajar untuk pandai. Mereka belajar ilmu kehidupan.
Moral of the story, kemiskinan bukanlah satu simbol kebodohan dan kekayaan bukanlah penentu kecerdikan. Tapi mereka -anggota Laskar Pelangi- menjadikan kemiskinan mereka sebagai peniup semangat untuk merubah 'dunia' mereka iaitu dengan menjadi manusia yang bijak dan berilmu walau dalam keadaan apa, walau dengan apa cara sekalipun.!
Aku nak anda baca buku ini dan alami sendiri pahit manis suka duka mereka -anggota Laskar Pelangi- berjuang untuk menimba ilmu walaupun dalam keadaan hidup yang serba kekurangan, dan ada kalanya mereka harus akur pada ketentuan yang maha Esa. Tapi aku pasti anda akan terhibur dengan gelagat mereka, walaupun di masa yang sama hati anda menangis hiba mengenangkan nasib yang menimpa mereka.
Dan aku yakin anda juga akan berkata pada diri anda sebagaimana aku kata pada diri aku sendiri "Betapa bertuahnya aku dapat belajar dengan tenang tanpa perlu memikirkan perkara lain selain belajar". Tetapi tidak pada mereka.!
Bacalah.. dan alami sendiri pengalaman mereka, kerana sesungguhnya Laskar Pelangi ini merupakan simbol kemenangan pada mereka yang mengerti akan erti kesusahan hidup yang sebenar-benarnya.!!
"Dalam laut dapat ku kira... Dalamnya dusta siapa yang sangka?" ~ms 154
Next Page |