calendar
<< July 2008 >> | ||||||
Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
01 | 02 | 03 | 04 | 05 | ||
06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 |
13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 |
20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 | 26 |
27 | 28 | 29 | 30 | 31 |
categories
contact
cReditS
Pengarang : Hendan Yahya
Halaman : 383
Tahun : 2008
Terbitan : Creative Enterprise
Harga : RM18.90
Blurb:
KUGAPAI KASIHMU... menginsafi kita bahawa bukan mudah seseorang itu mendapatkan sebuah cinta dan nilai kasih sayang yang tulus ikhlas. Watak-watak setia dan jujur misalnya, sering menjadi mangsa kepada mereka yang durjana, rakus dan tamak. Kerana itu, dalam hal memilih jodoh atau pasangan hidup, masih ada watak Melayu yang kaya-raya tetapi jujur dan sabar dalam mencari intan dan permata bernilai. Zarif, pemuda beriman ini, tidak mempergunakan kedudukannya untuk dijadikan umpan memikat gadis jelita yang digilainya sekian lama.
Hal inilah yang terjadi pada watak utama novel ini, Nurin guru sekolah rendah berasal dari kampung yang mendapat jodoh dengan anak hartawan bergelar Tan Sri, iaitu Zarif, walaupun bukan kekayaan menjadi impiannya. Hubungan Nurin sekian lama dengan Luqman pemuda sekampungnya yang menjadi siswa perubatan di Kuala Lumpur tidak membawa kebaikan kepadanya. Justeru kehidupan Luqman yang bebas dan terbabas itu akhirnya mendapat jodoh daripada kalangan gadis kurang moral juga, bernama Mastura walaupun cinta sebenar Luqman tertumpah pada Nurin.
~ A Rahim Abdullah Penyair, Pengkritik dan Pensyarah Penulisan Kreatif,
ASWARA.
Kugapai Kasihmu merupakan novel ke-4 selepas Nabila, Nabila 2 & Aku Yang Kau Tinggalkan karya Hendan Yahya yang aku baca.
Kisah tentang Nurin seorang pendidik muda yang sering diperlakukan dengan tidak adil oleh ayahnya sendiri. Lahir dari keluarga yang berpecah-belah ibu bapanya bercerai lantaran sikap bapanya yang tidak bertanggungjawab sedikitpun tidak mempengaruhi Nurin. Bahkan dia bangkit dari kesulitan hidup untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada. Bersandarkan kecekalan dan kesabaran Nurin meneruskan hidupnya tanpa sebarang sungutan.
Luqman, dia lelaki yang disandarkan harapan untuk mengharungi suka-duka di hari muka. Tetapi dia lelaki yang mengkhianatinya. Mahasiswa jurusan kedoktoran yang menjadi teman istimewa Nurin, dalam diam mengkhianatinya. Pada Luqman, Nurin adalah 'sumber kewangan'nya untuk memenuhi keperluannya berfoya-foya. Walaupun jauh di lubuk hati Nurin tetap insan yang disayanginya.
Dalam kesulitan Nurin mendepani masa depan, Zarif di'utus'kan sebagai penyelamat. Kehadiran Zarif di kala dirinya benar-benar memerlukan bantuan sedikit sebanyak memberinya kekuatan. Zarif yang hatinya sudah terjerat dengan cinta pandang pertama, terpaksa akur bahawa hati Nurin sudah dimiliki oleh lelaki lain. Dia pasrah kerana jodoh pertemuan adalah ketentuan takdir namun jauh di sudut hatinya dia masih berharap. Andai ada jodoh antara mereka
dialah lelaki yang paling bertuah itu.!!
Bagaimana kesudahan dan pengakhiran kisah Nurin Luqman Zarif ini?? Nurin sampai bila dia harus diuji dengan segala macam dugaan dan mampukah dia mengharunginya?? Luqman sampai bila dia mampu menutup tembelangnya?? Dan Zarif sampai bila dia harus menunggu sedangkan dia tahu, dia tidak mampu melawan takdir?? Semua persoalan ini ada jawapannya
ada dalam novel ini!
Aku suka dengan 'cerita' Hendan. Aku suka dengan bahasa Hendan. Pendek kata aku suka novel ini kerana ia karya Hendan Yahya. Watak Nurin yang secara fitrahnya adalah lemah, tetapi dia tidak selemah fizikalnya kerana secara mentalnya ia seorang wanita yang kuat dan cekal. Dalam lemah gemalai, dia tegas dan nekad. Nurin melambangkan kecekalan seorang wanita yang sering diuji. Bahkan ujiannya bukan sedikit tetapi ada kalanya bertimpa-timpa datangnya.
