Entry: Ombak Bukan Biru Tuesday, January 20, 2009



Pengarang : Fatimah Busu

Halaman    : 374

Tahun        : 2008

Terbitan     : Cetakan terbaharu Oleh – Pekan Ilmu Publication

Harga       : RM18.90


Blurb:

 

Imrah bangkit berdiri dalam satu pertembungan antara tradisi lama dan tradisi baru. Sebelah kaki Imrah masih dalam lingkungan tradisi kampung yang bersih dari pengaruh-pengaruh luar dan penuh dengan amalan adat resam orang-orang tua, tetapi dengan menggunakan kekuatan yang luar biasa, Imrah cuba menjangkau kehidupan kekinian yang diamalkan di kota-kota yang telah diresapi oleh unsur-unsur luar dengan  kakinya yang sebelah lagi. Jatuh bangun Imrah, kegagalan dan kejayaan Imrah untuk mencantumkan dua impian kehidupan yang bercanggah ini adalah ombak-ombak yang menghakis kehidupan remaja dan mematangkan dirinya.  Lalu dengan rasa penuh sedar akan tanggungjawap satu kewujudan seorang perempuan, dia memulakan perjalanan baru yang bertolak dari satu soalan, 'Di manakah penyudahnya hidup seorang perempuan?'

 

 

******

Ombak Bukan Biru adalah sebuah karya hasil garapan penulis berkaliber Fatimah Busu. Secebis kisah masyarakat di era 70-an (perbetulkan aku andai aku silap). Kisah tentang seorang anak gadis yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada keluhuran ajaran Islam, yang menitikberatkan adat dan tradisi melayu.

 

Ayahnya, "… seorang kampung tutuk. Ayah fanatik dengan kitab-kitab dan soal akhirat. Ayah ulama yang tak terlantik di kampung. Dan semua orang hormatkan ayah kerana kealiman ayah. Ayah pantang dibahas tentang agama, ayah akan bertegang sampai jauh malam selagi lawannya tidak mengaku kalah. Dan ayah juga pantang ada orang mahu pinjam kitab-kitabnya. Tidak ada dalam simpanan, rela keluar wang untuk beli dan beri pinjam. Dan kerana itu ayah 'berilmu'. Ayah dihormati. Ayah disegani. Ayah dimuliai. Apatah lagi kerana ayah seorang 'Haji'…" – ms 27

 

Kisah tentang seorang pendidik biasa yang mengajar di Kota Bharu. Seorang yang bergiat aktif dalam bidang seni tari dan pandai menarikan tarian asyik, tarian lilin, tarian zapin serta beberapa jenis tarian lagi, juga seorang yang pandai bermain alat-alat muzik.

 

Seorang anak gadis yang tumbuh sebagaimana lumrah anak-anak remaja lain, yang punyai naluri untuk menyintai dan dicintai, mengecap nikmat manisnya bercinta, merasa pahitnya dikecewakan dan indahnya bercinta lagi.

 

Kisah tentang pergolakan emosi seorang Imrah. Cinta Imrah pada Yamin, cinta yang dikhianati. Ketika hatinya sedang lara, Cik Celine datang bersama hasrat ingin mendalami seni tari melayu. Membawa dia mengenali Lawrence, 'tall and handsome. Good looking, nice guy' yang membuatkan dirinya seumpama 'Alice in Wonderland'. Namun cintanya pada Lawrence adalah cinta 'terlarang'. Namun dia tegar…

 

Nasi lemak buah bidara

Batang selasih aku lurutkan

Tinggal emak, ayah saudara

Kerana kekasih aku turutkan

 

Itulah Imrah yang mengalami transformasi budaya. Antara tradisi lama yang harus dijunjung dan tradisi baru yang ingin diterokai. Natijahnya dia dibuang keluarga. Dia tersisih dari perhatian ayah, dia terpinggir dari kasih sayang ibu dan dia jauh dari pandangan saudara.

 

Bahkan berita tentang kematian ayahnya hanya diketahui lewat telegram kiriman kakaknya Rohani. Hanya selepas hampir seminggu jenazah ayahnya disemadikan. Pergi tanpa sempat Imrah sujud di kaki ayahnya memohon keampunan. Pergi bersama dosa-dosa Imrah yang tidak terampun.

 

Walau bagaimanapun rasa cinta semata tidak cukup untuk membuatkan hidupnya bahagia. Badai datang tanpa diundang. Tindakan nekad tanpa akal yang waras membuatkan hidupnya berantakan. Memaksanya dia meninggalkan Lawrence ketika dirinya sedang sarat mengandungkan buah cinta mereka hanya kerana perasaan cemburu. Dia kecewa kerana dikecewakan. Dia kembali menjejaki tanah desa tercinta bersama jenazah anaknya untuk disemadikan.

