calendar
<< November 2009 >> | ||||||
Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
01 | 02 | 03 | 04 | 05 | 06 | 07 |
08 | 09 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 |
15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20 | 21 |
22 | 23 | 24 | 25 | 26 | 27 | 28 |
29 | 30 |
categories
contact
cReditS
Pengarang : Hani Fazuha
Halaman : 512
Tahun : Oktober 2009
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM 19.90
Blurb:
DYA dinodai oleh abangnya dalam usia yang masih mentah. Namun, dia tidak berani mendedahkan kejadian itu bila ayahnya sendiri tidak pernah mengiktirafnya sebagai anak kandung.
Hidup Dya terus diselimuti mendung bila dia terluka lagi. Encik Nasri yang dianggap prihatin, sekadar mempermainkan perasaannya. Harapan yang disandarkan kepada Syamir juga turut berkecai. Kekecewaan Dya bertimpa-timpa bila mengetahui kedua-dua lelaki itu sebenarnya adalah 'suami orang'. Ini menambahkan lagi kebenciannya terhadap lelaki.
Kemunculan Zarif, bekas teman sekolah merobek kembali kisah lama. Dya masih ingat, Zarif sering menyakiti hatinya. Malah penghinaan yang pernah dilemparkan, tidak pernah Dya lupa. Dan kerana Zarif juga, dia menjadi anak terbuang!
Sebenarnya, Zarif mahu merawat kelukaan Dya. Tetapi Dya menjauhkan diri kerana takut rahsianya terbongkar! Akhirnya, segunung kebaikan yang Zarif limpahkan membuka mata hati Dya bahawa lelaki itu ikhlas mencintainya.
Namun, sudahkah dia bersedia menerima lamaran Zarif sedangkan bayangan silam terus menghantuinya?
* * * * * *
Bebunga Kasih (BK) kisah tentang Dya yang 'terperangkap' dalam kancah emosi yang tidak berkesudahan. Dirogol oleh abang sendiri, tidak diiktiraf sebagai anak kandung oleh bapa, membuatkan hidup Dya sering dilanda nestapa.
Kehadiran Zarif menyusahkan lagi hidup Dya. Ekoran satu insiden ketika mereka masih di bangku sekolah (menengah) menyebabkan Dya menanam rasa dendam pada Zarif. Zarif yang membuatkan perjalanan hidupnya bertambah getir.
Kehidupan harus diteruskan walau segetir manapun dugaan datang melanda. Hidup ini adalah
Takdir seakan mencemburuinya. Dia dipaksa kahwin oleh si bapa hanya kerana tohmahan 'sekutu' bapanya – abang & abang ipar. Demi seorang wanita bergelar ibu, dia rela korbankan hati dan perasaannya walaupun pada hakikatnya dia tidak pernah merelakan apa yang diputuskan buat dirinya. Lamaran daripada kenalan si ayah untuk anak teruna mereka dia terima dalam terpaksa.
Dia takut untuk merancang masa depannya. Masa depan yang belum pasti menjanjikan bahagia buat dirinya. Dia insaf dan sedar akan keadaan diri. Dia gadis yang tidak sempurna. Dia gadis yang ternoda. Namun dia juga manusia biasa yang mendambakan cinta dalam hidupnya. Tegakah dia membuka aib diri hanya kerana ingin dicintai dan menyintai?
* * * * * *
Usai membaca, aku menarik nafas lega! Aduhai,
Karya kedua Hani Fazuha ini sememangnya mampu membuatkan aku terpaku. Selagi tidak aku ketahui kesudahan hidup seorang Dya, selagi itu aku tidak puas hati!. Konflik demi konflik yang melanda Dya membuatkan keinginan aku membuak-buak, ingin mengetahui kesudahan yang menimpa Dya. Baikkah atau burukkah nasib yang tersurat buatnya?
Aku sukakan mainan bahasa Hani Fazuha melalui karya terbaharunya ini. Terserlah kematangannya dalam berkarya. Penulis bijak mengungkap kata, menyusun bicara, menjadikan setiap konflik yang melanda Dya, aku turut sama merasainya. Tatkala dia diulit duka, aku terheret sama merasa laranya. Tatkala dia ditimpa musibah, aku turut sama merasa malangnya. Dan ketika dia diselimuti rasa gembira, aku turut sama merasa bahagianya.
Jika diberi peluang bertemu mata dengan 'Dya' hanya satu persoalan yang aku ingin utarakan… "mengapa teganya kamu membiarkan diri dinodai berkali-kali?" Aku cukup tidak puas hati!!. Pertama kali ketika kamu masih di usia setahun jagung, aku masih boleh terima kerana tika dan saat itu, keadaan mungkin tidak mengizinkannya. Tetapi pabila kamu sudah menginjak dewasa, dan sudah berkahwin pula! kenapa masih terbuka peluang, membiarkan diri diratah oleh manusia durjana itu?? Aduh!! geramnya aku pada 'Dya'. Hahaha aku memang emosi!!