Namun secara peribadi aku sangat kecewa dengan novel ini. Bukan kerana ceritanya tak sedap. Sedap!! Atau kerana bahasanya tak bagus. Juga tidak.!! Tapi aku sangat kecewa dengan 'editing'nya.
Terlalu banyak kesilapan ejaan yang aku nampak. Bahkan di awal-awal muka surat lagi mata aku sudah menangkap bukan satu, bukan dua bahkan beberapa perkataan hanya di halaman yang sama. Sayang sungguh.!! Karya yang sebegini indah telah dicacatkan oleh penyuntingan yang buruk. Jika sekadar satu dua perkataan, aku rasa aku masih lagi boleh menutup sebelah mata. Tapi sayangnya ia benar-benar mengganggu konsentrasi aku untuk menghabiskan bacaan ini.
Walau bagaimanapun ia masih berbaloi untuk dibaca.
Pengarang : Hani Fazuha
Halaman : 464
Tahun : 2008
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM18.00
Blurb:
BUKAN kehendak Natasya menerima Zahim, tetapi itulah tanda pengorbanannya sebagai seorang anak. Perginya Zahim tanpa sepatah kata juga bukan pintanya, tetapi itulah hidup yang ditakdirkan ke atasnya. Bagi Natasya, andai takdir memisahkan mereka, takdir jugalah yang bakal menemukan mereka kembali. Jika diberi peluang meminta, akan dipinta agar mereka tidak dipertemukan lagi buat selama-lamanya. Mengapa perlu ada pertemuan lagi di saat hati sudah hampir merelakan perpisahan?
"Rasanya, ikatan ni langsung tak bererti buat kita berdua. Jalan yang terbaik, putuskan saja."
Namun, takdir ALLAH tiada siapa yang dapat menduga. Kerana pengorbanan juga, sekali lagi dia terpaksa menerima Zahim kembali, tapi di saat dia mula mengecap rasa bahagia bersama, sekali lagi kepercayaannya dikhianati tanpa belas.
Apakah semua pengorbanannya selama ini tidak memberi apa-apa makna pada Zahim? Lantas, apa sebenarnya yang dia mahukan? Kalau bahagia seorang suami bukan pada isteri, di mana letaknya bahagia itu?
Peliknya cinta... walau dilukai berkali-kali, hati masih mampu menyayangi. Sekalipun parut kelukaan itu mencacatkan, namun cinta di hati hanya akan berhenti bila nyawa dan roh diangkat ke langit. Dia percaya;
"Isteri yang baik akan menerima suami seadanya. Isteri yang solehah akan mengikut kemahuan serta kehendak suami setulusnya dan isteri yang sempurna akan sentiasa cuba menyempurnakan diri sendiri demi kebahagiaan suaminya."
******
Mengukir Bahagia adalah buku terbaru Alaf21 yang aku baca setelah seketika aku seakan hilang deria rasa pada buku terbitan Alaf. Buku setebal 464 helaian mukasurat ini mampu aku habiskan dalam masa satu hari. Satu pencapaian yang sungguh memberangsangkan (buat aku la!!).
Kisah tentang Natasya yang terpaksa menerima Zahim sebagai suami kerana satu janji. Kerana kasihkan ayah yang bersusah payah membesarkan dirinya sendirian tanpa ibu yang lebih awal dijemput Ilahi, menyebabkan Natasya sanggup mengenepikan kemahuan hatinya semata-mata untuk menggembirakan hati si ayah.
Zahim yang tidak dapat menerima perkahwinan yang diatur ni nekad, tidak menunjukkan diri di hari persandingan mereka (majlis akad nikah telah berlangsung pada sebelah malam sebelumnya) memaksa majlis persandingan terpaksa dibatalkan dan Natasya menanggung malu pada jiran tetangga dan sanak saudara selain hatinya yang tersayat luka.
Kehadiran Zahim di malam persandingan mereka dengan kata-kata ..kalau ya pun nak menjual anak, juallah pada orang yang sudi membelinya.. menyebabkan ayah Natasya meninggal akibat serangan jantung. Meninggalkan Natasya sendirian, menempuh keperitan hidup. Mulai saat itu dia tidak mampu menolak dendam yang mula meracuni hatinya. Dengan nama Allah yang satu, awak tak akan bahagia walau ke hujung duniapun awak pergi selepas ini Itulah sumpahan Natasya pada Zahim tatkala Zahim melangkahkan kaki meninggalkan dirinya dan tidak kembali lagi.