 

Namun Imrah tetap cekal menghadapi hari depan. Walau dugaan datang bertimpa, dia redha. Ini takdir untuk dirinya yang 'berdosa'. Dia bangkit sebagai Imrah yang baru, dengan semangat baru dan dengan kerja yang baru sebagai pramugari dengan harapan di antara para penumpang itu, tersembul wajah Lawrence, tatkala boeing 747 membawanya terbang di awan biru…

 

Apa yang dapat aku katakan usai membaca karya ini… ia sememangnya 'Novel yang Merentas Dekad'!!

 

Aku suka dengan watak Imrah. Ia adalah gambaran seorang anak gadis yang telus walaupun tidak semulus heroin-heroin lakaran penulis baru dewasa ini. Aku dapat bayangkan Imrah, seorang anak gadis yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan ilmu agama. Ilmu akhirat, membesar, bercinta, putus cinta dan bercinta lagi, tetapi dia tetap tahu di mana letak nilai dirinya.

 

Apa yang aku kagum dengan watak Imrah ini adalah, penulis berjaya memisahkan gambaran zahir si Imrah – seorang anak gadis yang bersopan santun – dengan pergolakan emosi seorang Imrah tatkala dirinya dalam sengsara menahan hati yang merana dek cinta yang terkandas di tengah jalan. Walaupun ada antara bait-bait ayat yang menggambarkan suara hati Imrah agak 'kasar' pada pembacaan aku, tapi seorang Imrah tetap menjaga keperibadian zahir sebagai gadis timur yang telah terdidik dengan sempurna oleh kedua orang tuanya. Ia tetap menjaga tingkah, hinggalah dia tewas pada pesona mata sang arjuna yang memukau dengan kelelakiannya. Memanah terus ke jantung hatinya membuatkan dia buta untuk menilai dan tegar 'menukarkan' seorang ayah dengan seorang lelaki lain.

 

Apa yang membuatkan aku jatuh cinta dengan novel ini adalah, Ombak Bukan Biru telah menggembalikan 'jiwa' aku yang telah lama tertinggal di kampung. Ya, Ombak Bukan Biru telah membawa aku kembali mengimbau nostalgia semalam yang aku tinggalkan.

 

Suasana meriah hari sabtu di bandar KB, menyusur jalan-jalan dan lorong-lorong yang pernah aku jejaki tapi sudah lama aku tidak kunjungi. Istilah-istilah dan dialek yang digunakan, membawa aku kembali ke desa yang tercinta. Istilah orang hilir, orang hulu, karai air, meratib, gatih, berkemban gantung, celapak, berbalik pais, karak, berjujut-jujut, sekah adalah antara dialek-dialek yang aku jumpa dalam novel ini. Mengembalikan ingatan aku pada loghat yang sudah jarang aku gunapakai. Sungguh nostalgia.

 

Pendek kata jika anda anak jati negeri Serendah Sekebun Bunga yang telah lama merantau dan hampir lupa akan bahasanya yang unik itu, anda harus membaca novel ini. Untuk mengembalikan ingatan anda pada tanah yang pernah berada di bawah tampuk pemerintahan Cik Siti Wan Kembang ini.

 

Namun begitu, keseluruhan penggunaan bahasa oleh pemegang Ijazah Sarjana Sastera (1978) dan Doktor Falsafah (1994) dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Bahasa 'orang lama' yang sarat dengan bunga-bunga bahasa yang indah dan puitis, yang sememangnya tidak lekang dek hujan tak lapuk dek panas. Indah dan menawan dalam darjahnya yang tersendiri. Mengingatkan aku betapa indahnya bahasa melayu, bahasa yang pernah diangkat sebagai bahasa perantara (lingua-franca) yang ditutur berabad-abad yang lalu di seantero Nusantara.

 

Aku cukup puas usai membaca naskhah ini. Sebuah 'masterpiece' yang cukup telus daripada Dr. Fatimah Busu. Jika anda ingin kembali ke era 70-an, bacalah Ombak Bukan Biru ini, tapi jangan terkejut andai 'cerita'nya masih relevan dengan kehidupan kita dekad ini.  

 

Selamat Membaca!! 

Note: Sekalung penghargaan buat Khar – Pekan Ilmu Publication. Big Smile

 

   2 comments

Aisyah Barkat
February 22, 2012   12:19 AM PST
 
Nak jual novel ni tak?
Roshanilawatey
July 16, 2010   07:20 PM PDT
 
Memang OBB sangat menyentuh hati dan amat menarik untuk dibaca. Tambah berkesan lagi jika disambung dengan "The Missing Piece 1" & "The Missing Piece II"... Saya pernah menjadi muridnya semasa di sekolah rendah sekitar 1969 - 1973, di SRJK (I) Kota, KB... sebelum beliau melanjutkan pengajian ke USM...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments