calendar
<< August 2008 >> | ||||||
Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
01 | 02 | |||||
03 | 04 | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 |
10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 |
17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 | 23 |
24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 | 30 |
31 |
categories
contact
cReditS
Pengarang : Amir Hussaini
Halaman : 376
Tahun : 2008
Terbitan : PTS Fortuna
Harga : RM24.00
Blurb:
Dia ingin menuntut bela ke atas penciptanya……
Teknologi memindahkan genetik haiwan dan tumbuhan kepada embrio yang diklonkan daripada manusia sudah ditemui. Kini pakar genetik boleh mencipta manusia dengan kelebihan istimewa. Manusia dengan deria hidu sensitif seperti anjing, misalnya. Ataupun, manusia yang boleh menghasilkan makanan sendiri melalui fotosintesis. Inilah yang dilakukan oleh pakar genetik di Institut Trans-DNA, secara rahsia.
Sehinggalah segala-galanya terbongkar, apabila subjek eksperimen yang terbebas dari makmal mula membunuh orang awam....
Dalam Transgenesis: Bisikan Rimba, Amir Husaini menggabungkan bakat penulisan luar biasa dan pengetahuan saintifik menakjubkan bagi menghasilkan fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan!
Transgenesis : Bisikan Rimba adalah karya kedua Amir Husaini yang aku baca selepas Ombak Senja. Kali ini Amir Husaini tampil dengan 'wajah' yang berbeza. Kisah tentang teknologi pengklonan antara manusia dan hidupan alam ciptaan Allah yang berkongsi bumi yang sama. Ia sebuah kisah sains fiksyen.
Segalanya bermula dengan pembunuhan misteri Hwang Chien Ming seorang tauke balak di hutan simpan Gunung Pulai bersaksikan Razilan, pekerjanya. Pembunuhan oleh 'makhluk serba hijau' menjadi tanda tanya dan menimbulkan persoalan kepada orang ramai akan 'siapa' atau 'apa' makhluk yang didakwa menjadi pembunuh misteri tersebut.
Buraquzzaman Baharudin, wartawan akhbar tabloid Semboyan Nasional ditugaskan untuk 'cover' tentang pembunuhan tersebut. Ekoran daripada laporan tersebut menyebabkan Institut Trans-DNA sebuah institut penyelidikan genetik, tidak senang duduk kerana ia ada kaitan dengan rahsia penyelidikan mereka.
Kehilangan subjek 4-7-9-1 memaksa Datin Kay selaku pengasas Institut Trans-DNA dan Datuk Jay, seorang usahawan yang menjadi penyumbang dana bagi membiayai penyelidikan di institut tersebut menubuhkan sepasukan pencari yang disertai oleh mereka sendiri selain daripada Profesor Joned Jauhar, Tracker dan beberapa orang lagi sebagai penunjuk jalan untuk mencari subjek 4-7-9-1.
Walau bagaimanapun pencarian subjek 4-7-9-1 bukanlah semudah yang disangkakan. Pelbagai kejadian aneh mengekori mereka. Rupanya ada rahsia yang cuba diselindungkan dari pengetahuan umum. Satu rahsia yang telah dibungkus kemas berbelas-belas tahun yang lalu bahkan ada rahsia lain yang terselindung di balik rahsia yang cuba disembunyikan.
Flora - si gadis manis mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh manusia biasa. Dia manusia istimewa. 'Kelahiran'nya juga adalah melalui satu proses yang panjang dan rumit. Ia lahir hasil daripada pengklonan antara manusia dan tumbuhan yang memaksa sejumlah 4790 klon embrio terpaksa dikorbankan. Tapi benarkan semuanya berjaya dilupuskan??
Pembunuhan misteri, kebuntuan pihak polis dalam menjalankan siasatan pembunuhan ke atas tauke balak dan keghairahan wartawan membongkar kejadian aneh telah menyebabkan tersingkapnya tabir rahsia yang cuba diselindungkan bertahun-tahun yang lampau.
