Entry: Chinta Friday, February 06, 2009



Pengarang  : Norhayati Berahim

Halaman     : 728

Tahun         : Disember 2008

Terbitan      : NB Kara

Harga         : RM24.90


Blurb:

 

Rahsia itu dipendamnya sehingga menyakitkan dirinya sendiri.

Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita.  Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai suatu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita.  Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya… hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya… 

 

******

 

Chinta adalah karya terbaharu hasil garapan penulis prolifik – Norhayati Berahim. Berkisah tentang  pergolakan yang berlaku di seputar kehidupan seorang gadis bernama Chinta. Berselang dengan kisah Raja Akid yang tidak pernah percaya pada cinta seorang wanita.

 

Chinta – dalam hatinya sarat dengan perasaan kasih pada kaum keluarga. Perasaan sayang yang terlalu menebal di jiwanya. Walau disepak terajang oleh si ayah, dia tetap pasrah. Itulah seorang Chinta. Anak gadis yang sering dianaktirikan oleh si ayah tanpa dia tahu apa kesalahannya. Kisah pahit manis yang terpaksa diharunginya di kala dia meniti usia dewasa.

 

Namun walau seburuk mana layanan si ayah dia tetap réda.  Tapi dia tidak keseorangan. Dia masih punya ibu, adik-adik, makcik dan sahabat karib yang sering membela dan mengasihi dirinya tanpa sebarang syarat.

 

Raja Akid – pada lahirnya dia lelaki metrosexual yang amat sempurna pada pandangan mata orang. Tetapi tak siapa tahu derita jiwa yang membelenggu dirinya. Ekoran trauma masa lalu, dia memandang sinis pada setiap wanita yang mendampinginya.

 

Menyaksikan satu insiden yang tidak sewajarnya dilihat, membuatkan Raja Akid mengalami 'gangguan jiwa' yang telah merubah secara total perspektif Raja Akid terhadap kaum wanita. Detik kelam yang dilalui sendirian tanpa perhatian si ayah yang sibuk dengan urusan kilang makanan dan si ibu yang sibuk dengan urusan 'rumah-tanpa-tangga'nya menyebabkan Raja Akid membesar dengan membawa tanggapan negatif terhadap kaum hawa.

 

Tapi sampai bila mereka harus melalui masa kelam ini?. Membawa persoalan yang tiada jawapannya.!! Mampukah kuasa cinta merungkaikan segala persoalan yang membelit jiwa mereka??

 

Apa yang dapat aku katakan, Chinta adalah 'comeback' daripada Norhayati Berahim (NB). Membaca Chinta aku dapat merasakan 'kehadiran' NB. Kehadiran yang bisa menyuntik semangat juang aku sebagai wanita. Kehadiran yang bisa membuai naluri kewanitaanku dengan kisah cinta 'juita-arjuna'nya. Kehadiran yang memaparkan secebis lagi kisah tentang pergolakan yang tidak mustahil berlaku dalam masyarakat kita. Pendek kata, kehadiran yang senantiasa aku nanti-nantikan kemunculannya. 

 

Tatkala menguliti hasil garapan NB, sering kalinya aku berangan… alangkah bagusnya andai aku dianugerahkan dengan sifat penyabar, sifat penyayang yang tinggi dijiwa sebagaimana sifat sabar dan semangat juang seorang wanita dalam setiap novel karya NB. Sebagaimana aku impikan semangat Inas dalam Sentuhan Kasih (CESB), semangat Atiqah dalam Pesanan Terakhir Seorang Lelaki (CESB), semangat Hardina dalam Seindah Derita (CESB), semangat Nurain dalam Hati Seorang Wanita (Alaf), semangat Farah Diba dalam Air Mata Kasih (Alaf), semangat Dr. Amna dalam Terima Kasih Kekasih (NB), takpun semangat Wardina dalam Kembalikan Cintaku (NB) – sekadar menyebut beberapa novel terdahulu karya NB.

 

Pada aku, NB sinonim dengan 'wanita & pengorbanan'. Dua eleman yang sering aku jumpa lewat karya beliau. Tidak terkecuali dalam Chinta, wanita & pengorbanan juga yang menjadi inti sari atau tidak salah jika aku dilabelkan sebagai 'trademark' beliau.