Pada aku, Dya terlalu 'lembut hati', dia terlalu berbaik sangka!, hinggakan meracun diri sendiri. Bangkit Dya, perjuangkan hak kamu. Belalah nasib diri kamu yang tertindas itu!!, Sebagaimana surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya." Begitu juga kamu Dya, sesungguhnya hanya kamu yang mampu merubah nasib
Isk aku sudah keterlaluan. Tapi itulah hakikatnya, aku jadi emosi apabila terasa diri (wanita) sering menjadi mangsa! Sesungguhnya aku memang GERAMMM pada Dya!!! Jika dengan membuka aib diri, mampu mengubah nasib kita ke jalan yang lebih baik, jalan yang diredhai Allah, rasanya tidak salah bukan?? Tapi pastikanlah ianya melalui saluran yang betul. Bukan dengan membabi buta. Negara kita ada undang-undang, ada pertubuhan yang akan membela nasib mereka yang teraniaya. Walau bagaimanapun, kamu harus terus tabah 'Dya' dengan tohmahan dan kritikan masyarakat!.
Buat Hani Fazuha. TAHNIAH! Sesungguhnya karya terbaharu ini mampu membuatkan kakwan terpaku tidak berganjak. Well done sis!
PS: Terima kasih daun keladi Hani atas 'bingkisan kasih' ini., Doa kakwan moga idea kamu akan terus mencurah-curah untuk terus berkarya…
Pengarang : Saidatul Saffaa
Halaman : 616
Tahun : Oktober 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
biar setinggi mana langit digapai, sedalam mana bumi digali, takkan kau temui cinta hakiki, kerana cinta itu letaknya di hati seorang abdi
Kerana pasir, terbentuknya mutiara. Kerana tanah, lahirnya manusia.
Ini sebuah kisah kembara di atas bumi Tuhan.
Kembara hati dalam jiwa hamba.
Kembara daripada hina kepada mulia.
Ini kisah kembara hidup. Kembara dia mencari mutiara cinta di laut dalam, dan kembara mereka menemui cinta Dia di langit nan tinggi.
Kata Raudhah, dia punya sejarah jahiliah tersendiri.
Katanya pula, Raudhah ibarat bidadari yang turun dari langit untuk menyebarkan keindahannya.
Lalu kata mereka,
langit kawannya bumi
laut pasangannya pantai
siang temannya malam
petang sahabatnya pagi
isteri pula pendampingnya suami
Bukankah kita diciptakan berbeza untuk saling melengkapi,
lantas nikmat Tuhan yang mana lagi mahu didustakan?
* * * *
Sebuah kisah cinta indah titipan daripada-Nya, tersusun tertib dalam Kemilau Mutiara Raudhah hasil kreatif seorang pelajar perubatan SAIDATUL SAFFAA.
*****
Kemilau Mutiara Raudhah (KMR), seperti kata blurb, adalah kisah cinta indah titipan daripada-Nya. Benar!. Rasa cinta itu hadir dalam pelbagai cara, di mana jua. Bila rasa cinta mula menyapa di dada, segalanya indah belaka.
Pertemuan mereka berlaku secara tidak sengaja. Dia – sang arjuna, lihat dia – si badadari bagaikan 'taman syurga" yang menebarkan keindahannya. Dia – si dara kenali dia – sang teruna seorang lelaki yang punya sejarah hidup yang celoreng.
Percintaan mereka (jika boleh ditafsirkan bercinta), percintaan yang unik. Kehadiran Jack tidak pernah dialu-alukan. Keberadaan Jack sering membuatkan hidup Raudhah gundah. Dan yang paling pasti Jack sudah berpunya.!
Pada Jack, Raudhah gadis yang unik. Bermata hijau, bertudung saiz XXXL, namun hatinya tetap juga terpaut. Dia telah terlanjur jatuh cinta pada si gadis tanpa dia sedar siapa sebenarnya si gadis itu. Dan hakikatnya, dia juga telah bertunang dengan gadis pilihan umi nya!
Sesungguhnya kasih itu roh yang buta! Tanpa mereka sedar, di loh mahfuz roh mereka telah terpateri menjadi satu. Sebagaimana asal penciptaan Adam dan Hawa daripada zat dan tubuh yang satu. Sebagaimana Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam yang hilang, dan diangkat sebagai teman pendamping Adam, begitulah juga harapnya mereka, walaupun pada lahirnya yang terbentang di depan mata berbeza sekali jalan ceritanya.
Namun jodoh, pertemuan, ajal dan maut adalah urusan-Nya. Walau sejauh mana Raudhah lari, di ceruk manapun Raudhah sembunyi, mata-Nya tetap memerhati. Walau lorong takdir mereka berliku, jika jodoh antara mereka telah tersurat, tiada siapa yang dapat memisahkan.