Benarkah Flora atau subjek 4-7-9-1 yang membunuh?? Atau ada subjek lain yang menjadi dalang pembunuhan misteri tersebut?? Nak tahu siapa atau bagaimana..?? Anda yang perlu membuat 'kajian' sendiri.
Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka karya terbaru Amir Husaini ini. Ia ada kelainannya. Apa yang membuatkan aku kagum adalah cara penulis mengolah plot cerita yang pada awalnya kita nampak bagaikan jalan lurus tetapi sebaliknya ada lencongan 'di depan sana' yang tidak terjangka dek fikiran kita. Begitulah jalan cerita ini. Jangan sangka jalan lurus tiada simpang yang menanti.!!
Penulis berjaya memanipulasi pembaca terutamanya aku kerana setiap telahan dan andaian yang bermain di kepala tatkala sedang membacanya adalah salah sama sekali. Setiap andaian yang aku cuba lakarkan dalam kepala aku menjadi berantakan apabila tiba pada titik kemuncaknya.
Tahniah pada penulis. Satu lagi karya yang aku pasti para pembaca yang gemarkan genre 'Sci-Fic' harus membacanya.
Dan aku harap ada kesinambungannya kerana banyak lagi persoalan yang sampai ke noktah terakhirnya tetap menimbulkan tanda tanya yang berlegar di kepala aku... dan yang pastinya aku ingin tahu siapa 'Atuk' tu?? Amir.... siapa 'atuk' tu??!!
Pengarang : Norisah A. Bakar
Halaman : 584
Tahun : 2008
Terbitan : Creative Enterprise
Harga : RM26.90
Blurb:
" Cinta datang tanpa disedari, perasaan cinta itu sukar untuk digambarkan "
Perasaan cinta bukan rasa mutlak yang boleh membawa ke mahligai perkahwinan. Nur Asyikin punya hati terhadap Zulkarnain. Namun, cinta mulis yang diidamkan oleh Nur Asyikin ditolak oleh jejaka itu. Tetapi selepas berjauhan dan tinggal di Australia, rasa menyesal dan cinta mula berputik di hati Zulkarnain. Timbul perasaan untuk mengait benih-benih cinta yang telah diabaikannya selama ini. Apakan daya, hembusan angin yang lembut tidak dapat menyampaikan suara hatinya itu. Cinta dan hasrat hati Zulkarnain terkubur jauh kerana jarak antara benua yang telah memisahkannya. Nur Asyikin pula berdepan dengan pelbagai dugaan hati dan juga kehidupannya seharian. Bagaimanapun, roh cinta kemudiannya hadir dalam dirinya.
Ahmad Zakuan lelaki yang kurang dipandang ramai kerana statusnya, hadir dalam hidup Nur Asyikin. Sayangnya, pelbagai dilema timbul menghalang penyatuan hati antara mereka berdua. Ahmad Zakuan cuba melamar Nur Asyikin. Cuma mampukah dirinya diterima oleh gadis yang menjadi dambaannya itu? Hanya jodoh, keadaan dan kekuatan cinta antara mereka yang mampu menyatukan kedua-duanya di jenjang pelamin. Doakanlah penyatuan mereka itu.
Kasih Antara Kita, kisah tentang Nur Asyikin, yang jatuh hati pada Zulkarnain teman sepejabatnya, namun rahsia hati yang disimpan erat dapat jua dihidu oleh si jejaka, lantaran hubungan yang sebelumnya baik-baik sahaja menjadi renggang. Zulkarnain mula membina jurang antara mereka dengan mengalih perhatian pada Hartinah. Nur Asyikin yang sedar diri terpaksa membenam jauh-jauh rasa hati yang mula berputik itu. Jurang itu makin jauh apabila Zulkarnain melanjutkan pelajarannya ke Australia. Sudahnya, sendirian Nur Asyikin merawat luka di hati.
Walaupun secara zahirnya Nur Asyikin dapat mengaburi pandangan mata rakan-rakan yang lain, tetapi tidak pada Nizam. Nizam yang dalam diam menaruh hati pada Nur Asyikin. Dia cuba merawat luka dihati Nur Asyikin dengan menawarkan cintanya sebagai ganti. Tetapi malangnya pintu hati yang satu itu telah di'rosak'kan oleh Zulkarnain menyebabkan Nur Asyikin tidak mampu menyambut huluran kasih Nizam.
