calendar
<< November 2008 >> | ||||||
Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
01 | ||||||
02 | 03 | 04 | 05 | 06 | 07 | 08 |
09 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 |
16 | 17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 |
23 | 24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 |
30 |
categories
contact
cReditS
Pengarang : Bahruddin Bekri
Halaman : 436
Tahun : 2008
Terbitan : PTS O.N.E Sdn Bhd
Harga : RM22.90
Blurb:
"Menarik juga cadangan kau. Mungkin dapat membantu aku menghadapi peperiksaan akhir. Masalahnya, di mana kita mahu mencari 40 doa itu?" soal Adly.
"Aku ada. Aku doakan kau sebanyak 40 kali. Nanti dapatlah kau menghadapi peperiksaan akhir dengan cemerlang," jawab Kassim kembali. Dia tersenyum.
"Kau doakan aku sebanyak 40 kali? Hmm… begitu sahaja?"
"Aku keliru. Adakah maksud 40 doa itu adalah 40 kali doa daripada orang yang sama, ataupun 40 kali didoakan oleh orang berlainan?" Adly kembali menyoal. Fikirannya kembali kusut.
"Err.. aku pun tak pasti. Rasanya dua-dua sekali, 40 kali doa daripada 40 orang berlainan. Nanti kita tanyalah sesiapa. Tentu ada orang yang lebih arif fasal hal ini," cadang Kassim lagi.
Adly membesar bersama keyakinan hidupnya dirahmati dengan adanya doa daripada ibunya. Kematian ibunya membuatkan Adly kehilangan 'senjata'. Apa yang dapat menggantikan doa ibunya? Lalu bermula pencarian Adly mencari 40 doa.
******
Doa Untuk Aku (DUA) berkisar tentang Adly yang terlalu obsess (kalau boleh dilabelkan begitu) dengan doa. Padanya doa ibunya adalah satu-satunya senjata yang paling berkuasa dalam hidupnya, yang membuatkan dia lulus dalam peperiksaannya. Namun kematian ibunya menjadikan Adly kehilangan 'senjata' yang paling ampuh yang menjadi perisai dirinya. Keyakinannya mulai goyah. Dia mulai hilang semangat.!!
Namun perkenalan secara tidak sengaja dengan pengembara yang hobinya memotong rumput, membuka matanya akan alternatif lain untuk berjaya dalam hidup. 40 doa. Ya itulah yang dia ingin terokai. Maka bermulalah misinya mencari 40 doa.
Berbekalkan keyakinan akan kemujaraban doa, dan dengan bantuan rakan-rakan terutamanya Kassim, dan ahli kumpulan Amin bin Damit – Amin, Zulaikha dan Sarah – misi mencari 40 doa menjadi satu misi yang sungguh unik, lucu, sedih dan menarik, terjadi pada mereka.
Nak tahu apa yang terjadi sepanjang misi pencarian 40 doa Adly?? Anda kenalah baca karya ini.
Apa yang dapat aku katakan usai membaca karya ini… lawak gila!!!. hehehe
Tapi jangan cepat percaya pada komen pertama aku.!! Sesungguhnya DUA ini bukanlah karya 'gila-gila' tetapi membacanya membuatkan aku tak henti menyungging senyuman. Idea Che Din (boleh ya kakwan seru begini? ) amat aku kagumi. Che Din berjaya menyampaikan misi mencari 40 doa Adly bukan hanya untuk Adly semata, tetapi juga sebagai modus untuk memperingatkan aku sebagai pembaca akan definisi 40 doa-doa yang dimakbulkan.
Sesungguhnya DUA ini sarat dengan ilmu yang amat berguna buat pedoman kita sebagai pembaca. Walaupun pada dasarnya, isunya hanyalah berkenaan dengan DOA… yang kita tahu merupakan senjata orang-orang mukmin, dan mungkin anda semua sudah arif tentang doa dan adab-adabnya, tetapi tidak salah kalau kita terus diperingatkan tentang doa!, dan Che Din berjaya dalam misinya (sekurang-kurangnya pada aku kalau bukan pada pembaca lain!!) yang sering kali alpa dan mudah lupa.