Jika Adam dipertemukan semula dengan Hawa di Jabal Rahmah, mereka dipertemukan di Jannatul Firdaus Resort. Jika Adam harus mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali dengan Hawa, berapakah pula masa yang harus diambil untuk mereka bersatu?? Atau selamanya biarlah begitu??
* * * *
Usai membaca Kemilau Mutiara Raudhah (KMR) aku tersenyum puas. KMR adalah sebuah naskhah yang sangat indah. Sangat comel. Sangat menarik. (pada skala akulah... orang lain aku tak tahu ya!)
Membaca KMR aku jadi kagum yang amat pada si bakal doktor ini. Aduh dik Saidatul, jalur cerita Raudhah ini secantik pelangi, sewangi kasturi. Hati kak wan bagaikan kudup bunga yang berkembang mekar! dan bersenandung lagu ria dalam dunia yang penuh warna-warni. Indah dan mempesona.
Aku sukakan Raudhah yang cantik bestari. Sudahlah cantik bijak pula. Tapi adakalanya tindak tanduk Raudhah membuatkan hati aku geram. Dalam lembut, kerasnya terserlah. Raudhah yang adakalanya hati sekeras kerikil. Tegar dalam membuat keputusan. Tegas yang amat!
Aku juga sukakan Jack. Walaupun pada awalnya dia pernah jadi jahat. Jack yang pernah terpesong arah. Hidup dalam dunia yang kelam. Malah aku jatuh sayang pada sosok Jack yang baharu. Jack yang berubah menjadi manusia yang kembali berpegang teguh pada 'tali'Nya. Menjadikan islam sebagai Ad-deen sebagaimana selayaknya. Aku sukakan cara penulis 'membawa' Jack kembali pada nur-Nya. Bahkan bukan sekadar Jack, tetapi mereka yang berada di seputar kehidupan Jack.
Mungkin kisah yang dipaparkan hanya sekadar kisah yang biasa, TETAPI yang berbeza adalah bagaimana setiap penulis ingin membawa kita – pembaca – menikmati cereka yang diciptakan mereka. Cantiknya susunatur cerita terpulang pada pena penulis untuk mencorakkannya.
KMR di tangan Saidatul Saffaa adalah contoh secebis kisah 'biasa' yang diadun sempurna menjadikan ia amat istimewa. Kita tidak sekadar dibuai dengan kisah cinta si Uda dan Dara semata, tetapi terselit sama rasa cinta kita pada-Nya. Intipati yang dihidangkan bagaikan santapan rohani buat kita. Cantiknya cara penulis mengangkat persoalan muamalat buat tatapan kita. Sebaik-baik amalan dalam hal kemasyarakatan dipersembahkan pada pembaca dengan cara yang tak terduga. Begitu juga indahnya cara penulis mengangkat hal-hal berkaitan munakahat dengan cara yang penuh berhemah. Lembut dan tertib.
Dan apa yang menarik lagi, bagaimana tata cara perkahwinan tanpa kehadiran pengantin perempuan dalam majlis akad nikah dipersembahkan. Ia merupakan sesuatu yang unik. Perkara sah yang jarang dipraktikkan. Sesungguhnya ia sesuatu yang amat jarang kita (terutamanya aku) temui dalam masyarakat kita hari ini. Mungkin ada, tapi aku tak pernah jumpa. (cara perkahwinan ini mengingatkan aku pada karya Siti Hazneza – Angin Dingin Dari Utara terbitan CESB... oh rindunya nak menatap karya terkini Siti Hazneza... Apa khabar Neza agaknya ya! =)
Ops berbalik pada KMR, sebenarnya bukanlah cara perkahwinan mereka yang ingin aku bentangkan, tetapi bagaimana cara penulis melakarkan 'cara' si suami mempersiapkan diri untuk menghadapi isterinya yang masih belum 'kenal' siapa dirinya dan bagaimana penerimaan si isteri apabila mendapat tahu siapa suaminya.
Segala ilmu, segala amalan yang dipersembahkan, menjadikan naskhah ini sangat istimewa. Lain daripada yang lain. Bacalah... nescaya ada sesuatu yang boleh kamu kutip melaluinya.
Buat Saidatul Saffaa. Tahniah! sesungguhnya KMR adalah buah tangan yang sangat indah, teruskan berkarya.!
Nota: Sudah lama aku tidak berkongsi rasa, aku bagaikan sudah tidak pandai untuk menyusun kata. Maafkan aku andai rasaku ini tidak sempurna sebagaimana yang kamu harapkan!
Pengarang : Xarine
Halaman : 452
Tahun : Julai 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
Urusan ini perutusan cinta.
Seperti sabda Rasulullah, Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
Islam itu cinta.