Zulkarnain – seperkara yang dia pelajari, dia belajar erti rindu, erti kehilangan tatkala diri jauh beribu batu… jauh dari pandangan mata. Apabila sendirian di bumi kangaroo, dia mula sedar bahawa hatinya mula rindukan Nur Asyikin. Namun jarak antara benua tidak memungkinkan dia menzahirkan rasa hatinya pada si gadis. Apatah lagi kesan yang ditinggalkan masih lagi berparut luka.
Ahmad Zakuan – dia lelaki yang tidak punyai matlamat hidup. Itulah tanggapan Nur Asyikin pada lelaki yang sukakan Nur Suraya adiknya. Sementelah pula Ahmad Zakuan seringkali bertukar-tukar kerja, mengukuhkan lagi tanggapannya. Namun ironinya, lelaki ini yang sering menghulurkan bantuan sama ada dia sedar mahupun tidak. Dan kehadirannya seringkali dalam keadaan yang tidak terjangkakan.
Nur Asyikin, dia anak kedua daripada empat beradik perempuan yang lahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat melayu singapura yang rata-rata kehidupan mereka 'seadanya' sahaja. Walau bagaimanapun tidak pada ibunya yang memandang 'material' sebagai pengukur status. Si ibu bertambah 'megah' apabila anak kesayangannya bertemu jodoh dengan 'orang kaya' yang dia harapkan dapat menumpang senang… hidup bak 'orang kaya'. Karenah ibu membuatkan hidup Nur Asyikin sering tidak tenang. Apatah lagi kerap berlaku perselisihan faham antara si ayah dan si ibu. Akibatnya si ayah yang sering menjadi mangsa keadaan, yang terpaksa mengerah keringat hanya untuk membayar hutang yang dibebankan di atas pundaknya. Yang akhirnya membuatkan si ayah tewas dan meninggal dunia.
Nur Asyikin juga terpaksa berdepan dengan karenah si kakak – Nur Amira dan adiknya Nur Suraya yang terlalu dimanjakan oleh si ibu, yang menambahkan lagi pening kepalanya. Nur Asyikin terpaksa menelan setiap karenah si ibu yang tidak mahu menerima hakikat, si kakak yang sering membuat olah dan si adik yang sering membuat onar. Akhirnya diri sendiri yang sengsara menahan rasa hati.
Bagaimana nasib mereka yang ditinggalkan?? Bagaimana kesudahan kisah cinta Nur Asyikin?? Siapa yang berjaya menghuni hati Nur Asyikin setelah hatinya digores luka?? Semuanya ada dalam novel ini.
Membaca Kasih Antara Kita (KAK), mengingatkan aku pada si Raihah & Zahin dalam Rinduku Di Angin Lalu. Mungkin hanya kerana persamaan mereka, yang datangnya dari bumi Singa itu.?? Ya itu yang pastinya.! Apa yang aku suka dengan karya Norisah ini adalah kisah yang dipaparkan. Sebuah kisah masyarakat yang boleh dijadikan panduan serta peringatan buat kita. Sementelah pula aku tidak menghadapi sebarang masalah dengan lenggok bahasa si pengarangnya. Bahasa yang mudah dicerna oleh akal aku yang pendek ini.
Ia berkisah tentang kehidupan segelintir masyarakat Melayu di Singapura. Memberikan aku gambaran secara ringkas tentang cara hidup masyarakat melayu di bumi Temasik itu. Hidup berhimpit di rumah flat yang keluasannya amat terhad bersama ahli keluarga – ibu bapa, adik beradik & ipar – dapat aku bayangkan bagaimana rasanya!! Sesak dan padat sama ada secara fizikal mahupun secara mental.