Sebenarnya bukan sekadar doa yang menjadi inti pati utama dalam DUA karya Che Din ini, tetapi ada banyak lagi isu-isu yang diutarakan dalam DUA ini. Isu yang di mata kita nampak remeh, yang kita rasakan tiada apa yang menariknya lagi… melainkan isu yang telah mendarah daging dalam kehidupan kita. (terutamanya isu 'konsert hattan'… hahaha!! begitu ya perasaannya??) Tapi membaca DUA membuatkan aku sedar bahawasanya hidup ini adalah satu perjuangan untuk kemenangan di hari kemudian.
Tahniah pada Che Din. Sesungguhnya Che Din telah memberikan satu anjakan baru dalam dunia penulisan kreatif, satu variasi baru dalam memperkayakan lagi genre penulisan kita.
Buat anda rakan pembaca, bacalah Doa Untuk Aku, semoga kamu mendapat manfaatnya. Selamat membaca dan berkongsi gelak denganku!!
Judul: L.U.V.E
Penulis: Pingu Toha
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Muka Surat: 325 ms
Harga: RM 16.50
ISBN 978-967-5118-08-1
Aku ingin berkongsi rasa dengan mereka yang sudi tentang buah tangan si Pingu Toha ini, judulnya L.U.V.E. Aku ingin kita sama sama menerokai dan menyelami erti love dalam L.U.V.E . Si Pingu ini membuat L.U.V.E. dengan penuh emosi. Jom kita jelajah.
Membaca L.U.V.E. umpama meneroka satu alam cinta yang berbeza dari biasa, aku suka cara penulis mengekspresikan love dalam molekul – molekul emosi dengan kaedah penulisan kreatifnya (bagi piawaian aku) begini. Ia bukan tentang love semata-mata tetapi kepelbagaian yang mencakupi hati, perasaan, dan macam macam lagi. Nak tau lebih? Kena baca sendiri la.
Sedutan
"You ni comel la!Tak, bukan sebab tur. Pertama kali I laid my eyes on you , I tahu I suka you. I knew I wanted you. I selalu dapat apa yang I nak." Vee melirik senyum nakal.
Perempuan psycho! Patut ker aku lari sekarang?
……………
Aku berkira-kira untuk menjawab soalan itu sepintar mungkin. Tapi sambung Vee lagi , "Tak boleh ke perigi cari timba? Kalau tak, macam mana kita nak tahu yang perigi tu ada air atau dah kontang? Macam mana nak tahu airnya jernih atau keruh?" - ms 87
As if I didn't know that…. Dan aku terbersin. Dan lagi. "But… she's still a mystery. Macam Mariana Trench, jurang laut paling dalam kat dunia…. Lagi aku selam, lagi gelap… tak tahu bila boleh sampai ke dasar. Macam angkasa lepas… tak ada penghujung, sejauh mana pun aku rentas." - ms 160
Cinta punya segala emosi. Tapi yang saya rasa sekarang ialah kekeliruan. Tak mungkin awak dapat letakkan diri awak di tempat saya sekarang. Awak tak akan faham apa yang saya alami. I'm hurting myself just thinking about it. You'll hurt even more. ……….. - ms 109
"Violet…." Mendatar daripada aku. Dalam warna suara yang kelabu Vee bertanya, "What's wrong with you?" - ms 98
Kenapa aku bawa sedutan sedutan ni. Kerana aku nak tunjukkan
Aku jadi suka dengan L.U.V.E kerana bahasanya – Menarik (Interesting), - Fresh (segar), bagiku cara penulisan begini merupakan satu anjakan paradigma positive - simple tapi penuh makna. – walaupun ayatnya ringkas, ianya padat, tepat, mudah dihadam, tidak membosankan dan menarik. Aku jadi senyum sorang-sorang tika melayan L.U.V.E .
Bagi pengemar novel yang sukakan kelainan dalam bacaannya, aku syorkan bacalah L.U.V.E, aku pasti kalian tidak akan kecewa. L.U.V.E. amat sesuai untuk bacaan santai, tidak memberatkan dan kalang kala akan membuat anda tersenyum sendirian.
Bila aku baca L.U.V.E. aku jadi teringatkan Shakespeare; atau aku nak samakan si Pingu dengan Shakespeare (huhuhuuuu khayalan melampau…!!). Terokailah L.U.V.E.
Bintang? Seberapa banyak bintang dilangit, kiralah kalau larat.
p/s: Wan, sorry nawwir dah ambil ruang yang agak panjang untuk L.U.V.E.
And I also dedicate this L.U.V.E to all my cyberspace best friends.
Pengarang : Anita Aruszi
Halaman : 623
Tahun : Oktober 2008
Terbitan : Kaki Novel Enterprise
Harga : RM23.00
Blurb:
Andai kau kutip seribu kerikil sekalipun untuk merejam hatiku…
namun aku takkan sesekali berpaling dari sisimu
Riffki – Dia melihat cinta pertamanya dalam wajah suci sang gadis yang dahagakan secangkir kasih. Namun dingin hati lelakinya terus menolak kehadiran rasa dalam diri. Pertemuan demi pertemuan membibit rasa rindu. Tetapi sayang yang tidak terucap seumpama racun menjalar. Bila hati semakin tidak tertahan, kesakitan terasa perit mencengkam. Cinta sepatutnya memberi, mengasihi dan menerima. Tetapi cintanya hanyalah menyakiti, mengasari dan menyeksa diri. Semakin banyak dia memberi, semakin jauh cintanya lari.
Hijjaz – Hablur-hablur rindu sudah lama ternoktah dalam hidupnya. Kesepian membuatkan dia sering bermimpi di siang hari. Namun tidak pernah terlintas di mindanya akan terbit satu saat di mana dia mula merindui insan yang terlalu berbeza. Namun menyayangi lelaki itu bagaikan menyayangi bayang-bayang sendiri. Semakin jauh dikejar semakin dirinya ditinggalkan. Suatu masa dia sudah lelah mengejar bila hakikat maha nyata terhampar di hadapan mata. Mungkin ini takdir azali, satu langkah abadi membongkar sebuah tragedi.
******
Kisah tentang Riffki Aidan yang patah hati apabila cintanya pada Nurlaila terkandas di pertengahan jalan. Berkubur bersama jasad Nurlaila yang terkorban akibat peristiwa pengeboman di Bali. Dalam kepayahan dia mengatur hidup, banyak hati yang terluka dek tindak-tanduknya. Banyak hati yang menderita dek olahannya. Namun dia tetap tidak peduli… padanya cintanya hanya satu, dan yang satu itu telah hilang bersama hilangnya Laila dari muka bumi ini.
Kisah tentang Nurul Hijjaz yang kehilangan kasih sayang kedua orang tuanya. Hidupnya hanya untuk dirinya dan Tok Ayah – datuknya – yang menganggap kelahirannya hanya membawa aib pada keluarganya. Namun dia akur pada ketentuan Ilahi andai ini adalah jalan yang harus dia tempuhi. Dia reda!
Perjalanan hidup ini adalah perancangan yang maha Esa. Begitulah yang berlaku pada Nurul Hijjaz. Dalam meniti perjalanan mencari cinta dan kasih sayang, dia ditakdirkan terpaksa 'berkhidmat' untuk Riffki yang hatinya sedingin salju. Perjalanan yang membawa dia ke jalan yang beronak liku. Perkenalannya dengan Daniel Iqbal merumitkan lagi keadaan. Memaksa dia menumpahkan airmata!!
Kemelut persahabatan di antara Datuk Amiruddin Bakri dan Megat Hazmin Iskandar mengundang sengketa. Akibat salah faham dan perasaan cemburu menguasai hati, empat jiwa terpaksa menanggung rasa. Daripada kawan menjadi lawan, daripada rakan akrab menjadi musuh ketat. Mengheret sama keterlibatan Riffki dan Nurul Hijjaz dalam kemelut mereka.
Ada cerita yang tersirat, ada rahsia yang tersurat. Siapa Riffki di antara Datuk Amiruddin Bakri dan Megat Hazmin Iskandar?? Apa pula perkaitannya dengan Nurul Hijjaz?? Mengapa mereka ditakdirkan bertemu andai hanya mengundang sengketa?? Segalanya perlu dibongkar dan hanya anda yang mampu merungkaikannya.
Bunga Syurga adalah karya pertama Anita Aruszi yang aku baca. Apa yang dapat aku katakan… aku suka karya Anita Aruszi ini. Novel terbitan Kaki Novel ini sama sekali tidak menghampakan aku.
Kisah tentang pencarian seorang Nurul Hijjaz dalam hidupnya yang sebatang kara walaupun hakikatnya dia masih punyai datuk. Kecekalan dalam mendepani hari muka yang kadangkala menguji kesabarannya membuatkan aku kagum dengan semangat kentalnya. Dia benar-benar seorang wanita yang cekal. Walaupun terpaksa berdepan dengan sepak terajang dunia. Namun adakalanya dia harus akur dengan perasaannya sendiri.