Cinta itu fitrah terpateri dalam hati. Hanya cinta dalam hati yang akan menyatukan kita dan semua manusia. Sepertimana alam kehidupan yang satu ini ditampung oleh bongkah-bongkah alam yang sedang bercinta; roh cinta yang mutlak terpateri pada hukum qadar-Nya. Setiap detik pasir-pasir dan burung-burung itu mengucapkan 'cinta' ke hadrat Tuhan mereka.
Maka aku berusaha mencintai semua, dan mengikat hati pada simpulan iman kepada qada dan qadar Allah.
Imran lulusan kejuruteraan, anak miskin yang tidak punya apa-apa kecuali kecintaannya pada Allah. Lalu wajarkah dia ada hati kepada si dia yang punya segala-galanya? Atau orang miskin hanya layak untuk dijodohkan dengan orang yang tidak punya apa-apa juga? Kalau begitu, apa pula maknanya sekufu?
* * * *
Dengarkan bisikan cinta XARINE sang insinyur yang berbicara fasal cinta dalam lembutnya bahasa daripada hati seorang lelaki yang mengharapkan reda Ilahi.
*****
Bintang-Bintang Ke Syurga membawa kita menyusuri hidup seorang Imran yang berkisah tentang perjalanan hidupnya. Imran bin Mohamad, graduan lepasan USM dalam jurusan kejuruteraan.
Hidup sebagai anak miskin menjadikan Imran tabah dalam setiap dugaan yang menghimpitnya. Bahkan beliau tegar bekerja sebagai kuli di kilang kayu (sawmill) semata-mata untuk mencari rezeki meskipun beliau pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejututeraan daripada universiti tersohor di utara tanah air yang layak berjawatan jurutera!
Seorang kekasih yang pernah patah hati lantaran lebih menumpukan perhatian terhadap pelajaran berbanding memikirkan masalah cinta yang sepele pada anggapannya. Namun sebagai insan yang lemah dia juga tewas dengan runtunan hati. Siapa kata kecewa cinta tidak sakit? Sakitnya jiwa yang ditinggalkan Aisyah – kekasih yang sebelas tahun mengikat janji untuk hidup bersama – membuatkan Imran hampir nanar.
Namun kecewa cinta tidak menenggelamkan dia dalam lara yang panjang. Kekecewaan itu mengajarnya untuk reda. Membuatkan dia mengenal dan menginsafi kekhilafan diri. Dia bangkit menjadi Imran yang lebih matang dalam mencorak masa depan. Menjadi Imran yang lebih mandiri, lebih tabah dan lebih berusaha demi perkara yang lebih penting selain cinta, iaitu meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.
Imran, dia seorang sahabat yang sangat prihatin. Sahabat yang punya hati yang sangat lembut. Dia menghulurkan bantuan tanpa mengira siapa. Safia, si gadis malang, Suzila, si ratu kampus dan Nazira anak Pak Hab antara tiga gadis yang menerima 'ihsan' Imran.
Kehadiran Imran dalam acara makan malam yang dianjurkan oleh Syarikat Bersatu Sawmill Sdn Bhd, tempat di mana dia bersama ayahnya mencari rezeki sementara mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik menemukan semula dia dengan Suzila. Pertemuan yang membawa kepada satu perhubungan baru yang lebih bermakna, yang lebih mencabar pastinya.
Sedar akan status diri, Imran akur. Dia tidak sekufu dengan Suzila. Dan Nazira yang mendapat tempat di hati ayahnya menjadi calon penganti Aisyah. Namun cinta tak kenal siapa dan pangkat diri. Imran bin Mohamad jatuh cinta pada Suzila binti Dato' Husin. Namun ada tembok yang menghalang, ada jurang yang memisahkan mereka.
Sesungguhnya hidup ini tidak sunyi daripada dugaan dan cabaran yang maha hebat! Hanya iman dan takwa yang menjadi benteng. Menghindar diri daripada segala musibah yang
Mampukah di gapai bintang di langit tinggi jika diri hanya sekadar pungguk yang cuma mampu merindu bulan sekadarnya?
Apa yang dapat aku katakan usai membaca Bintang-Bintang Ke Syurga ini adalah, ia sebuah naskhah yang sarat dengan tazkirah. Sebuah karya yang penuh inti pati berguna yang boleh dikutip buat mengisi rongga dada. Dan pastinya sarat dengan ilmu yang bermanfaat yang diadun dengan bait-bait kata yang indah buat tatapan pembaca.
Xarine berkisah dan berkias dalam bahasa yang indah penuh metafora. Aku bagaikan terkesima membaca setiap susunan kata serta laras bahasa yang puitis penuh berseni ini adalah lontaran daripada sang Insinyur yang pernah menuntut di Sekolah Maahad Muhammadi (L).