Penulis berjaya membawa aku menyelusur perjalanan hidup Nur Asyikin. Membawa aku menyelami masalah demi masalah yang membebani Nur Asyikin. Bahkan aku turut sama merasai konflik yang melanda Nur Asyikin, sama ada dalam perhubungannya dengan kaum keluarga, teman sepejabat mahupun jiran tetangga.
Kisah tentang kepincangan yang berlaku dalam keluarga Nur Asyikin sedikit sebanyak meletakkan Nur Asyikin dalam dilema. Merubah pandangan Nur Asyikin akan makna cinta, bahkan aku turut sama merasakan tempiasnya apabila si adik yang lebih dahulu naik pelamin. Dapat aku bayangkan pandangan sinis berbaur pertanyaan yang dilemparkan pada Nur Asyikin yang masih lagi sendiri.
Juga diselitkan kisah tentang kepincangan yang berlaku dalam masyarakat yang meletakkan harta dan wang ringgit melebihi cintanya pada agama. Aduh! betapa rendahnya nilai agama apabila cinta mengatasi segalanya. Sedih sungguh!!
Cumanya kadang-kala aku jadi 'lelah' dengan Nur Asyikin dan Ahmad Zakuan yang umpama main tarik tali. Mereka terlalu banyak memendam rasa, membuatkan aku geram!! Geram pada Nur Asyikin yang tidak mahu berterus terang. Geram pada Ahmad Zakuan yang buat endah tak endah padahal dalam hatinya ada rasa cinta buat si gadis. Pendek kata aku geramlah!! kalau nak tu cakap jer nak… abis cerita!! ahaks brutalnya aku.
Pendek kata KAK adalah adunan tentang nilai kasih antara ibu & ayah, kasih antara saudara (adik beradik), kasih antara teman dan kasih antara kekasih. Ia adalah jalinan kasih sayang sesama insan. Umpama adunan kek coklat yang sangat lazat. Cukup bahan, tepat adunan, ditambah rasa yang sedap!!
Bravo Nor ash!! buah tangan yang tidak menghampakan aku!!
Pengarang : Hendan Yahya
Halaman : 383
Tahun : 2008
Terbitan : Creative Enterprise
Harga : RM18.90
Blurb:
KUGAPAI KASIHMU... menginsafi kita bahawa bukan mudah seseorang itu mendapatkan sebuah cinta dan nilai kasih sayang yang tulus ikhlas. Watak-watak setia dan jujur misalnya, sering menjadi mangsa kepada mereka yang durjana, rakus dan tamak. Kerana itu, dalam hal memilih jodoh atau pasangan hidup, masih ada watak Melayu yang kaya-raya tetapi jujur dan sabar dalam mencari intan dan permata bernilai. Zarif, pemuda beriman ini, tidak mempergunakan kedudukannya untuk dijadikan umpan memikat gadis jelita yang digilainya sekian lama.
Hal inilah yang terjadi pada watak utama novel ini, Nurin guru sekolah rendah berasal dari kampung yang mendapat jodoh dengan anak hartawan bergelar Tan Sri, iaitu Zarif, walaupun bukan kekayaan menjadi impiannya. Hubungan Nurin sekian lama dengan Luqman pemuda sekampungnya yang menjadi siswa perubatan di Kuala Lumpur tidak membawa kebaikan kepadanya. Justeru kehidupan Luqman yang bebas dan terbabas itu akhirnya mendapat jodoh daripada kalangan gadis kurang moral juga, bernama Mastura walaupun cinta sebenar Luqman tertumpah pada Nurin.
~ A Rahim Abdullah – Penyair, Pengkritik dan Pensyarah Penulisan Kreatif,
ASWARA.
Kugapai Kasihmu merupakan novel ke-4 selepas Nabila, Nabila 2 & Aku Yang Kau Tinggalkan karya Hendan Yahya yang aku baca.
Kisah tentang Nurin seorang pendidik muda yang sering diperlakukan dengan tidak adil oleh ayahnya sendiri. Lahir dari keluarga yang berpecah-belah – ibu bapanya bercerai lantaran sikap bapanya yang tidak bertanggungjawab – sedikitpun tidak mempengaruhi Nurin. Bahkan dia bangkit dari kesulitan hidup untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada. Bersandarkan kecekalan dan kesabaran Nurin meneruskan hidupnya tanpa sebarang sungutan.
Luqman, dia lelaki yang disandarkan harapan untuk mengharungi suka-duka di hari muka. Tetapi dia lelaki yang mengkhianatinya. Mahasiswa jurusan kedoktoran yang menjadi teman istimewa Nurin, dalam diam mengkhianatinya. Pada Luqman, Nurin adalah 'sumber kewangan'nya untuk memenuhi keperluannya berfoya-foya. Walaupun jauh di lubuk hati Nurin tetap insan yang disayanginya.
Dalam kesulitan Nurin mendepani masa depan, Zarif di'utus'kan sebagai penyelamat. Kehadiran Zarif di kala dirinya benar-benar memerlukan bantuan sedikit sebanyak memberinya kekuatan. Zarif yang hatinya sudah terjerat dengan cinta pandang pertama, terpaksa akur bahawa hati Nurin sudah dimiliki oleh lelaki lain. Dia pasrah kerana jodoh pertemuan adalah ketentuan takdir namun jauh di sudut hatinya dia masih berharap. Andai ada jodoh antara mereka… dialah lelaki yang paling bertuah itu.!!
Bagaimana kesudahan dan pengakhiran kisah Nurin – Luqman – Zarif ini?? Nurin – sampai bila dia harus diuji dengan segala macam dugaan dan mampukah dia mengharunginya?? Luqman – sampai bila dia mampu menutup tembelangnya?? Dan Zarif – sampai bila dia harus menunggu sedangkan dia tahu, dia tidak mampu melawan takdir?? Semua persoalan ini ada jawapannya… ada dalam novel ini!
Aku suka dengan 'cerita' Hendan. Aku suka dengan bahasa Hendan. Pendek kata aku suka novel ini kerana ia karya Hendan Yahya. Watak Nurin yang secara fitrahnya adalah lemah, tetapi dia tidak selemah fizikalnya kerana secara mentalnya ia seorang wanita yang kuat dan cekal. Dalam lemah gemalai, dia tegas dan nekad. Nurin melambangkan kecekalan seorang wanita yang sering diuji. Bahkan ujiannya bukan sedikit tetapi ada kalanya bertimpa-timpa datangnya.
Namun secara peribadi aku sangat kecewa dengan novel ini. Bukan kerana ceritanya tak sedap. Sedap!! Atau kerana bahasanya tak bagus. Juga tidak.!! Tapi aku sangat kecewa dengan 'editing'nya.
Terlalu banyak kesilapan ejaan yang aku nampak. Bahkan di awal-awal muka surat lagi mata aku sudah menangkap bukan satu, bukan dua bahkan beberapa perkataan hanya di halaman yang sama. Sayang sungguh.!! Karya yang sebegini indah telah dicacatkan oleh penyuntingan yang buruk. Jika sekadar satu dua perkataan, aku rasa aku masih lagi boleh menutup sebelah mata. Tapi sayangnya ia benar-benar mengganggu konsentrasi aku untuk menghabiskan bacaan ini.
Walau bagaimanapun ia masih berbaloi untuk dibaca.
Pengarang : Hani Fazuha
Halaman : 464
Tahun : 2008
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM18.00
Blurb:
BUKAN kehendak Natasya menerima Zahim, tetapi itulah tanda pengorbanannya sebagai seorang anak. Perginya Zahim tanpa sepatah kata juga bukan pintanya, tetapi itulah hidup yang ditakdirkan ke atasnya. Bagi Natasya, andai takdir memisahkan mereka, takdir jugalah yang bakal menemukan mereka kembali. Jika diberi peluang meminta, akan dipinta agar mereka tidak dipertemukan lagi buat selama-lamanya. Mengapa perlu ada pertemuan lagi di saat hati sudah hampir merelakan perpisahan?
"Rasanya, ikatan ni langsung tak bererti buat kita berdua. Jalan yang terbaik, putuskan saja."