Kisah tentang Riffki yang 'gagal' menerima takdir, satu kehilangan. Cintanya pada Nurlaila membuatkan aku harus terima 'perasaan' Riffki yang berantakan. Sukarnya menyuruh hati bersabar andai hakikatnya adalah sebaliknya. Salah satu cara adalah dengan 'menjadi batu'. Itulah yang dilakukan oleh Riffki. Walaupun adakalanya aku jadi lelah dengan olah Riffki. Baran tak bertempat, orang lain yang jadi mangsa!! (kesian kat Hijjaz). Tapi aku harus akur, jika itu caranya Riffki melepaskan beban dihati.
Pencarian seorang anak akan untung nasibnya, pencarian seorang bapa terhadap anaknya yang 'hilang', pencarian seorang sahabat akan makna kebenaran, menyimpulkan satu pengakhiran yang sungguh manis bagi aku. Penulis bijak memanipulasi 'keadaan' hinggakan aku hampir 'tewas' dengan mainan 'mereka'. Tahniah buat penulis kerana berjaya mengikat aku hingga ke noktah akhir.
(Novel ini aku usai membaca ketika kita masih lagi di awal Ramadhan yang lalu. Lama sungguh dia menghuni peti keramat ini… maafkan lah aku!!)
Nota untuk sahabat:
Hampir dua bulan tidak mengadap novel secara serius, aku bagaikan kehilangan seluruh deria rasa untuk membuat resensi. Aku sudah tidak lagi fasih dalam 'berkata-kata'. Tintaku sudah menjadi kaku dan mindaku jua menjadi lesu. Ampunkan aku andai rasaku ini tidak lagi berguna buat kamu!!
Pengarang : Sarnia Yahya
Halaman : 502
Tahun : 2008
Terbitan : NB Kara
Harga : RM19.90
Blurb:
Derita hati itu tidak berpanjangan…
Ditinggalkan tanpa pesan ketika cinta sedang mekar berbunga, membuatkan Aisya menutup hatinya terus untuk bercinta.
Tetapi… bukan kehendak Azri melepaskan Aisya. Dia juga turut merana, malah lebih menderita kerana cinta itu bukan miliknya lagi.
Sesungguhnya kegagalan itu secantik anugerah buat mereka…
******
Secantik Anugerah adalah karya sulung Sarnia Yahya yang aku baca. Novel yang diterbitkan oleh NB Kara ini tidak menghampakan aku. Apa sebab aku berkata demikian..?? kerana aku berjaya menghabiskan bacaan aku tidak sampai sehari semalaman sebagaimana aku baca novel-novel sebelum ini. Bayangkan dengan ketebalannya sebanyak 502 halaman, aku berjaya menghabiskan bacaan aku dalam masa kurang-lebih 4 jam.
Aisya – kegagalan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta menyebabkan dia serik untuk membuka pintu hatinya pada mana-mana lelaki yang cuba mendekatinya. Dalam kepayahannya mendepani hari muka, dia tetap pasrah pada ketentuan takdir.
Namun sampai bila dia harus bersendiri..?? Apatah lagi pabila ada tangan yang sudi untuk memimpinnya?? Huluran kasih si jejaka bersambut jua. Namun ketika jiwanya sudah beransur pulih, si dia datang menambahkan seksa jiwa laranya. Mampukan dia menyerahkan hatinya pabila kenangan silam bersama si dia sering menghantui diri??
Azri – dia lelaki malang. Dia terpaksa melepaskan cintanya tatkala kebahagiaan hidupnya berada di puncak. Hanya kerana budi, dia terpaksa mengecewakan wanita yang paling dicintai. Namun tak siapa yang tahu bahawa hatinya sendiri hancur luluh jadinya. Hati yang tak rela melepaskan cinta yang dipuja sepenuh hatinya. Berjayakah dia melupakan si gadis apabila dalam hatinya sarat dengan cinta??
Firdaus – dia lelaki yang pernah melalui waktu duka. Dia pernah dikecewakan. Namun kehadiran si gadis membuatkan dia ingin bercinta lagi. Dia ingin menyintai dan dicintai. Namun bukan mudah untuk mendapatkan cinta si gadis apabila ada titik kelam yang melingkari hidup si gadis pujaan. Dia nekad dan dia berjaya. Namun bahtera rumahtangga yang dibina tetap dilanda badai. Mampukah dia mempertahankan cintanya??
Rupanya ada rahsia yang tersirat dibalik kejadian yang tersurat. Azri 'membuang' Aisya demi menjaga aib Natasha. Aib yang dipalitkan oleh mereka yang ada hubungan darah dengan Firdaus. Dan Aisya… bagaimana perasaannya apabila mendapat tahu bahawa lelaki yang berjaya memiliki cintanya kini ada kaitan dengan mereka yang menjadi dalang terlerainya ikatan ijab kabul yang terbina bersama lelaki yang pernah dia cintai sepenuh hatinya suatu waktu dahulu??
Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka karya pertama Sarnia Yahya ini.
Apa istimewanya novel ini..?? Sebenarnya tak ada apa yang istimewanya pada novel ini. Selain plot yang sudah sering kita baca lewat karya-karya penulis berbakat yang lain. Ia kisah si isteri yang ditinggalkan suami tanpa sebarang alasan yang jelas. Ia kisah tentang kekecewaan si suami yang ralat kerana meninggalkan si isteri. Ia kisah tentang lelaki yang sanggup buat apa saja demi cinta. Pendek kata semuanya pasal cinta!!.
Tapi aku tetap suka dengan novel ini. Mungkin kerana ia sebuah karya yang lebih santai, yang ringan, yang tidak perlu aku memberatkan fikiran memikirkan kesudahannya. Atau kerana bahasa indah penuh puitis yang diselitkan, menyerikan lagi jalan ceritanya. Atau kerana ia hasil garapan anak didik seorang penulis yang sudah menjadi 'ikon penulisan kreatif' yang karyanya sering dinanti-nantikan oleh pembaca (termasuk aku). Jadi segalanya teradun cantik menjadi sebuah karya yang indah.
Apa yang pastinya, aku suka novel ini kerana ia berkisar tentang kecekalan seorang wanita. Perempuan lemah yang terlalu bergantung harap pada si suami, yang terlalu meletakkan kepercayaan pada si suami, yang apabila musibah melanda, dia jatuh tersungkur. Namun dia berjaya bangkit walau dengan seribu kepayahan. Walau terpaksa berperang dengan tuntutan hati dan gelodak jiwa.
Jika anda bukan penggemar kisah cinta uda dan dara, ini bukan genre anda!!. Tapi jika anda inginkan bacaan santai, anda mungkin selesa dengan novel ini.
Buat penulis, tahniah!! dan teruskan berkarya.
Pengarang : Bahruddin Bekri
Halaman : 436
Tahun : 2008
Terbitan : PTS O.N.E Sdn Bhd
Harga : RM23.90
Blurb:
Kata perempuan berlesung pipit, "Cinta itu umpama menunggu bas. Kita perlu memilih bas yang tepat pada masa yang sesuai. Sekiranya tidak, kita tidak akan selesa meneruskan perjalanan kita. Sebab itu saya masih menggunakan kereta."
Kata Riduan pula, "Aku cakap dengan kopi di dalam gelas aku. Orang bukan tidak sayang, cuma orang tidak nampak dan lupa."
Kata Ibu, "Hidup manusia ini seperti roda. Kadangkala di atas kadangkala di bawah. Tidak penting kamu berada di atas ataupun di bawah, yang penting kamu sebenarnya bergolek di mana? Sama ada jalanan itu berlumpur, berduri ataupun kamu bergolek di padang-padang rumput yang indah."
Lelaki gempal kata, "Hidup manusia juga seperti tingkap. Apabila tingkap itu ditutup, maka manusia tidak dapat hidup kerana tiada ruang dan peluang."
Kata lelaki muka berminyak pula, "Pelangi, warnanya bukan hanya hitam dan putih. Begitu juga dengan hidup"
******
Dunia Ini Sederhana Kecil (DISK) adalah karya pertama Bahruddin Bekri yang aku baca. Dan aku jatuh cinta!!.
Kisah bermula di perhentian bas. Kisah yang membawa kepada perkenalan secara tidak langsung yang berlaku antara Syamir – Haliza, Syamir – Tasha, Syamir – lelaki gempal dan Syamir – pakcik KJ. Walaupun hubungan yang berlangsung hanya setakat di perhentian bas namun membawa satu impak yang cukup besar kepada mereka. Tanpa sedar, menjadikan mereka saling berkait, saling terikat antara satu sama lain.