Empat tahun Natasya merawat luka dihati yang ditoreh oleh Zahim. Setelah dia hampir berjaya menyembuhkannya, saat hatinya mula mengecap erti bahagia dengan kehadiran Haris, Zahim datang munculkan diri. Muncul menagih haknya, bagaikan tidak pernah berlaku apa-apa dalam hubungan mereka. Nyata kehadiran Zahim berjaya mengucar-kacirkan hidup Natasya. Hidup yang sudah tenang-tenang sebelum ini. Kini bagaikan tsunami melanda hatinya. Mengubah sifat Natasya yang lembut dan penyabar menjadi sebaliknya.
Bagaimana kesudahan cerita ini..?? anda kenalah baca sendiri.
Pada aku, apa yang berjaya mengikat aku untuk membaca novel ini hingga ke noktah akhir adalah cara Hani Fazuha menyusun plot. Di awal bab lagi, penulis telah berjaya membuatkan hati aku jadi tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku pada Natasya dan apa penyudah kisah hidupnya.
Walaupun tema yang diutarakan sudah acapkali aku baca kisah kahwin aturan keluarga, yang akhirnya jatuh cinta pada suami sendiri tapi bagaimana penulis mengolah dan membawa pembaca menyelusuri kisah disebalik berlakunya kejadian itu, berjaya menutup kekurangan tersebut. Aku juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan penggunaan bahasa yang pada aku tidak meleret-leret.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesilapan yang aku perasan, antaranya kesalahan penggunaan nama antara Zahim dan Haris, juga terdapat nama Lukman, watak yang langsung tidak ada kena-mengena dalam cerita ini.
Selain daripada itu, terdapat sedikit kekeliruan fakta ketika Natasya dimasukkan ke wad setelah mengalami morning sickness yang teruk.
Im kat Singapura masa aku telefon dia malam tadi. Dia terus terbang balik lepas dapat tahu kau masuk hospital
(ms 297). Setahu aku Zahim yang menghantar Natasya ke hospital yang kemudiannya kena tahan di wad.
Dan satu lagi kekeliruan fakta yang aku perasan adalah tentang ibubapa mertua Natasya yang merujuk kepada ibu & bapa Haris. Orang yang paling gembira hari itu sudah tentunya ibu dan bapa mertuaku, Puan Sri Kamariah dan Tan Sri Ibrahim yang aku panggil aunty dan uncle. (ms319). Setahu aku ibu mertua Natasya iaitu ibu Zahim telah meninggal dunia dan bapa Zahim iaitu bapa mertuanya adalah Tan Sri Hasyim.
Secara keseluruhannya, selain daripada beberapa kesilapan teknik, pada aku novel ini aku boleh layan. Dan sebagai penulis baru, aku kira ini merupakan satu pencapaian yang agak baik walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki dan diberi perhatian oleh penulis dan pihak editor. Namun dengan usaha yang gigih dan berterusan tidak mustahil Hani Fazuha mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan penulis-penulis senior Alaf yang lain, yang lebih dahulu mencipta nama, yang telah membina satu kelompok pengikutnya yang tersendiri. Kalau anda suka Aisya Sofea atau Anis Ayuni, aku yakin anda akan suka dengan novel ini.
Buat Hani Fazuha
Tahniah!! teruskan berkarya!!. kak wan yakin anda mampu membuktikannya.
Pengarang : Nur Hazma
Halaman : 883
Tahun : 2007
Terbitan : Tintarona Publications Sdn Bhd
Harga : RM35.00
Blurb:
"Cinta bukanlah satu cagaran !"
Maisara merenung lama wajah Imran yang sedang lena, lelaki yang terpaksa dikahwininya. Sememangnya hati Maisara rela bersuamikan Imran. Sejak zaman sekolah lagi dia mencintai Imran. Namun cinta itu tetap menjadi rahsia hatinya.
Sesungguhnya, Maisara menyintai lelaki itu sepenuh jiwa raganya dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan rela sedangkan Imran menganggapnya tidak lebih daripada seorang sahabat baik. Perkahwinan mereka pun atas dasar terpaksa. Cinta Imran hanyalah untuk Tina.