Namun, takdir ALLAH tiada siapa yang dapat menduga. Kerana pengorbanan juga, sekali lagi dia terpaksa menerima Zahim kembali, tapi di saat dia mula mengecap rasa bahagia bersama, sekali lagi kepercayaannya dikhianati tanpa belas.
Apakah semua pengorbanannya selama ini tidak memberi apa-apa makna pada Zahim? Lantas, apa sebenarnya yang dia mahukan? Kalau bahagia seorang suami bukan pada isteri, di mana letaknya bahagia itu?
Peliknya cinta... walau dilukai berkali-kali, hati masih mampu menyayangi. Sekalipun parut kelukaan itu mencacatkan, namun cinta di hati hanya akan berhenti bila nyawa dan roh diangkat ke langit. Dia percaya;
"Isteri yang baik akan menerima suami seadanya. Isteri yang solehah akan mengikut kemahuan serta kehendak suami setulusnya dan isteri yang sempurna akan sentiasa cuba menyempurnakan diri sendiri demi kebahagiaan suaminya."
******
Mengukir Bahagia adalah buku terbaru Alaf21 yang aku baca setelah seketika aku seakan hilang ‘deria rasa’ pada buku terbitan Alaf. Buku setebal 464 helaian mukasurat ini mampu aku habiskan dalam masa satu hari. Satu pencapaian yang sungguh memberangsangkan (buat aku la!!).
Kisah tentang Natasya yang terpaksa menerima Zahim sebagai suami kerana satu ‘janji’. Kerana kasihkan ayah yang bersusah payah membesarkan dirinya sendirian tanpa ibu yang lebih awal dijemput Ilahi, menyebabkan Natasya sanggup mengenepikan kemahuan hatinya semata-mata untuk menggembirakan hati si ayah.
Zahim yang tidak dapat menerima perkahwinan yang diatur ni nekad, tidak menunjukkan diri di hari persandingan mereka (majlis akad nikah telah berlangsung pada sebelah malam sebelumnya) memaksa majlis persandingan terpaksa dibatalkan dan Natasya menanggung malu pada jiran tetangga dan sanak saudara selain hatinya yang tersayat luka.
Kehadiran Zahim di malam persandingan mereka dengan kata-kata “..kalau ya pun nak menjual anak, juallah pada orang yang sudi membelinya..” menyebabkan ayah Natasya meninggal akibat serangan jantung. Meninggalkan Natasya sendirian, menempuh keperitan hidup. Mulai saat itu dia tidak mampu menolak dendam yang mula meracuni hatinya. “Dengan nama Allah yang satu, awak tak akan bahagia walau ke hujung duniapun awak pergi selepas ini” Itulah sumpahan Natasya pada Zahim tatkala Zahim melangkahkan kaki meninggalkan dirinya dan tidak kembali lagi.
Empat tahun Natasya merawat luka dihati yang ditoreh oleh Zahim. Setelah dia hampir berjaya menyembuhkannya, saat hatinya mula mengecap erti bahagia dengan kehadiran Haris, Zahim datang munculkan diri. Muncul menagih ‘hak’nya, bagaikan tidak pernah berlaku apa-apa dalam hubungan mereka. Nyata kehadiran Zahim berjaya mengucar-kacirkan hidup Natasya. Hidup yang sudah tenang-tenang sebelum ini. Kini bagaikan tsunami melanda hatinya. Mengubah sifat Natasya yang lembut dan penyabar menjadi sebaliknya.
Bagaimana kesudahan cerita ini..?? anda kenalah baca sendiri.
Pada aku, apa yang berjaya mengikat aku untuk membaca novel ini hingga ke noktah akhir adalah cara Hani Fazuha menyusun plot. Di awal bab lagi, penulis telah berjaya membuatkan hati aku jadi tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku pada Natasya dan apa penyudah kisah hidupnya.
