calendar
<< April 2010 >> | ||||||
Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
01 | 02 | 03 | ||||
04 | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 | 10 |
11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 |
18 | 19 | 20 | 21 | 22 | 23 | 24 |
25 | 26 | 27 | 28 | 29 | 30 |
categories
contact
cReditS
Pengarang : Xarine
Halaman : 496
Tahun : Mac 2010
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
... tiada manusia yang berseorangan ...
Cinta ini menolak hukum alam. Seperti
"Puteri Silfia... kita hamba Tuhan yang sama tetapi dunia kita berbeza..." Azmi merenung mata puteri kayangan di depannya. Di mata Azmi, Silfia amat cantik. Meski bersayap dan bertanduk kecil.
Sampai ke tahap manakah seseorang sanggup berkorban untuk cinta? Sesetengah orang mungkin sanggup kehilangan segala-galanya untuk cinta. Dan mungkin ada yang sanggup merenangi lautan api untuk cinta. Tapi berapa ramai yang sanggup berkelana ke dunia dimensi lain demi cinta?
Untuk cinta Azmi sanggup ke dunia jin! Kerana persahabatan pula tiga siswa USM sanggup ke
* * * * *
Sebuah roman percintaan luar biasa, dipersembahkan dengan cara yang tersendiri oleh XARINE!
* * * * *
Sinopsis :
Yuda di Padang Maya ini adalah naskhah kedua yang aku baca daripada penulis yang memegang title insinyur bernickname Xarine, selepas Bintang-Bintang Ke Syurga.
Novel ini terbahagi kepada '2 buku' iaitu Buku 1: Alam Manusia dan Buku 2: Alam Jin.
Buku 1: Alam Manusia
Kisah tentang Azmi, seorang anak istimewa, yang hidup dalam dunianya sendiri disebabkan oleh satu keadaan yang tak siapapun tahu. Tak seorangpun sedar (kecuali orang-orang tertentu) bahawa dia ada 'kawan pendamping' yang sering menemaninya setiap masa. Makhluk yang tak dapat dilihat oleh siapapun (kecuali 'dia' menampakkan diri). Bapanya pula seorang dukun yang terkenal dengan kebolehan mencari 'benda' yang hilang termasuklah orang. Dan pastinyalah segala info daripada 'sahabat' Azmi.
Hinggalah dia menginjak dewasa dan berjaya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Dengan tekad yang baru, Azmi ingin lari daripada 'bayangan' bapanya. Dia memohon sebagai 'cikgu' dengan harapan dapat menjalani hidup seperti manusia normal yang lain. Tanpa rencana (atau sememangnya perancangan makhluk lain), berlakunya satu insiden di depan matanya dan dia tidak sampai hati untuk 'menutup mata'. Ihsannya pada insan yang perlukan pertolongan membuatkan harapannya hanya tinggal harapan.
Ekoran daripada kejadian itu, dia berkenalan dengan 'Balqis' yang memohon bantuannya untuk membantu memulihkan ibunya yang sedang sakit. Sakit akibat perbuatan sihir berbelas tahun yang lalu. Dalam masa yang sama dia berkenalan dengan Riduan, Amsyar & Zamsari senior yang terpaksa menyewa di luar (kampus) dek ketiadaan bilik (kampus) yang kosong. Bilik-bilik yang pastinya prioriti harus diberikan pada pelajar junior (pelajar baru).
Satu demi satu insiden pelik berlaku, bermula dengan perkenalannya dengan 'Balqis' dan keluarganya, berlaku insiden di mana Riduan di'tegur' di rumah sewanya, perkenalan dengan Pak Karim dan pertemuan dengan Arissa yang buta. Semuanya membawa kepada tersingkapnya rahsia yang selama 17 tahun tersembunyi di sebalik 'sakit' Mastura – ibu Balqis.
Buku 2: Alam Jin
Rentetan daripada niat untuk memulihkan makcik Mastura, Arissa mencadangkan agar Azmi ke dunia jin. Tapi belum sempat Arissa 'menghantar' Azmi ke
Rupanya misi membawa Azmi & makcik Mastura balik tidak semudah yang disangkakan. Mereka -Riduan, Amsyar & Zamsari- terperangkap dalam kancah peperangan puak jin baik dengan jin jahat yang cuba untuk menghapuskan penganut agama wahyu. Ya, jin juga ada kerajaan seperti kita di dunia. Ada agama yang mereka anuti. Ada Jin Islam, ada Jin kafir.
Berjayakan misi mereka, sekaligus kembali ke dunia realiti (manusia) sebagai manusia yang waras? Atau selamanya mereka terperangkap dalam tubuh dan dunia jin? Dan siapa sebenarnya 'Balqis' yang meminta pertolongan daripada Azmi? Dan siapa sebenarnya makhluk yang selama ini menjadi pendamping Azmi? Wah! banyaknya rahsia yang perlu dibongkar!!
* * * * *
Sememangnya karya terbaharu daripada Xarine ini lain daripada yang lain! Pada mulanya apabila mengetahui bahawa Jemari Seni bakal menerbitkan sebuah novel bergenre 'fiksyen' aku tertanya-tanya juga, bagaimana ya 'bentuk'nya?
Sebabnya, sebagaimana yang umum ketahui, salah satu daripada keutamaan JS adalah… "karya-karya yang terpilih haruslah mempunyai nilai-nilai moral yang cemerlang... dan karya yang menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup menjadi keutamaan di Jemari Seni Publishing" (petikan dipinjam daripada laman sesawang JS), itulah yang membuatkan aku jadi cuak.