Bintang-Bintang Ke Syurga bukanlah naskhah bercerita tentang kisah cinta semata. Jika pembaca inginkan kisah cinta hebat bak cinta Adam pada Hawanya, ataupun cinta Majnun pada Lailanya mahupun kisah cinta Samson pada Delilahnya. Ini bukan kisahnya. Bukan!
Tapi pada aku kisah cinta Imran lagi hebat kerana ini kisah tentang pencarian 'cinta' Imran berlandaskan hukum pencipta-Nya. Ini kisah cinta yang fitrahnya terpateri di dalam hati. Kisah yang mengharapkan reda Ilahi. Bahkan dalam mencari cinta duniawi, Imran diuji bukan sekali, tetapi berkali-kali. Namun dia pasrah. Dia yakin, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah yang tersembunyi milik Ilahi.
Bagi aku kisah cinta dalam naskhah ini cuma sekadar sisipan kecil sebagai 'hadiah' buat pembaca berbanding dengan tazkirah yang cuba disampaikan oleh penulisnya. Moga ada hati-hati pembaca yang 'cair' dalam menghayati kisah 'cinta' si Imran ini.
'…kalau pakaian yang rapi itu untuk menutup aurat di tubuh, maka akhlak yang rapi itu untuk menutup aurat di hati…' ~ ms:179. Ini antara sisipan frasa yang boleh dijadikan pedoman buat kita menilik diri.
Xarine membawa kita memahami makna sahabat yang sebenar-benar sahabat. Sahabat yang saling ingat-mengingati. Sahabat yang saling faham-memahami. Dan sahabat yang saling bantu-membantu tanpa mengharap balas. Sesungguhnya sahabat yang paling baik adalah sahabat yang sentiasa ada di samping meski dalam tangis atau ketawa ~(ms:343). Ya! Xarine membuatkan aku ingin menjadi sahabat kalian sahabat-sahabatku yang sentiasa ada di kala kamu senang mahupun sukar.
Kisah hidup Imran yang penuh liku, yang hidup dalam serba kekurangan sebagai anak miskin benar-benar membuatkan hati aku meruntun hiba. Aku bagaikan separuh daripada hati Imran yang merasa. Dibesarkan dalam keadaan yang daif, hanya mengharapkan rezeki daripada kilang kayu (sawmill), yang ada kalanya tidak menentu, benar-benar membuatkan aku larut dalam kisah hidup Imran ini.
Naskhah ini sangat dekat di hati aku. 'Imran' bagaikan jelmaan aku (pastinya dalam versi wanita!) kerana aku juga pernah lalui apa yang Imran alami. Zaman yang perit dan getir. Zaman-zaman sukar yang rezekinya tidak menentu. Apatah lagi bila tibanya musim tengkujuh! Aduhai peritnya hidup.
Tapi sebenarnya, itulah pembakar semangat untuk kami berjuang. Berjuang untuk keluar dari kemiskinan yang membelenggu. Biarpun tidak semewah mana, tapi sekurang-kurangnya untuk hidup yang lebih nyaman dan selesa. Ya... Xarine bagaikan menterjemahkan 'perjuangan' hidup aku lebih tiga dekad yang lalu ke layar kertas. Terima kasih Xarine dengan 'kenangan' ini!
Buat Xarine… moga usaha kamu dalam mentarbiah pembaca dengan bahasa kamu yang indah, dengan cara kamu yang berseni ini, akan membuahkan reda Ilahi. Sesungguhnya ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang boleh dikongsi bersama.
Teruskan perjuangan kamu… sesungguhnya kamu adalah adikku yang 'se'nama Wan Muhammad Khairi. Kakakmu ini akan sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan kamu di dunia dan di akhirat!
Pengarang : Nora Ismail
Halaman : 670
Tahun : 2009
Terbitan : NB Kara
Harga : RM23.90
Blurb:
Dugaan itu terlalu sukar untuk ditempuhinya
Diperkosa sahabat baiknya sendiri, Hazry, Rina seperti hilang arah. Ke mana diri hendak dibawa? Perlukah harga diri dijaja? Dalam resah dan gundah, syukur ada tangan yang datang menghulur. Azfarel lelaki budiman yang memang meminati Rina dari jauh menghulurkan pertolongan. Hati Rina berbelah bagi, apakah perlu diterima hati yang cuba berbudi? Sedangkan Hazry hilang entah ke mana. Bahagiakah hidupnya nanti dengan Azfarel? Dapatkah dia melupakan segala bayangan hitam. Namun akhirnya Rina sedar… dalam hidup, bagaimana kita mencaturnya… Tuhan lebih tahu …
******
Rasaku:
Sebenarnya karya ini sudah agak lama aku usai membacanya. Seusainya pesta buku antarabangsa yang berlangsung di PWTC kurang-lebih dua bulan yang lalu. Tetapi memandangkan masa sering dijadikan alasan, tinggallah ia terperuk di kotak mindaku. Aku benar-benar kewalahan dan kesuntukan waktu untuk menzahirkannya.
Baiklah, berbalik pada resensi untuk karya Nora Ismail ini. Sebenarnya ini bukanlah karya pertama Nora Ismail yang juga menggunakan nama pena Rose Harissa yang aku baca. Tuhan Lebih Tahu merupakan percaturan kedua beliau di bawah jenama terbitan NB Kara selepas Serasi Di Hati.
Naskhah ini berkisah tentang Rina Azia si gadis malang yang kehilangan kegadisannya dek perbuatan lelaki yang dia anggap sahabat karib. Si sahabat yang hilang kewarasan diri disebabkan oleh pengaruh Ectasy yang diambil ekoran rasa sedih atas kehilangan ayah tersayang. Ketika diri dalam keadaan yang 'tidak sedar diri', dia telah mencabul kehormatan sahabat baiknya sendiri.
Rasa kekesalan yang timbul akibat perbuatannya, dia 'melarikan' diri ke luar negara menyambung pengajian yang masih lagi berbaki. Dengan harapan dapat melupakan kejadian 'tidak sengaja' yang dilakukannya, juga demi menata kembali hidupnya yang duka lara akibat kehilangan ayah tercinta. Si gadis, dibiarkan terkapai-kapai sendirian mencari haluan demi masa depan yang tidak lagi menjanjikan sinar.
Namun nasib masih lagi menyebelahi diri Rina Azia, apabila sang arjuna sudi menerima dirinya demi satu jalinan rasa yang dinamakan cinta. Wan Azfarel sudi menghulurkan tangan, memimpin dirinya yang dalam kekalutan menghadapi masa depan yang tidak menentu. Rina juga beruntung kerana kedua ibu bapa mertua menerima dirinya seadanya.
Tapi tidak pada kedua orang tua kandung yang membuang dirinya. Tidak mengaku diri sebagai anak. Lantaran rasa kecewa dan terhina dengan 'salah laku' si anak. Hakikatnya mereka tidak tahu duduk perkara sebenar! Dan Rina dijatuhkan hukuman tanpa diberi kesempatan membela diri.
Kedamaian hidupnya bersama Wan Azfarel serta anaknya Ikhzal mula berantakan setelah lebih enam tahun hidup rukun damai. Pertemuan semula dengan Hazry telah mengucar-ngacirkan hatinya. Membuatkan dirinya tidak keruan. Rahsia keberadaan Ikhzal cuba disembunyikan daripada pengetahuan Hazry. Tambah malang lagi apabila Elisha, bekas kekasih Hazry mula mencucuk 'jarum'. Meracuni fikiran Nafisa, adik tirinya yang telahpun menjadi tunangan Hazry tentang sejarah silam mereka – Hazry & Rina.
Tidak berakhir di situ, kesabaran Rina juga diuji apabila penyakit tumor Azfarel menyerang kembali. Dalam keadaan kesihatan diri yang tidak menentu, dengan mainan perasaan yang bimbang akan kehilangan kasih Rina dan Ikhzal, membuatkan Azfarel mula meragui kejujuran Rina. Apatah lagi syarikat di mana Rina mencari rezeki berkerjasama dengan syarikat milik keluarga Hazry dan ditakdirkan Rina adalah calon terbaik untuk menguruskan projek tersebut, tambah mengusutkan lagi keadaan.
Apakah yang berlaku dalam hidup Rina Azia seterusnya? Adakah kasihnya akan beralih arah terhadap Azfarel dengan kemunculan semula Hazry Izhar? Wan Azfarel, sanggupkah dia berkorban hati dan perasaan demi seorang wanita yang amat dia cintai atas nama pengorbanan? Segala persoalan ini hanyalah… Tuhan Lebih Tahu… tapi jawapannya tetap anda akan ketahui apabila anda menatap buah tangan terbaru Nora Ismail ini.
Apa yang aku nak kongsikan dengan pembaca yang lain adalah cara Nora @ Rose membangunkan plot cerita Tuhan Lebih Tahu ini. Penceritaan yang berjalan mengikut kronologi ini amat mudah diikuti. Kisah bermula ketika mereka menuntut ilmu hinggalah melangkah ke alam pekerjaan dan berumahtangga.
Membaca naskhah ini, hati aku sering diburu perasaan geram. Geram pada Hazry yang tinggalkan Rina begitu sahaja. Tidak terpikirkah dia bagaimana nasib Rina di masa depan? Bagaimanakah Rina harus hidup dengan status diri yang sudah tercemar? Nama sahaja sahabat baik tetapi tak mahu berkorban untuk sahabat baiknya sendiri! Eee geramnya...