Walaupun tema yang diutarakan sudah acapkali aku baca – kisah kahwin aturan keluarga, yang akhirnya jatuh cinta pada suami sendiri – tapi bagaimana penulis mengolah dan membawa pembaca menyelusuri kisah disebalik berlakunya kejadian itu, berjaya menutup kekurangan tersebut. Aku juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan penggunaan bahasa yang pada aku tidak meleret-leret.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesilapan yang aku perasan, antaranya kesalahan penggunaan nama antara Zahim dan Haris, juga terdapat nama ‘Lukman’, watak yang langsung tidak ada kena-mengena dalam cerita ini.
Selain daripada itu, terdapat sedikit kekeliruan fakta ketika Natasya dimasukkan ke wad setelah mengalami ‘morning sickness’ yang teruk. “…Im kat Singapura masa aku telefon dia malam tadi. Dia terus terbang balik lepas dapat tahu kau masuk hospital…” (ms 297). Setahu aku Zahim yang menghantar Natasya ke hospital yang kemudiannya kena tahan di wad.
Dan satu lagi kekeliruan fakta yang aku perasan adalah tentang ibubapa mertua Natasya yang merujuk kepada ibu & bapa Haris. ‘ Orang yang paling gembira hari itu sudah tentunya ibu dan bapa mertuaku, Puan Sri Kamariah dan Tan Sri Ibrahim yang aku panggil aunty dan uncle. – (ms319). Setahu aku ibu mertua Natasya iaitu ibu Zahim telah meninggal dunia dan bapa Zahim iaitu bapa mertuanya adalah Tan Sri Hasyim.
Secara keseluruhannya, selain daripada beberapa kesilapan ‘teknik’, pada aku novel ini aku boleh ‘layan’. Dan sebagai penulis baru, aku kira ini merupakan satu pencapaian yang agak baik walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki dan diberi perhatian oleh penulis dan pihak editor. Namun dengan usaha yang gigih dan berterusan tidak mustahil Hani Fazuha mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan penulis-penulis senior Alaf yang lain, yang lebih dahulu mencipta nama, yang telah membina satu kelompok pengikutnya yang tersendiri. Kalau anda suka Aisya Sofea atau Anis Ayuni, aku yakin anda akan suka dengan novel ini.
Buat Hani Fazuha… Tahniah!! teruskan berkarya!!. kak wan yakin anda mampu membuktikannya.
Pengarang : Nur Hazma
Halaman : 883
Tahun : 2007
Terbitan : Tintarona Publications Sdn Bhd
Harga : RM35.00
Blurb:
"Cinta bukanlah satu cagaran !"
Maisara merenung lama wajah Imran yang sedang lena, lelaki yang terpaksa dikahwininya. Sememangnya hati Maisara rela bersuamikan Imran. Sejak zaman sekolah lagi dia mencintai Imran. Namun cinta itu tetap menjadi rahsia hatinya.
Sesungguhnya, Maisara menyintai lelaki itu sepenuh jiwa raganya dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan rela sedangkan Imran menganggapnya tidak lebih daripada seorang sahabat baik. Perkahwinan mereka pun atas dasar terpaksa. Cinta Imran hanyalah untuk Tina.
Kemesraan Imran terhadapnya sebagai pasangan suami isteri hanyalah sebuah lakonan semata-mata, demi menjaga hati emaknya yang amat menyayangi Maisara sebagai menantu. Namun, Maisara tidak tahu sampai bila dia mampu bertahan, merelakan dirinya seumpama pohon yang semakin layu kerana tidak disiram. Dia mahukan keadilan untuk diri dan maruahnya sebagai wanita.
Mampukah dia meraih cinta Imran atau akan berkuburkah perkahwinan mereka seperti yang telah dirancang oleh Imran?
**~**
Bukan Terlarang, kisah tentang Maisara yang terpaksa mengahwini Imran ekoran daripada satu insiden yang memalukan – ditangkap basah oleh kedua orang tua Imran. Walaupun Imran adalah lelaki yang diminati dan dicintai dalam diam sedari bangku sekolah lagi, tetapi memikirkan Imran telahpun mempunyai teman wanita yang juga merupakan teman serumah merangkap teman baiknya, meletakkan Maisara dalam keadaan serba-salah.