Membaca Yuda dengan perasaan yang tertanya-tanya. Perasaan ingin tahu 'rupa & bentuknya'. Bermula dengan helaian pertama ke helaian seterusnya. Daripada Buku 1 hingga ke helaian terakhir Buku 2… hey! baguslah novel ni…
Yuda merupakan sebuah naskhah yang sarat dengan info/gambaran tentang dunia 'mistik', dunia Jin yang kita tidak nampak dengan mata kasar tapi wajib percaya akan kewujudannya. Sebagaimana satu firman Allah "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. (Az-Zariyat : 56)" sebagai bukti sahih akan kewujudan 'dunia' Jin.
Dalam naskhah kali ini penulis membawa kita pembacanya menjelajah dunia Jin, 'mengenali' makhluk yang menghuni 'dunia di sebelah
Mungkin faktor membaca di waktu malam yang sudah melewati waktu tidur, bertemankan pekat malam, dengan cerita yang 'sebegitu' yang membuatkan bulu roma aku meremang. Apatah lagi bila dihadapkan dengan insiden Zamsari terlihat makhluk hitam yang menekap di dinding tandas dengan kaki ke atas, kepala di bawah, menjelir-jelir lidah ke dalam mangkuk tandas..... uuuwwaaaaa tak sanggup!!!!
Mungkin disebabkan oleh kelemahan aku yang paling ketara, mudah larut dengan pembacaan. Mudah membayangkan benda-benda yang tak seharusnya aku fikirpun. Inikan sekadar cerita? Rekaan dan fiksyen penulis semata-mata... tapi itulah, susah aku nak pisahkan daripada dunia realiti bila sudah mula 'masuk' dengan cerita yang aku baca... Apatah lagi, bait kata yang tertulis dalam novel itu... 'setiap manusia tidak pernah berseorangan walau sesaat' memang 'menarik' ingatan aku terhadap 'mereka' yang berada di sekeliling aku. Membuatkan aku terbayangkan benda yang bukan-bukan,... huhuhu
Cumanya bila memasuki Buku 2 rentak pembacaan aku agak perlahan berbanding dengan Buku 1. Adakah kerana ia genre fiksyen? Aku tak rasa begitu kerana sebelum-sebelum ini aku layan juga fiksyen terutamanya karya Ramlee Awang Murshid yang ada elemen fiksyen terutamanya trilogi Bagaikan Puteri yang membariskan novel Cinta Sang Ratu & Hijab Sang Pencinta selain Bagaikan Puteri itu sendiri (dan yang terbaharu Cinta Sufi). Juga novel Amir Husaini yang berjudul Transgenesis : Bisikan Rimba. Jadi bukan sebab genre yang menyebabkan aku hilang punca (sekejap).
Aku
Tapi, bila aku fikirkan kembali... namanya pun penjahat! takkan diberi nama yang bagus-baguskan? Tak sesuailah dengan 'watak' jahatnya itu. Bukankah nama juga mencerminkan keperibadian seseorang? Jadi memang sesuai dah nama-nama yang penulis berikan pada watak antagonis itu. Nama-nama seperti Sughoir, Oggur, Alfus, Solbus, Botrus, Garmodus dan macam-macam 'us' lagi seharusnya secocok dah... tapi itulah...
Lagi satu, pada pendapat aku jika diletak terjemahan/glosari untuk perkataan-perkataan 'pelik' yang menjadi perbualan 'makhluk jin' tersebut pastinya lebih bagus lagi. Yelah, sebagai pembaca teringin juga nak tahu apa yang dibualkan oleh mereka? Kalau benar bahasa yang dipertuturkan itu Bahasa Arab? nak juga tahu apa maksudnya dalam Bahasa Melayu. Sekurang-kurangnya aku boleh belajar Bahasa Arab secara tidak langsung. Atau jika benar tak ada maknapun, ianya cuma sekadar frasa perbualan mereka (makhluk jin) sekurang-kurangnya penulis rekalah apa-apa maknapun janji ada. Jadi tidaklah pembaca terutamanya aku, perlu membuat telahan sendiri.
Walau bagaimanapun, kredit harus diberikan pada 'pelukis' atas imaginasinya menggambarkan ilustrasi peta lakaran kerajaan Arod, serta ilustrasi wajah makhluk keturunan Alfrit, Alfus, Sughoir & Oggur, Walau itu cuma sekadar imaginasi pelukis semata, sekurang-kurangnya ia sangat membantu aku 'mengenal' rupa makhluk pelik itu. Lagi satu, aku harus memberi pujian pada penulis kerana berjaya menyelitkan lawak spontan. Apa taknya dalam kita dalam mood serius tiba-tiba ada 'insiden' yang menggeletek hati, yang membuatkan aku tergelak sorang-sorang.
Kamu bacalah... dan 'rasai' sendiri pengalaman Azmi, Riduan, Amsyar & Zamsari meneroka alam jin. Cuma satu saja pesan aku, kalau rasa diri tu penakut (seperti aku), jangan baca di waktu malam... hehehe nanti kamu langsung tak boleh nak lelapkan mata!
Buat penulis… Tahniah! Kerana naskhah ini tidak sekadar fiksyen semata tapi ada 'isi' berguna yang boleh dijadikan iktibar. Dan YA, kak wan tidak membuang masa secara percuma menatap Yuda di Padang Maya ini, tetapi ada ilmu yang dikongsi bersama, yang boleh kak wan jadikan pedoman.
Pengarang : Pingu Toha
Halaman :
Tahun : Februari 2010
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
Berapa lama untuk kita jatuh cinta?
Boleh jadi dalam tiga hari, mungkin?
Berapa lama untuk kita kenal cinta?
Perlukah empat bulan?
Berapa lama untuk kita jatuh cinta kembali...
dan kembali kepada cinta?