Aku juga geram dengan setiap olah Elisha dari awal cerita hinggalah ke penamatnya. Elisha sebagai watak antagonis benar-benar membuatkan aku jadi benci padanya! Hatta natijah yang menimpa diri Elisha juga tidak mampu membuatkan aku jatuh belas padanya! wah brutalnya wan!
Aku juga jadi geram pada Azfarel yang sanggup membuat 'MoU' dengan Hazry. Pada aku Azfarel khilaf dalam menginterpretasikan perasaan sayangnya pada Rina. Dia seharusnya mempertahankan 'hak milik'nya tanpa perasaan ragu-ragu! Dan sepatutnya Hazry itu menjadi musuh ketat dia. Hahaha rasanya aku sudah tidak dapat berfikir secara waras lagi!
Maafkan aku andai aku kedengaran terlalu emosional. Tapi itulah hakikatnya. Membaca karya Nora @ Rose kali ini, perasaan aku libang-libu dengan rasa geram dan menyampah. Aku benar-benar larut dalam pembacaan ini.
Walau bagaimanapun banyak persoalan yang berlegar dibenakku, tentang kewajaran setiap tindakan yang diambil oleh Rina, Azfarel mahupun Hazry sebagai teraju utama yang membangunkan naskhah ini.
Pertama sekali tentang kewajaran Rina ke tempat Hazry di malam buta tanpa ditemani sesiapa yang akhirnya telah membawa musibah kepada dirinya. Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan" – riwayat Imam Ahmad. Kenapa Rina tidak terfikir untuk mengajak teman untuk menemaninya?
Juga kewajaran Azfarel ingin 'menyerahkan kembali' isterinya kepada orang yang bertanggungjawab meragut kesucian wanita kesayangannya. Kemudian aku terfikir, hey! inikan sekadar cerita fiksyen! kenapa harus aku mempersoalkan setiap kewajaran yang diambil oleh mereka?? Hahaha
Namun aku harus memberi kredit kepada penulisnya kerana telah berjaya membangunkan keinginan yang kuat dalam diri aku untuk menatap karya ini demi mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya, dan seterusnya dan seterusnya. Memaksa aku menatap naskhah ini hingga ke penamatnya. Walaupun secara jujurnya, aku terpaksa menghentikan pembacaan beberapa kali demi menata kembali emosi yang bergulir dihati.
PS: Cik Rose, wan memang emo membaca novel ini! huhuhu
(naskhah edisi Bahasa Indonesia)
Pengarang : Habiburrahman El Shirazy
Halaman : 116
Tahun : Mei 2008 (Cetakan XXI)
Terbitan : MQS Publishing
Harga :
Blurb:
"...Anakku, sudah saatnya kau mencari teman sejati yang setia dalam suka dan duka. Teman baik, yang membantumu untuk menjadi orang baik. Teman sejati yang bisa kau ajak bercinta untuk surga."
Said tersentak mendengar perkataan ayahnya.
"Apa maksud Ayah dengan teman yang bisa diajak bercinta untuk surga?" tanyanya dengan nada penasaran.
"Dia adalah teman sejati yang benar-benar mau berteman denganmu bukan karena derajatmu, tetapi karena kemurniaan cinta itu sendiri, yang tercipta dari keikhlasan hati. Dia mencintaimu karena Allah. Dengan dasar itu, kau pun bisa mencintainya dengan penuh keikhlasan; karena Allah. Kekuatan cinta kalian akan melahirkan kekuatan dahsyat yang membawa manfaat dan kebaikan. Kekuatan cinta itu juga akan bersinar dan membawa kalian masuk surga."
******
Rasaku:
Sebagaimana karya-karya Pak Habiburrahman yang lain, sememangnya karya beliau yang ini juga punya keistimewaannya yang tersendiri. Karya terbitan MQS Publishing ini adalah naskhah yang pernah diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan di Yogjakarta sekitar tahun 2003 menggunakan judul Bercinta Untuk Surga.
Naskhah setebal 116 halaman ini memuatkan 29 bab mewakili 29 kisah-kisah pilihan yang diambil dari pelbagai sumber seperti dari Hadis Nabi, kisah-kisah di zaman para sahabat Nabi, zaman tabi'in serta kisah-kisah teladan dari pelbagai pelusuk dunia islam.
Memetik kata daripada Prakata Penulis, ' Sesungguhnya, Allah s.w.t telah menaburi ayat-ayat Al-Quran dengan aneka kisah dan cerita-cerita berhikmah. Hal itu tak lain, dan tak bukan, ialah agar kita mengambil ibrah atau pelajaran dari cerita-cerita itu. Tentu untuk kemuliaan pekerti dan kebaikan kita, kerana, memang demikianlah semestinya. Bukankah agama (Islam) adalah akhlak mulia? Bukankah pula untuk kemuliaan akhlak itulah Baginda Rasul di utus ke dunia fana ini? ' bertitik tolak atas dasar itulah maka lahirnya naskhah ini.