Maisara akur bahawa Imran menyintai Tina sepenuh hati dan hanya menganggapnya sebagai teman baik. Sementelah pula mereka berasal dari sekolah dan daerah yang sama. Namun segalanya berubah seiring dengan perubahan status antara mereka. Perkahwinan 'segera' dan tanpa rela, menyebabkan hubungan yang sebelum ini terjalin baik antara mereka – Imran & Maisara – mula berubah corak.
Sebagai salah satu syarat perkahwinan, status hubungan dan perkahwinan mereka haruslah dirahsiakan dari pengetahuan rakan sepejabat - Maisara dan Imran bekerja di tempat yang sama - dan mereka akan tetap berlagak seperti biasa. Maisara, tetap anak dara walaupun telah memegang status 'isteri'. Natijahnya Maisara terpaksa memendam rasa.
Hubungan mereka bertambah 'kelam-kabut' apabila Imran mendapat tahu 'rahsia hati' Maisara terhadapnya. Mengeruhkan lagi keadaan, Tina mengundur diri dan memilih lelaki pilihan keluarga yang memang ditentukan untuknya, menyebabkan Imran bertambah berang dan menuduh Maisara yang memerangkap dirinya. Sebagai hukuman, Imran menjalinkan hubungan dengan Zeta – wanita yang terkenal sebagai penggoda – semata-mata kerana ingin melampiaskan amarahnya terhadap Maisara.
Mereka juga terpaksa berlakon di depan mata kedua-dua orang tua mereka memandangkan Maisara adalah menantu kesayangan orang tua Imran. Merumitkan lagi keadaan, kedua orang tua mereka terlalu mengharapkan kehadiran cahayamata daripada Imran dan Maisara sedangkan mereka tidak pernah 'bersama' kerana ikatan mereka hanya termeterai di atas kertas.
Bagaimana kesudahan kisah mereka.?? Anda kenalah baca kerana semuanya ada dalam novel ini.
Aku suka dengan cerita ini. Walaupun 'isu kahwin paksa' sudah terlalu kerap disogokkan pada pembaca, tetapi bagaimana kreativiti penulis menggarap cerita, menyusun plot, membina watak dan konflik amat penting untuk menarik minat pembaca, membacanya hingga ke noktah terakhir. Nur Hazma berjaya menemui formula itu lantas mengikat aku membaca novel ini hingga ke titik akhir.
Watak Maisara yang 'baik' pada pandangan mata kasar namun tiada siapa yang dapat membaca isihati dan perasaannya. Aku suka watak Maisara, kerana dia wanita yang tegar dalam membuat keputusan walaupun dia sedar keputusan yang diambil menyakitkan hatinya sendiri. Walaupun hampir tewas dengan tuntutan perasaan namun dengan akal yang waras, dia tetap 'tegas' dalam membuat keputusan.
Penulis berjaya menimbulkan rasa geram aku dengan sikap Imran, yang pada aku amat tidak bertanggungjawab dan tiada sifat kejantanan. Aku bertambah geram apabila dia menuduh Maisara yang memerangkapnya, sedangkan pada aku dia yang dulu membuka 'peluang' itu.
Penulis juga berjaya membuat aku berkongsi emosi dengan Maisara yang tertekan dan rimas apabila soal anak seringkali dijadikan isu oleh kedua orang tua mereka. Cara Imran menangani masalah ini juga membuatkan aku bertambah menyampah dengan Imran. Seumpama aku yang diajukan isu ini – berulang-ulang kali, dan setiap kali bertentang mata – memang merimaskan!!.
Aku turut berkongsi perasaan sedih, hiba, sakit hati dan geram dengan Maisara apabila dia sendiri yang terpaksa menjadi penjamin kepada suaminya yang ditangkap khalwat dengan Zeta. Geram dan sedih terbuku dihati aku.
Pendek kata aku berpuashati dengan novel ini. Tahniah buat penulis. Teruskan usaha dalam menghasilkan lebih banyak karya yang lebih menarik.
Next Page |