Cukupkah setahun?
Dan ini cerita tentang...
The Duyong. The Sleeping Beauty. The Rapunzel.
The Lovelorn. The Penunggu. The Hitam Manis.
Ini bukan cerita dongeng. Ini bukan cerita pelik. Ini bukan lagi mimpi. Ini sebuah cerita cinta.
1
Sekarang…. Satu tahun selepas L.U.V.E.
Cerita Cinta Biasa
Tentang Uth dan Lana.... Lisa dan Haikal.
4
Empat bulan darinya. Dulu.
EXs
Tentang Elina dan Kéri.
3
Ke masa depan, dalam tiga hari…
Merah Biru Violet
Tentang Vee dan Bucks. Dan Rose.
Inilah cerita biasa yang mengocakkan emosi merah dan biru menjadi warna pelangi cinta ungu. Tiga belahan jiwa yang dipisahkan waktu, jarak dan diri sendiri, dan akhirnya yang menemukan mereka ialah 'cinta'.
* * *
Selepas L.U.V.E... lihatlah bagaimana PINGU TOHA menamatkan cinta mereka dengan sebuah happy ending... berserta ucap 'I love you', akhirnya.
*****
143, seperti kata blurb, adalah kisah cinta indah titipan daripada-Nya. Benar! Rasa cinta itu hadir dalam pelbagai cara, di mana jua. Bila rasa cinta mula menyapa di dada, segalanya pasti akan menjadi indah belaka. Sebaliknya cinta juga bisa merubah yang bahagia jadi derita!
143 adalah rentetan tiga cerita yang digarab indah, diadun cantik menjadikan sebuah kisah yang menarik untuk dihadam.
Cerita pertama: Cerita Cinta Biasa
Kisah tentang kesinambungan konflik hubungan Uthman Huzir (Uth) & Lana Angrainny (Lana) daripada novel L.U.V.E. Kisah bagaimana sukarnya seorang Uth untuk meluahkan rasa cintanya pada Lana. Menanti Uth meluahkan rahsia hatinya, aku bagaikan menanti jongkong emas keluar daripada mulut Uth. Payahnya Uth untuk berkata-kata, terasa bagaikan ingin aje aku hempuk-hempuk kepala si Uth! Apalah yang susahnya nak melafaz kata "I Love You Lana!" kan mudah aje tu?
Hingga akhirnya muncul orang ketiga -Haikal- yang sangat berterus terang tentang hati dan perasaannya pada Lana. Oh! tidak.... bagaimana dengan Uth?? Berputih matakah Uth untuk mendapatkan cinta Lana? Hah! yang ini kamu kena baca sendiri cari jawapannya okey!
Cerita kedua: Exs
Kisah tentang Keri & Elina. Pada sesiapa yang telah membaca L.U.V.E. pasti tahu apa makna 'Exs' ni. Pada yang belum tahu, aku rekomenkan kamu baca dulu L.U.V.E. (tapi kalau tak bacapun tak apa, tidak akan menjejaskan jalan cerita 143 ini dan tidak akan membuatkan kamu sesat jalanpun!)
Dalam 143 ini, Keri dan Elina 'dipertemukan' ketika mereka dalam penerbangan ke Kota London. Penerbangan yang membawa separuh hati mereka –Keri & Elina– yang telah retak (baca: broken heart). Keri dengan cinta yang tak kesampaian dan Elina dengan hati yang kecewa kerana cinta. Namun 8 jam penerbangan mereka, telah membibitkan rasa ‘suka’ (bukan cinta?) Keri pada Elina. Dengan lagak machonya, "Can I fall in love with you?" Keri luahkan pada Elina. Sedangkan Elina yang telah patah hatinya sukar untuk memberikan jawapan... Bagaimana kesudahannya?? baca sendiri okey! hehehe
Cerita ketiga: Merah, Biru Violet
Kisah Bucks yang jatuh cinta pada Vee (Violet) yang 5 tahun lebih tua daripadanya. Bucks yang membuka gerai burger yang diberi nama 'Burgerbucks' ala-ala Starbucks la konon-kononnya (hanya pada nama bukan penampilannya okey! hehehe)
Kisah bermula di suatu malam, ketika hujan turun membasahi bumi, Vee yang kelaparan tetapi malas nak masak (sedangkan dia chef di Cafe Marooned) dan tiada teman untuk membawanya keluar makan, jadi dia ke "Burgerbucks", memesan burger daging tambah cheese, lebihkan mayonis tapi tak mahu sayur. Si Bucks yang sudah terkena panahan si cupid jatuh suka pada Vee, membuatkan dia lupa pada pesanan Vee. Malahan dia lebihkan sayur, yang sememangnya tidak digemari oleh Vee, maka bermulalah 'perang dalam diam' antara Vee dan Bucks. Yang membuatkan Vee jadi jengkel pada Bucks. Ada sahaja yang tak kena di matanya bila melibatkan Bucks. Dan ditakdirkan mereka berjiran tetapi berlainan blok.
Di sini Rose Mawar anak cilik yang sangat 'cute', berusia 6 tahun memainkan peranan menjadi 'orang tengah'. Sebenarnya bukanlah orang tengah seperti telangkai tu, dia sekadar menjadi peneman sama ada pada Bucks mahupun Vee. Apakah kesudahan kisah Vee dan Bucks? Baca sendiri!
* * * *
Aku sebenarnya agak skeptikal dengan cerita yang bersambung ni. Entah lah, agaknya pengalaman lalu banyak mempengaruhi aku bila ingin membaca naskhah yang sudah aku tahu ada chop ‘kesinambungan daripada novel yang terdahulu’.