Walaupun naskhah ini 'nipis', tapi isi yang dihidangkan pada kita amat padat. Ada kisah tentang budi pekerti, ada kisah tentang sedekah, ada kisah tentang janji, ada kisah tentang sahabat, selain kisah-kisah teladan. Pendek kata 'buku nipis' ini merangkumi pelbagai kisah-kisah teladan yang boleh kita jadikan iktibar dan panduan buat kita muhasabah diri. Kisah-kisah yang diutarakan juga boleh kita jadikan sebagai pemangkin dalam kita membangun keperibadian diri ke arah yang lebih baik. Insyallah.
Salah satu kisah yang dimuatkan dalam bab pertama naskhah ini….
Masuk Surga dan Masuk Neraka karena Seekor Lalat.
Kisah tentang dua pengembara yang memasuki daerah yang didiami oleh kaum penyembah berhala. Barang siapa yang melalui kawasan tersebut harus melakukan korban atau persembahan buat berhala tersebut supaya dapat keluar daripada kawasan tersebut dengan selamat.
Al-kisah lelaki pertama yang sangat takutkan kematian telah menangkap seekor lalat sebagai korban sembahan kepada berhala tersebut memandangkan dia tidak memiliki apa-apapun, dan dia dilepaskan.
Sebaliknya lelaki kedua yang tetap teguh berpegang pada akidahnya dan tidak mahu melakukan korban untuk berhala tersebut walaupun nyawanya yang jadi galang ganti. Dia tetap taat pada ajaran agamanya; berkorban hanya boleh dilakukan jika sesuai dengan syariat. Sedangkan memberi korban kepada berhala walaupun hanya dengan seekor lalat, tetap berlawanan dengan syariat dan ia adalah perbuatan yang menyekutukan Allah dan merupakan dosa yang paling besar.
Akhirnya lelaki kedua mati dibunuh kerana mempertahankan akidahnya tetapi matinya adalah mati syahid. Malang bagi lelaki pertama yang dilepaskan. Baru beberapa langkah dari daerah tersebut, dia dipatuk ular berbisa dan meninggal. Namun kematiannya adalah kematian yang sia-sia. Dia akhirnya dihumban ke neraka kerana perbuatannya menyekutukan Allah hanya kerana dia membunuh lalat sebagai korban pada berhala.
Moralnya, adakalanya persoalan yang kita nampak remeh, sebenarnya mampu memberikan impak yang sangat besar dalam hidup kita seperti kisah seekor lalat ini.
Antara isi kandungan (bab) lain yang menjadi inti pati dalam naskhah ini adalah :
Bab 1 Masuk Surga dan Masuk Neraka karena Seekor Lalat
Bab 2 Pahala Takut kepada Allah
Bab 3 Kalimat Pengusir Maksiat
Bab 4 Gadis Cerdas, Gadis Impian
Bab 5 Karena Dendam pada Serigala
Bab 6 Tiga Lelaki berjiwa Malaikat
Bab 7 Jujur itu Surga
Bab 8 Ketika Cinta Berbuah Surga
Bab 9 Kayu Ajaib
Bab 10 Tongkat Sang Pengkhianat
Bab 11 Malaikat dan Tiga Lelaki Cacat
Bab 12 Sang Dermawan
Bab 13 Ulama Penakluk Singa
Bab 14 Lelaki Sejati
Bab 15 Di mana Allah?
Bab 16 Pemuda Penakluk Syahwat
Bab 17 Raja, Pengemis dan Hakim
Bab 18 Malu Kepada Allah
Bab 19 Si Kaslan dan Kakek Tua
Bab 20 Manusia Paling Pemurah
Bab 21 Membela Tamu
Bab 22 Suara dari Langit
Bab 23 Khalid dan Komandan Romawi yang Syahid
Bab 24 Rahasia Tiga Pertanyaan
Bab 25 Karena Mimpi Melihat Neraka
Bab 26 Keutamaan Sedekah
Bab 27 Nuaim dan Anak Unta
Bab 28 Khalifah dan Gubenur Miskin
Bab 29 Orang Terakhir Masuk Surga
Sesungguhnya bukanlah jumlah halaman yang menjadi ukuran, tapi apa yang penting adalah pengisian yang kita dapat sama ada ia bermanfaat buat kita ataupun tidak. Dan seharusnya apa yang paling mustahak, jadikan setiap cerita itu sebagai panduan serta pedoman. Yang baik kita jadikan teladan yang buruk kita jadikan sempadan agar hidup kita hari ini lebih baik berbanding semalam dan hari esok pastinya lebih baik daripada hari ini.
"…maka lihatlah sejarah nenek moyangmu untuk kebaikan masa depanmu"
Nota kaki: Resensi ini saya sediakan khas buat adinda kesayanganku, moga sedikit sebanyak memberi 'gambaran' untuknya *wink*
Next Page |