Kemesraan Imran terhadapnya sebagai pasangan suami isteri hanyalah sebuah lakonan semata-mata, demi menjaga hati emaknya yang amat menyayangi Maisara sebagai menantu. Namun, Maisara tidak tahu sampai bila dia mampu bertahan, merelakan dirinya seumpama pohon yang semakin layu kerana tidak disiram. Dia mahukan keadilan untuk diri dan maruahnya sebagai wanita.
Mampukah dia meraih cinta Imran atau akan berkuburkah perkahwinan mereka seperti yang telah dirancang oleh Imran?
**~**
Bukan Terlarang, kisah tentang Maisara yang terpaksa mengahwini Imran ekoran daripada satu insiden yang memalukan ditangkap basah oleh kedua orang tua Imran. Walaupun Imran adalah lelaki yang diminati dan dicintai dalam diam sedari bangku sekolah lagi, tetapi memikirkan Imran telahpun mempunyai teman wanita yang juga merupakan teman serumah merangkap teman baiknya, meletakkan Maisara dalam keadaan serba-salah.
Maisara akur bahawa Imran menyintai Tina sepenuh hati dan hanya menganggapnya sebagai teman baik. Sementelah pula mereka berasal dari sekolah dan daerah yang sama. Namun segalanya berubah seiring dengan perubahan status antara mereka. Perkahwinan 'segera' dan tanpa rela, menyebabkan hubungan yang sebelum ini terjalin baik antara mereka Imran & Maisara mula berubah corak.
Sebagai salah satu syarat perkahwinan, status hubungan dan perkahwinan mereka haruslah dirahsiakan dari pengetahuan rakan sepejabat - Maisara dan Imran bekerja di tempat yang sama - dan mereka akan tetap berlagak seperti biasa. Maisara, tetap anak dara walaupun telah memegang status 'isteri'. Natijahnya Maisara terpaksa memendam rasa.
Hubungan mereka bertambah 'kelam-kabut' apabila Imran mendapat tahu 'rahsia hati' Maisara terhadapnya. Mengeruhkan lagi keadaan, Tina mengundur diri dan memilih lelaki pilihan keluarga yang memang ditentukan untuknya, menyebabkan Imran bertambah berang dan menuduh Maisara yang memerangkap dirinya. Sebagai hukuman, Imran menjalinkan hubungan dengan Zeta wanita yang terkenal sebagai penggoda semata-mata kerana ingin melampiaskan amarahnya terhadap Maisara.
Mereka juga terpaksa berlakon di depan mata kedua-dua orang tua mereka memandangkan Maisara adalah menantu kesayangan orang tua Imran. Merumitkan lagi keadaan, kedua orang tua mereka terlalu mengharapkan kehadiran cahayamata daripada Imran dan Maisara sedangkan mereka tidak pernah 'bersama' kerana ikatan mereka hanya termeterai di atas kertas.
Bagaimana kesudahan kisah mereka.?? Anda kenalah baca kerana semuanya ada dalam novel ini.
Aku suka dengan cerita ini. Walaupun 'isu kahwin paksa' sudah terlalu kerap disogokkan pada pembaca, tetapi bagaimana kreativiti penulis menggarap cerita, menyusun plot, membina watak dan konflik amat penting untuk menarik minat pembaca, membacanya hingga ke noktah terakhir. Nur Hazma berjaya menemui formula itu lantas mengikat aku membaca novel ini hingga ke titik akhir.
Watak Maisara yang 'baik' pada pandangan mata kasar namun tiada siapa yang dapat membaca isihati dan perasaannya. Aku suka watak Maisara, kerana dia wanita yang tegar dalam membuat keputusan walaupun dia sedar keputusan yang diambil menyakitkan hatinya sendiri. Walaupun hampir tewas dengan tuntutan perasaan namun dengan akal yang waras, dia tetap 'tegas' dalam membuat keputusan.
Penulis berjaya menimbulkan rasa geram aku dengan sikap Imran, yang pada aku amat tidak bertanggungjawab dan tiada sifat kejantanan. Aku bertambah geram apabila dia menuduh Maisara yang memerangkapnya, sedangkan pada aku dia yang dulu membuka 'peluang' itu.
Penulis juga berjaya membuat aku berkongsi emosi dengan Maisara yang tertekan dan rimas apabila soal anak seringkali dijadikan isu oleh kedua orang tua mereka. Cara Imran menangani masalah ini juga membuatkan aku bertambah menyampah dengan Imran. Seumpama aku yang diajukan isu ini berulang-ulang kali, dan setiap kali bertentang mata memang merimaskan!!.
Aku turut berkongsi perasaan sedih, hiba, sakit hati dan geram dengan Maisara apabila dia sendiri yang terpaksa menjadi penjamin kepada suaminya yang ditangkap khalwat dengan Zeta. Geram dan sedih terbuku dihati aku.
Pendek kata aku berpuashati dengan novel ini. Tahniah buat penulis. Teruskan usaha dalam menghasilkan lebih banyak karya yang lebih menarik.
Pengarang : Imaen
Halaman : 472
Tahun : 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti.
Aku
Dia
Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah?
Siapakah dia berani merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini?
Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangnya?
Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku! Tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku!
Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan.
**~**
Setelah Vendetta (Gurindam Jiwa) dan Labyrinth, IMAEN melakarkan risalah pemuzik jalanan busker berbicara tentang cinta antara Fadlan & Nadira, dengan bahasa mantap penuh falsafah, namun disajikan dalam nada manis cara Bohemian.
********
Bohemian, kisah tentang pemuzik jalanan yang ingin mempertahankan prinsip dan pegangannya di zaman yang didakwa serba-serbi moden.
Kisah tentang pemuzik jalanan yang ingin memperbetulkan persepsi dan tanggapan orang ramai tentang muzik. Kisah tentang Pemaju dan PBT pihak berkuasa tempatan yang korup. Juga kisah polis dan penjahatnya.
Fadlan sang Bohemian lulusan Kejuruteraan Universiti Malaya tetapi memilih hidup sebagai 'busker'. Menyanyi di dataran Syiouk Skali dan menjadikan nyanyiannya sebagai sumber rezeki. Kisah tentang Nadira si loyar yang hidup berlandaskan prinsip dan rutin yang harus dituruti jadualnya.
Namun bila dua manusia yang berbeza cara hidup dan pemikiran bak langit dan bumi, bertemu di satu garisan yang dinamakan 'cinta', akan bertemukah satu noktah yang dinamakan 'keserasian'??
Apa yang aku suka sangat akan Bohemian ini adalah pengisiannya. Ia bukan sekadar novel tetapi ia sarat dengan ilmu yang amat berguna buat aku yang jahil ini. Ia padat dengan info dan kata nasihat.
Lagi satu aku suka dengan bahasa Imaen. "Bahasa mantap penuh falsafah namun disajikan dalam nada manis" bak kata blurb belakang kulit. Namun dalam manis kata bicara, tetap terselit nada sinis buat pembaca yang mengerti.
Aku suka dengan persoalan yang diutarakan oleh Imaen. Persoalan biasa tentang dunia muzik tanah air yang dewasa ini sudah menjadi 'rojak'. Persoalan tentang 'korupsi', tentang amalan 'under table' yang sama ada kita sedar atau tidak, memang wujud dalam masyarakat kita hari ini. (Ops! dan ada tips & resepi jugak ya!! ) Dan apa yang pasti, pada aku Bohemian cukup rencahnya, kerana ia mampu membuatkan perasaan aku bercampur-aduk ~ suka, sedih, suspen, terbuai ~ bahkan aku tidak mampu menyembunyikan sengihanku sepanjang menghabiskan bacaan ini.
Bohemian pada aku lebih 'lembut' berbanding Labyrinth yang lebih mysterious. Namun tahap 'kesinisan'nya masih di tara yang sama atau mungkin lebih??
Sekalung tahniah buat penulis kerana berjaya menambahkan satu lagi sumber maklumat. Penulis berjaya menyelitkan fakta tanpa aku sebagai pembaca bosan untuk membacanya (dan nasihat juga!!). Aku yakin penulis telah membuat rujukan dan penyelidikan yang teliti.
Buat Imaen, tahniah & teruskan berkarya!!
P/S: YAY..!! semangat aku dah kembali...!! (tengah dok mengulit Bukan Terlarang karya Nor Hazma)
Pengarang : Dr Ang Swee Chai
Halaman : 403
Tahun : 2007
Terbitan : Unit Buku Harakah (Edisi Terjemahan)
Harga : RM 28.00
Dari Beirut Ke Jerusalem adalah 'catatan perjalanan' penulis Dr Ang Swee Chai sebagai sukarelawan (doktor) yang bertugas di Lubnan ketika berlakunya tragedi berdarah yang menyayat hati. Pembunuhan beramai-ramai mereka yang tidak berdosa kanak-kanak, wanita & warga tua di kem Sabra & Shatila pada tanggal 15-18 September 1982. Buku yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ini sarat dengan maklumat terperinci, daripada pengunduran PLO dari Beirut hinggalah tragedi kemanusiaan yang dilalui oleh Dr Ang sebagai sukarelawan. Semuanya dari kaca mata seorang doktor.
Dari Beirut Ke Jerusalem adalah testimoni penulis kepada dunia tentang 'wajah sebenar' penduduk Palestin di bawah cengkaman para penyangak dunia yang tiada sekelumitpun perasaan belas kasihan dan timbang rasa. Kisah tentang keperitan rakyat Palestin yang terus menerus dinafikan hak mereka di bumi yang dahulunya adalah tanah air mereka sendiri.
Dari Beirut Ke Jerusalem adalah kisah kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin. Juga tentang ketabahan rakyat Palestin membangunkan 'negara' mereka di sebalik puing-puing keruntuhan walaupun dimusnahkan berkali-kali. Malah mereka juga terpaksa menelan hakikat kehilangan ahli keluarga tersayang mahupun 'ahli anggota badan' sebagai galang gantinya.
Dari Beirut Ke Jerusalem adalah 'wajah' anak-anak Palestin yang hidup bertemankan bedilan mortar dan dentuman bom yang menjadi 'mainan' mereka setiap saat setiap detik namun masih bisa mengukirkan senyuman berserta lambang 'V' tatkala di'potret'kan oleh lensa kamera penulis.
Dari Beirut Ke Jerusalem adalah cerita sedih si ibu, si isteri dan si anak yang kehilangan para syuhada mereka demi mempertahankan 'tanah' Palestin yang telah kehilangan tapaknya. Si isteri menjadi balu dan si anak menjadi piatu. Namun mereka tetap pasrah. Mereka tetap hidup dengan kepercayaan, harapan dan kasih sayang agar satu hari nanti mereka bisa hidup dengan aman.
Dari Beirut Ke Jerusalem juga adalah kisah 'cinta'. Cinta yang tidak berbelah bagi 'rakyat Palestin' pada tanah air, demi cinta mereka sanggup mati kerananya. Cinta mereka pada bangsa dan cinta mereka pada keamanan yang amat jauh dari hidup mereka. Juga cinta para sukarelawan pada anak-anak Palestin tanpa mengira bangsa dan agama.
Walaupun akhirnya Sabra & Shatila lenyap dari muka bumi, namun luka yang ditinggalkan di jiwa mereka yang masih hidup akan tetap berparut sehingga ke akhir hayat. Semangat Sabra & Shatila akan terus menjadi api yang membara di dada anak-anak bangsa Palestin yang akan terus berjuang demi bangsa dan maruah mereka.
Dari Beirut Ke Jerusalem adalah jurnal perang yang lahir dari keinsafan penulis terhadap musibah yang menimpa rakyat terutamanya di negara teluk yang buminya tidak pernah aman. Sebagaimana petikan yang terkandung dalam prakata khas untuk edisi bahasa Malaysia buku ini Dr. Ang menulis: "Setelah berkali-kali memeriksa diri, saya membuat kesimpulan bahawa darah rakyat Palestin turut membasahi tangan saya. Sehingga ke saat itu saya masih berprasangka dan bersikap berat sebelah. Saya tidak boleh memaafkan diri sendiri dengan berlindung di sebalik kejahilan.
"Selama berminggu-minggu sebelum berlakunya pembunuhan beramai-ramai itu, saya terlalu prejudis untuk mempercayai kisah-kisah yang diceritakan kepada saya oleh penduduk kem."
Walau apapun yang berlaku di Sabra dan Shatila, walau sudah banyak yang diperkatakan dan diketahui umum, namun terjemahan catatan perang bersempena dengan ulang tahun ke-25 tragedi kemanusiaan ini amat penting bagi mengingatkan warga dunia bahawa pergolakan masih belum tamat dan banyak lagi yang perlu dipelajari dan diteladani daripada peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu.
Dari Beirut Ke Jerusalem adalah hadiah kepada kita para pembaca supaya menginsafi diri dan tidak lupa pada sejarah hitam yang berlaku terhadap saudara seagama kita di bumi yang sering bergolak itu. Bacalah, nescaya anda juga akan menangis seperti saya mengenangkan nasib yang menimpa saudara kita di 'seberang' sana. Buku ini benar-benar menginsafkan saya.
Next Page |