Pada aku, apabila sesebuah cerita/novel sudah tiba ke penghujungnya, sudah diakhiri dengan ‘noktah’ bermakna itulah penamatnya. Titik. Tidak perlu ada sambungan hanya untuk memanjangkan lagi ‘cerita hero-heroin’. Atau mencipta konflik baru semata-mata untuk jadikan ia satu naskhah ‘bersambung’. Penat tau! Lagipun kalau dah happy ending kenapa harus disambung lagi? Ini yang aku sangat-sangat tak faham. Hey! aku keluarkan duit sendiri tau untuk beli novel. Tak ada orang sponsor pun! Sebab itulah aku mahukan sesuatu yang berbaloi untuk setiap sen yang aku keluarkan okey?!
Atau jika penulis ada niat untuk membuat sambungan tentang ‘hero-heroin’, cukup sekadar dengan membuat cameo. Itu lagi menarik pada aku. Ini sekadar pendapat aku sebagai pembaca, sama ada penulis ingin ambil peduli atau sekadar buat tidak tahu, aku tak ada halnya! Tapi sebagai pembaca aku ada hak untuk komen okey?!
TAPI untuk 143 aku harus mengangkat bendera putih, menarik balik kata-kata aku. Aku harus beri ‘tabik spring’ pada Pingu Toha. Well Done Halim... anda telah berjaya mengatakan TIDAK BENAR pada pendapat kak wan!
Usai membaca 143 aku tersenyum puas. Walaupun 143 adalah kesinambungan daripada kisah dalam L.U.V.E. kisah Uth & Lana, tetapi Pingu Toha telah berjaya mengikat aku untuk membaca dan menikmati kesudahan kisah cinta Uth dan Lana ini hingga ke noktah terakhir.
Sebagaimana L.U.V.E. yang telah menawan seluruh rasa suka aku dengan sentuhan majis penulis bernama Pingu Toha ini, aku sekali lagi jatuh cinta dan teruja dengan idea ‘fresh’nya dalam 143 ini. 143 telah berjaya membuatkan jiwa aku kembali bagaikan jiwa anak muda-belia ahaks!
Well... aku sangat suka okey!!
Aku sukakan bahasa Pingu Toha. Bahasa yang biasa-biasa tapi ada warna-warninya. Bahasa yang amat mudah untuk dihadam. Bahkan Pingu juga berjaya mewarnakan setiap watak dengan adunan warna-warna merah biru menjadi warna pelangi cinta ungu bak kata blurb, menjadikan setiap watak rekaannya penuh warna warni.
Bukan sekadar Uth, Lana, Keri, Elina, Vee & Bucks ‘pemegang’ watak utama yang menjadi tunjang kekuatan 143 tetapi aku juga harus memberi kredit untuk ‘pelakon pembantu’ seperti Lisa Seriyanti, Haikal, Abang Diktator (Director), Raden, Suraya, Dayang, Teja juga si kecil Rose Mawar yang sangat comel dan keletah (dalam bayanganku la).
Pendek kata setiap watak yang direka memainkan peranan sama rata, menjadikan 143 sangat hidup, cantik dan sempurna (pada skala aku lah!). Menjadi pelengkap yang melengkapkan watak-watak utama. Menjadi perencah yang mencukupkan rasa pada setiap 'hidangan' yang melibatkan watak-watak utamanya.
Aku juga sukakan idea penulis menggarap 3 cerita sisipan yang saling berkait menghasilkan satu mainframe cerita yang superb!. Menatap naskhah garapan Pingu Toha kali ini, aku bagaikan dibawa 'menonton' pementasan drama (terutamanya untuk Cerita 1: Cerita Cinta Biasa). Setiap watak bagaikan hidup dilayar minda. Bergerak bagaikan sang pelakun sedang melakunkan watak-wataknya di dada kertas. Berkisah tentang perjalanan 'cinta' mereka dalam pelbagai warna.
Aku juga sukakan kulit novel 143. Comel! Secomel ceritanya kalaulah boleh aku katakan begitu. Dan tajuknya... 1 4 3. Unik bukan? Pada mulanya aku tertanya-tanya juga, apa signifikannya 1 4 3 itu? Selama aku bergelumang dengan dunia novel, mana ada tajuk novel '143'? Cuba kalian beritahu, pernah tak kalian jumpa novel yang menggunakan angka sebagai judulnya? Manalah tahu kalau aku terlepas pandang? Rasanya hanya Jemari Seni sahaja yang berani mengambil risiko menggunakan judul yang pelik-pelik tapi cute! Ops! bukan pelik tapi unik! Itu yang sebetulnya. Jadi apa maknanya 143? Jawapannya ada pada kulit novel. (homework untuk kamu)
Menatap karya Pingu kali ini, aku teringin nak rekomen pada sesiapa yang berani mencuba sesuatu benda atau membuat perkara yang baharu, yang adventure, cubalah baca 143 ini. Tak salahkan cuba? Cuma apa yang boleh aku andaikan, jika dewasa ini genre muzik indie menjadi kegilaan anak-anak muda sekarang, mungkin boleh aku labelkan karya Pingu Toha kali ini sebagai karya indie versi novel... boleh???
P/S: Dalam 143 ni ada watak tempelan Wan Amyleen... & tiba-tiba aku ‘ter’perasan jap! hahahahahahaha...
Pengarang : Noor Suraya
Halaman : 482
Tahun : Disember 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
Cinta pandang pertamakah ini…
Sekiranya tiba-tiba anda bertemu dengan lelaki yang membuat jantung anda berlari setara dengan kelajuan jet Sukhoi buatan Rusia, dan mata anda pula tak bisa berpaling daripada dia biarpun sedetik, lalu apa tindakan anda?