Kisah tentang Syamir lulusan ekonomi yang menjadi penganggur setelah diberhentikan kerja. Tertarik dengan iklan jawatan kosong yang diiklankan di ruangan iklan kerja kosong membawa Syamir menyertai Syarikat Berkobar-Kobar Sdn Bhd. Sebuah syarikat yang memasarkan produk kicap kesihatan cap 'Basikal Sulaiman', yang akhirnya menjadikan Syamir seorang penjual kicap!. Bersama seorang lagi rakan yang sama-sama menghadiri temuduga bersamanya, Musa Marjoko dan Sophea Miyagi sebagai mentornya, pelbagai insiden lucu, suspen dan mengujakan terjadi kepada mereka apabila mereka harus menjual kicap. Apa yang berlaku??
Juga terselit kisah antara Syamir dan teman sebiliknya yang baru berpindah, Jid @ Majid @ Majidah. Insiden di satu malam yang disaksikan oleh lelaki gempal menerusi tingkap bilik yang terbuka, menimbulkan salah faham yang akhirnya membawa padah pada gitar kesayangan lelaki gempal tersebut. Apa salah faham tersebut?? hehehe
Juga kisah yang berlaku pada Syamir – Tasha – Haliza. Perhubungan yang hanya berlaku di perhentian Bas. Walaupun pertembungan antara Syamir dan Haliza lebih kerap, tetapi jalinan 'kejiwaan' antara Syamir dan Tasha lebih kuat. Perhubungan yang akhirnya membawa kepada perkenalan antara Cik Pelangi dan En. Bedak Sejuk. Siapa Cik Pelangi dan siapa Encik Bedak Sejuk?? Bagaimana hubungan mereka bermula?? Apa yang mengikat mereka??
Juga babak suspen penuh misteri tentang kehilangan Formula D yang sangat 'berharga', memaksa Dato' Hisham pemilik Syarikat Merong, sebuah syarikat pembuat senjata api mengerahkan orangnya menubuhkan misi mencari. Tapi pencarian mereka tidak semudah yang disangkakan. Lantaran khidmat 'B' diperlukan. Masalahnya 'B' adalah manusia misteri yang tidak seorangpun pernah berhubungan secara terus dengannya. 'B' hanya boleh dihubungi melalui internet. 'B' yang sentiasa menukar alamat e-mal bagi mengelak diri dari dikesan. Bagaimana mereka ingin menghubungi 'B'? Dan Dato' Hisham perlu menunaikan tuntutan bayaran sebanyak 50juta dolar sebagai upah. Berjayakan orang Dato' Hisham menjejaki 'B'?? Tapi apa kaitan Formula D dengan Syamir??
Persoalan-persoalan ini hanya dapat anda rungkaikan apabila anda membaca karya Bahruddin Bekri ini.
Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka novel ini. Satu 'wajah' baru dalam dunia penulisan novel kreatif. Satu kelainan yang benar-benar membuatkan aku terpesona dengan karya ini. Satu tema yang bagi aku adalah biasa-biasa saja. Kisah lelaki dan perhentian bas, lelaki dan kicap. Tetapi ditangan Bahruddin 'Lelaki, Perhentian Bas & Kicap' menjadi sangat istimewa, sangat luarbiasa.
Dengan gaya bahasa yang santai dan lenggok bahasa yang mudah difahami, disampaikan dengan cara yang kadang-kala 'lawak antarabangsa' – unsur humor yang spontan, membuatkan aku terpaku menatap karya ini. 'Dunia Ini Sederhana Kecil' dunia yang berlegar hanya diseputar perhentian bas, dunia yang menjadi penghubung antara mereka, membuatkan aku tersenyum simpul tapi ada kalanya aku terkedu dengan sinisnya. Karya mantap sarat dengan falsafah ini berjaya mengikat aku hingga ke noktah terakhir.
Tahniah pada penulis. Satu kelainan yang akan menjadi daya tarikan pada pembaca yang mencari kelainan dalam genre pembacaan mereka. Satu karya yang secara peribadinya aku rasa cukup hebat dari penulis muda yang berbakat. Dan aku yakin para pembaca yang inginkan kelainan tidak harus mengenepikan buku ini. Kamu harus membacanya dan nilaikan sendiri kerana selera kita tidak sama, tapi aku yakin kamu tidak akan kecewa.
Selamat membaca!!
Next Page |