=A= katakan: lupakan sahaja itu hanya logamaya
=B= rahsiakan perasaan anda dalam diari merah jambu
=C= kenal pasti siapa dia, dan suruh ayah ibu meminang dia
=D= segera periksa jantung, mata dan tekanan darah, ke doktor pakar
Jaja telah memilih =C= sebagai jawapan
cinta telah membuat aku tidak lut lagi dengan segala 'peraturan hati' yang selama ini aku junjung!
Implikasinya:
Abah dan uminya rasa
[♪¿∫∞Ωπ䮉¾]
Alahai, anak abah ni, awat la sampai jadi lagu tu!
Mama nak sorok muka ni kat mana, Jaja?
Inilah cerita Jaja yang meminang ustaz Sastera Arab lulusan Universiti al-Azhar sebagai suami. Tegarkah Jaja seorang media planner memilih hidup ala-ala 'zuhud' macam Din nanti?
rupa-rupanya cinta telah membawa hatiku terbuai-buai ke
*****
Jaja & Din, kisah tentang Jaja anak doktor yang jatuh cinta pandang pertama pada 'dia' yang entah siapa. Hanya dengan sekeping gambar bisu, hati Jaja bagaikan dipanah si cupid love yang membidik panahan cinta tepat menembusi hatinya yang beku. Anehkan cinta? Hanya dengan sekeping gambar tidak bernyawa, Jaja jadi nanar kerananya. Hanya dengan sekeping gambar kaku, hilang ghaib segala peraturan hati yang Jaja junjung selama ini. Ya, hanya dengan sekeping gambar, Jaja jatuh cinta pada 'dia' yang berkopiah putih buat pertama kali dalam sejarah hidupnya!
Jaja, si media planner di syarikat mat salih, jatuh cinta pada Din, si ustaz Sastera Arab. Jaja yang rasa dirinya moderen jatuh cinta pada Din yang warak. Jaja, dia bukanlah si gadis polos, apatah lagi alim. Tapi dia masih punya silu yang berbungkus kemas dalam hati. Dan Si Din, bukanlah ciri-ciri lelaki yang pernah termaktub dalam senarai daftar lelaki pilihan Jaja hinggalah ke detik itu... detik di mana dia memandang si dia buat pertama kalinya.
Din – Burhanuddin al-Helmy – si ustaz lulusan al-Azhar itu impikan wanita yang mulia sebagai pendampingnya. Wanita yang mengerti erti zuhud. Wanita yang reda keinginan jihadnya. Wanita yang tidak menangis tatkala menghantarnya ke misi fi sabilillah. Sedangkan ciri-ciri itu tidak terlihat pada Jaja!
Kasihan Jaja, cintanya pada Din melimpah ruah memenuhi seluruh rongga dadanya. Sedangkan Din tidak pernah tahu bahawa ada seorang perempuan yang sedang jatuh hati kepadanya separuh mati. Demi cinta, Jaja sanggup lakukan apa sahaja hatta menebalkan muka meminang Ustaz Din. Ya, demi cinta Jaja sanggup lakukan segala-galanya, asalkan Din jadi miliknya. Brutalnya Jaja!
"Pada saat semua orang memilih lelaki yang bekerja tetap dengan gaji sekian-sekian banyak sebagai suami pilihan, Faiza ikhlas pilih saya seadanya." ~ ms 414
Rupa-rupanya cinta itu ada saktinya. Din yang serius itu berjaya membuatkan Jaja terkedu! Siapa kata Din tak romantik?
"Faiza, bahagia itu bukan sepertimana yang orang nampak, tapi sebagaimana yang kita rasa." ~ ms 445
* * * *
Usai membaca Jaja & Din aku tersenyum puas. Tiada aksara lain yang dapat aku ungkapkan untuk menggambarkan rasa aku saat itu, hanya P.U.A.S. Sesungguhnya Jaja & Din adalah buah tangan yang sangat indah dalam darjahnya yang tersendiri (pada aku la).
Aku sukakan mainan bahasa kaksu. Sememangnya lenggok bahasa milik penulis bernama Noor Suraya ini dari dahulu sering mempesonakan aku. Bahasa yang lembut dipertuturkan lidah, indah dipendengaran telinga menjadikan bacaan aku lancar tidak terganggu. Sesungguhnya pakar bahasa yang juga Munsyi Dewan Bahasa ini berjaya membuatkan hati aku terbuai-buai seperti Jaja yang sedang dilamun cinta. Sungguh indah dan mengasyikkan!! Betuuulll!
Aku sukakan teknik penceritaan yang kaksu persembahkan kali ini. Agak lain daripada kebiasaan. Bagaikan 'Jaja' ada di depan mata menghikayatkan perjalanan kisah cintanya dengan Din. 'Jaja' bercerita tentang suka duka, pahit manis demi mendapatkan Ustaz Din sesuka hati dia! 'Jaja' berkisah tanpa mengikut kronologi, tapi tetap membuatkan aku terhibur tanpa hilang punca. Ke depan, ke belakang dia tidak peduli, semahunya sahaja dia bercerita. 'Jaja'... 'Jaja'...
Setiap watak yang kaksu lakarkan terasa hidup di depan mata. Aku sayangkan Jaja yang keras hati, brutal tapi tetap ada rasa malu. Aku jatuh cinta pada Din yang serius, tapi dia tetap ada sisi romantisnya tau! Aku sukakan Nini yang sangat bijak menyembunyikan 'Pauziah'nya dan adik yang sangat baik dan memahami. Lala si Princess Oyster al-Moluska... Tapi yang paling istimewa dari dulu hingga kini, aku sangat sukakan 'Uncle Aqmar' si pakar tulang itu! Senang cerita, semua watak-wataknya aku sukalah!! Aduh wan sudah parah!
Menatap Jaja & Din macam-macam rasa yang bergulir di dada. Ada rasa kelakar, suka, sedih, sebak, bahagia semuanya tertambak dalam dada... mengirimkan sejuta warna ke jiwa.
Jaja & Din mengenengahkan plot yang sangat istimewa. Wanita meminang lelaki. Bukan tidak ada tapi ia lari dari norma biasa resam kita bangsa Melayu yang penuh dengan santun dan adat sopan. Lagipun wanita kan insan istimewa yang mempunyai sifat pemalu yang amat tinggi! Tapi tidak pada 'Jaja'. Amboi 'Jaja' ada hati nak mengikut jejak langkah Ummul Mukminin Sayiditina Khadijah yang meminang baginda Rasulullah S.A.W. ya...
Setiap perancangan Allah adalah yang sebaik-baik aturan. Setiap yang tersirat ada hikmah yang tersurat. Ya, Jaja yang sudah mula melupakan DIA, diberikan hidayah melalui 'dia'. Jaja yang tidak sempurna, berusaha menyempurnakan dirinya demi 'dia', demi agama DIA. Rasa cinta yang tumbuh meliar di hati Jaja pada Din, menjadi pemangkin untuk Jaja memperbaiki diri. Kalau tidak setara dengan Din sekurang-kurangnya Jaja tidak memalukan Din sebagai ustaz yang dihormati! Dan Din, pandainya dia mendidik Jaja, sabarnya dia melayan kerenah Jaja!
Sebagaimana karya-karya terbitan Jemari Seni yang terdahulu, Jaja & Din ini juga sarat dengan pengisian jiwa yang boleh aku manfatkan sebagai panduan dan pedoman hidup. Setiap nasihat yang Din berikan pada Jaja, aku tumpang sama mendengarnya. Segala amalan yang Din perturunkan pada Jaja, aku sematkan dalam hati buat panduan. Tatkala Din bercerita kisah-kisah teladan insan terpilih, tentang sirah Nabi untuk Jaja, aku ikut serta menghayatinya. Bertuah dan bahagianya hidup Jaja mendapat mualim sebaik Din!! Kiranya berbaloilah Jaja berusaha bermati-matian dengan segala daya usahanya demi mendapatkan Din.
Setiap titik bengik yang ada dalam Jaja & Din aku simpan dalam hati. Pendek kata setiap apa yang terlakar dalam buku kecil ini menjadikan naskhah ini sangat 'besar' dan istimewa. Kita tidak sekadar dibuai dengan kisah cinta duniawi yang hanyalah secebis kecil rencah kehidupan, tapi di sebalik rasa cinta yang menggebu di jiwa, ada panduan yang boleh dijadikan iktibar serta pedoman. Inti pati daripada rasa cinta kepada-Nya lah yang seharusnya kita jadikan contoh. Bacalah... nescaya banyak yang boleh kamu kutip di dalamnya.
Buat kaksu. Sekalung TAHNIAH wan kalungkan! Sesungguhnya dari dulu, kini & insyallah di masa mendatang sememangnya penamu sering membuatkan wan terpesona! Dalam lembut tutur kata, dalam indah ritma bicara melahirkan magis yang menggetarkan jiwa. Wan jatuh cinta untuk kesekian kalinya. Terima kasih kaksu, moga DIA terus memberikan rahmatNya untuk kaksu terus mendidik dan membimbing wan melalui setiap karya-karya kaksu. Teruskan berkarya!
Pengarang : Lily Haslina Hasir
Halaman : 432
Tahun : Oktober 2009
Terbitan : PTS Litera
Harga : RM 18.00
Blurb:
Khalida Atikah jiwanya bening lagi putih mengalir kalau berbicara tentang roh Islam. Dia mungkin tidak punya cinta tapi tetap punya cita-cita. Impiannya cuma satu. Biar apa jua keadaannya, Islam tetap nur di jiwa. Dia juga ada ketika terkeliru dan celaru. Dunia
Azrul Rasyid.. dia lelaki keras, kasar lagi lantang. Kata-katanya penuh luka, bibirnya penuh duri. Cintanya hanya pada diri, tulisannya penuh menyakitkan hati.
Nureen, gadis seksi penuh misteri, angkuh, tamak lagi haloba. Cita-cita dan nafsu dipacu menjadi satu. Sihir bobrok mainan bibir, amalan harian. Setinggi mana mampu mereka menongkat langit. Sejauh manakah cinta mampu bertahan di antara Nureen dan Azrul Rasyid seandainya di antara mereka ada wajah hitam yang menguasai.
Cinta Tuhan tidak perlu ditunggu. Cinta Tuhan tidak perlu dinanti. Kasih sayang dan manis rindu pada Tuhan seharusnya menjadi nafas kita setiap saat. Di antara Khalida Atikah, Azrul Rasyid dan Nureen siapa yang lebih luhur lagi putih untuk disapa cinta PenciptaNya?
* * * *
Khalida Atikah, dia gadis polos lulusan syariah mencuba nasib memohon jawatan sebagai wartawan. Dia harus bersaing dengan mereka yang jauh lebih 'molek' penampilannya. Mereka bergaya korporat, dia berbaju kurung berkerudung merah jambu. Mereka menjinjing beg jenama terkenal, dia mengusung beg tangan cap itik. Jika mereka lulusan mass communication atau broadcasting, dia pula lulusan 'agama'.
Andai sudah tersurat itu rezekinya, ia tetap menjadi miliknya. Permohonannya diterima dan dia ditempatkan di bawah unit 'Meja Hiburan'. Menuntut ilmu dalam bidang syariah, bekerja sebagai wartawan (hiburan) merupakan satu cabaran buatnya. Sementelah bidang yang dipelajari sama sekali kontra dengan skop kerjanya.
Apatah lagi ditakdirkan dia harus berkerja di bawah seliaan Azrul Rasyid yang terkenal dengan kelantangan vokal dan tindakan, membuatkan hidup Khalida sering di landa 'tsunami'. Namun tidak semudah itu dia akan menyerah!. Walau diherdik berkali-kali. walau digertak berkali-kali, walau hatinya disakiti berulang-kali, dia tetap berdiri di situ, tegak dan tidak berganjak. Dalam lembut, hatinya sekeras karang, dalam lemah, jiwanya sekental batu. Itulah Khalida Atikah.
Azrul Rasyid, dia ketua yang amat digeruni. Dia lelaki yang tak punya rasa hati!. Dia wartawan hiburan yang sangat berbisa tutur katanya (terutama dengan Khalida). Berdepan dengan Khalida, 'angin'nya seganas taufan. Pendek kata bila melibatkan Khalida dia berubah total menjadi insan yang tak punya sifat simpati. Pada dia selagi tak 'berbisa' itu bukan Azrul Rasyid namanya selari dengan jolokan harimau dinamik yang disandangnya!
Jika Azrul Rasyid ada target untuk menaikkan rating 'Akhbar Dinamik', Khalida Atikah juga punya matlamat tersendiri. Dia mahu jadi wartawan yang baik. Dia mahu jadi penulis yang diingati setiap tulisannya. Dengan sokongan moral kedua orang tuanya serta Azrinaz sahabat baiknya, dia menanam misi dan visi untuk mengubah persepsi Azrul Rasyid terhadap dirinya walaupun dia akur dia akan berdepan dengan jalan yang berliku.
Nureen, dia gadis seksi lulusan luar negeri. Dia gadis yang meletakkan hawa nafsu melebihi kewarasan akalnya. Cintanya pada Azrul Rasyid, cinta yang dipayungi bayang hitam yang kelam lagi suram. Padanya, selagi Azrul Rasyid tidak dalam genggaman selagi itu hatinya tidak pernah tenteram. Namun sampai bila jampi serapah bisa bertahan bila berdepan dengan DIA yang maha berkuasa?
Selagi hidup masih dikuasai tamak, selagi haloba masih beraja di hati, selagi nafsu mengaburi mata, selamanya hidup ini jauh dari cinta Nya.
* * * * *
Menunggu Cinta Tuhan (MCT) adalah karya terbaharu Lily Haslina Nasir yang aku baca. Novel terbitan PTS Litera ini menampilkan satu kelainan yang sememangnya memenuhi piawaian aku. Jangan ditanya standard mana yang aku guna, piawaian mana yang aku pakai sebagai pengukur. Standard aku adalah 'rasa' yang lahir di celah-celah relung jiwa tatkala membaca, dan hati aku membisikkan kata bahawa, 'dia' sukakan hasil karya Lily Haslina Nasir ini.
Kematangan penulis dalam berkarya tidak perlu dipertikaikan lagi. Kebolehan penulis menggarap cerita tidak perlu disangkal lagi. Dan pastinya penulis yang sememangnya berpengalaman dalam bidang kewartawanan, juga pernah dinobatkan sebagai penulis rencana terbaik peringkat nasional, menggunakan sepenuhnya ilmu dan pengalaman beliau dalam meniupkan roh seorang 'Khalida Atikah' sebagai wartawan.
Membaca MCT membuatkan aku jatuh kasihan pada Khalida. Tak dapat aku bayangkan bagaimana jika ditakdirkan ketua aku sekeras Azrul Rasyid yang lantang dan menyakitkan hati itu!. Kadang-kala nak aje aku katakan 'padan muka!' pada Azrul yang sudah terkena 'jerat' Nureen dan makciknya itu. Agaknya itu adalah natijah buatnya yang tidak pernah berlapik menuturkan kata bicara. Menyakitkan hati tanpa belas simpati.
MCT mengangkat isu amalan mistik yang bertentangan dengan ajaran Islam. Amalan pelaris, amalan 'memuja' yang diamalkan oleh Cik Latifah (pengusaha restoran) demi melariskan jualan kedai makannya, sememangnya membuatkan tidur malamku tidak lena! Kak Lily, membaca mentera dan jampi serapahnya, sememangnya meremangkan bulu roma wan!! huhuhu.
Serius!! apatah lagi aku membaca di waktu malam bertemankan pekat malam… aduh! Andai kamu ingin membaca MCT bacalah di siang hari! Atau hanya aku yang terlalu larut dalam pembacaan?? Itu tandanya apa yang dihadap dapat dihadam dengan baikkan??. Atau itu tandanya penulis berjaya mengatur jalan cerita dengan baik?? Atau kerana hakikatnya aku ini adalah seorang yang penakut?? hahaha
Entah mengapa, usai menatap MCT, bagaikan terngiang-ngiang bisikan hati Azrul Rasyid di cuping telingaku. Rintihan hati yang ingin kembali mencari siapa dirinya, yang pastinya ingin kembali mencari rahmatNya.
Nota buat penulis: Kak Lily masih ada sambungannyakan?? hehehe… tak puashati laaa
Pengarang : Hani Fazuha
Halaman : 512
Tahun : Oktober 2009
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM 19.90
Blurb:
DYA dinodai oleh abangnya dalam usia yang masih mentah. Namun, dia tidak berani mendedahkan kejadian itu bila ayahnya sendiri tidak pernah mengiktirafnya sebagai anak kandung.
Hidup Dya terus diselimuti mendung bila dia terluka lagi. Encik Nasri yang dianggap prihatin, sekadar mempermainkan perasaannya. Harapan yang disandarkan kepada Syamir juga turut berkecai. Kekecewaan Dya bertimpa-timpa bila mengetahui kedua-dua lelaki itu sebenarnya adalah 'suami orang'. Ini menambahkan lagi kebenciannya terhadap lelaki.
Kemunculan Zarif, bekas teman sekolah merobek kembali kisah lama. Dya masih ingat, Zarif sering menyakiti hatinya. Malah penghinaan yang pernah dilemparkan, tidak pernah Dya lupa. Dan kerana Zarif juga, dia menjadi anak terbuang!
Sebenarnya, Zarif mahu merawat kelukaan Dya. Tetapi Dya menjauhkan diri kerana takut rahsianya terbongkar! Akhirnya, segunung kebaikan yang Zarif limpahkan membuka mata hati Dya bahawa lelaki itu ikhlas mencintainya.
Namun, sudahkah dia bersedia menerima lamaran Zarif sedangkan bayangan silam terus menghantuinya?
* * * * * *
Bebunga Kasih (BK) kisah tentang Dya yang 'terperangkap' dalam kancah emosi yang tidak berkesudahan. Dirogol oleh abang sendiri, tidak diiktiraf sebagai anak kandung oleh bapa, membuatkan hidup Dya sering dilanda nestapa.
Kehadiran Zarif menyusahkan lagi hidup Dya. Ekoran satu insiden ketika mereka masih di bangku sekolah (menengah) menyebabkan Dya menanam rasa dendam pada Zarif. Zarif yang membuatkan perjalanan hidupnya bertambah getir.
Kehidupan harus diteruskan walau segetir manapun dugaan datang melanda. Hidup ini adalah
Takdir seakan mencemburuinya. Dia dipaksa kahwin oleh si bapa hanya kerana tohmahan 'sekutu' bapanya – abang & abang ipar. Demi seorang wanita bergelar ibu, dia rela korbankan hati dan perasaannya walaupun pada hakikatnya dia tidak pernah merelakan apa yang diputuskan buat dirinya. Lamaran daripada kenalan si ayah untuk anak teruna mereka dia terima dalam terpaksa.
Dia takut untuk merancang masa depannya. Masa depan yang belum pasti menjanjikan bahagia buat dirinya. Dia insaf dan sedar akan keadaan diri. Dia gadis yang tidak sempurna. Dia gadis yang ternoda. Namun dia juga manusia biasa yang mendambakan cinta dalam hidupnya. Tegakah dia membuka aib diri hanya kerana ingin dicintai dan menyintai?
* * * * * *
Usai membaca, aku menarik nafas lega! Aduhai,
Karya kedua Hani Fazuha ini sememangnya mampu membuatkan aku terpaku. Selagi tidak aku ketahui kesudahan hidup seorang Dya, selagi itu aku tidak puas hati!. Konflik demi konflik yang melanda Dya membuatkan keinginan aku membuak-buak, ingin mengetahui kesudahan yang menimpa Dya. Baikkah atau burukkah nasib yang tersurat buatnya?
Aku sukakan mainan bahasa Hani Fazuha melalui karya terbaharunya ini. Terserlah kematangannya dalam berkarya. Penulis bijak mengungkap kata, menyusun bicara, menjadikan setiap konflik yang melanda Dya, aku turut sama merasainya. Tatkala dia diulit duka, aku terheret sama merasa laranya. Tatkala dia ditimpa musibah, aku turut sama merasa malangnya. Dan ketika dia diselimuti rasa gembira, aku turut sama merasa bahagianya.
Jika diberi peluang bertemu mata dengan 'Dya' hanya satu persoalan yang aku ingin utarakan… "mengapa teganya kamu membiarkan diri dinodai berkali-kali?" Aku cukup tidak puas hati!!. Pertama kali ketika kamu masih di usia setahun jagung, aku masih boleh terima kerana tika dan saat itu, keadaan mungkin tidak mengizinkannya. Tetapi pabila kamu sudah menginjak dewasa, dan sudah berkahwin pula! kenapa masih terbuka peluang, membiarkan diri diratah oleh manusia durjana itu?? Aduh!! geramnya aku pada 'Dya'. Hahaha aku memang emosi!!
Pada aku, Dya terlalu 'lembut hati', dia terlalu berbaik sangka!, hinggakan meracun diri sendiri. Bangkit Dya, perjuangkan hak kamu. Belalah nasib diri kamu yang tertindas itu!!, Sebagaimana surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya." Begitu juga kamu Dya, sesungguhnya hanya kamu yang mampu merubah nasib
Isk aku sudah keterlaluan. Tapi itulah hakikatnya, aku jadi emosi apabila terasa diri (wanita) sering menjadi mangsa! Sesungguhnya aku memang GERAMMM pada Dya!!! Jika dengan membuka aib diri, mampu mengubah nasib kita ke jalan yang lebih baik, jalan yang diredhai Allah, rasanya tidak salah bukan?? Tapi pastikanlah ianya melalui saluran yang betul. Bukan dengan membabi buta. Negara kita ada undang-undang, ada pertubuhan yang akan membela nasib mereka yang teraniaya. Walau bagaimanapun, kamu harus terus tabah 'Dya' dengan tohmahan dan kritikan masyarakat!.
Buat Hani Fazuha. TAHNIAH! Sesungguhnya karya terbaharu ini mampu membuatkan kakwan terpaku tidak berganjak. Well done sis!
PS: Terima kasih daun keladi Hani atas 'bingkisan kasih' ini., Doa kakwan moga idea kamu akan terus mencurah-curah untuk terus berkarya…
Next Page |