 

Chinta  membawa aku menyelami erti kegigihan, erti kesungguhan, erti kesabaran dan yang paling penting mengajar aku akan erti sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab seorang anak terhadap kedua orang tuanya. Tanggungjawab seorang adik pada abangnya – walaupun dia sering kali menjadi mangsa si abang. Tanggungjawab seorang kakak terhadap adik-adiknya, tanggungjawab seorang sahabat terhadap sahabatnya pendek kata tanggungjawab sesama insan.

 

Chinta juga membuatkan aku jatuh belas pada nasib Chinta yang sering kali menjadi mangsa ketidakadilan si ayah. Menjadi tempat si ayah melepaskan geram yang terbuku di dada. Membuatkan aku jadi benci pada si ayah yang melebihkan anak lelaki (sulung) yang tidak pernah tahu tanggungjawab itu. Membuatkan aku jadi cukup terkilan dengan nasib yang menimpa Chinta. Tapi kesudahan si abang yang sebegitu membuatkan aku lagi tidak puas hati!! Dia sepatutnya mendapat pembalasan yang lebih teruk, lebih buruk, setimpal dengan nasib buruk yang pernah menimpa Chinta dek olahannya!!.

 

Persoalan cinta dan kasih sayang yang membelenggu seorang Chinta, membuatkan aku seakan terlarut sama untuk menangisi nasib tidak baik Chinta dalam kemelut cintanya dengan Saiful. Menghadapi karenah cinta Chinta bersama jejaka yang didampingi sedari dia dibangku kuliah lagi.

 

Namun seorang Chinta tetap menerima takdirnya dengan berlapang dada, kerana dia tahu dia tidak keseorangan. Dia ada Candy sahabat akrabnya yang menjadi tempat dia lepaskan beban di hati. Dia ada Raja Akid, seorang ketua dan seorang sahabat yang melayan dirinya seadanya. Dia ada ibu Molek, dia ada Mak Yong yang sentiasa menjadi penguat semangatnya, membuatkan dia mampu melepasi masa suramnya dengan hati yang tabah.

 

Namun di sebalik setiap kejadian yang berlaku, ada rahmat yang terselindung. Hakikat itu memang tidak dapat kita nafikan. Sama ada kita sedar ataupun tidak. Begitulah nasib Chinta. Ada sinar di hujung jalan buat Chinta. Ada rahmat-Nya yang terbentang buatnya menjalani hidup ini dengan tenang dan bahagia walaupun dia harus tempuhi ranjau dan duri sebelum berhasil mengecapinya.

 

Tapi jangan terkeliru, novel ini bukan hanya berkisar tentang kisah Chinta semata, ada pelbagai isu dan permasalahan yang berlaku pada insan yang berada di sekitar kehidupan Chinta. Kisah pergolakan rumahtangga Raja Haidar, kisah kecurangan 'Puteri' Sheema, kisah tidak bertanggungjawab Rodin, kisah ketidaksetiaan Saiful, bahkan juga kisah Mak Yong yang tetap setia pada kasih dan cinta arwah suami. Pendek kata, pelbagai 'rasa' ada dalam naskhah Chinta ini.

 

Sesungguhnya membaca setiap karya NB, sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat aku. Dan satu yang aku sedar, sesungguhnya tak semua yang kita nampak indah itu baik untuk kita, dan tak semestinya yang terlihat jelik itu buruk untuk kita, yang pastinya kita harus pasrah dan réda dengan setiap ketentuan-Nya.

 

Buat NB, tahniah!! sebuah karya yang mampu membuatkan aku membacanya berulang kali.

 

Nota kaki : 

1 ~ ketika resensi ini ditulis, aku telahpun berjaya mengulang baca untuk kali yang kedua.

2 ~ aku suka buku ini kerana tiada gangguan pada mata (tiada header di tepi) sebagaimana buku keluaran NB yang terdahulu yang telah sedikit sebanyak mengganggu penumpuan pembacaan aku.

 

   4 comments

wan
February 12, 2009   09:06 AM PST
 
Lina...
lama x dgr cerita dia... dah pindah ya?? :-O

Chinta - memang x menghampakan!! berbaloi kalau nak jadikan koleksi. :-)

Iye?? hehehe so selamat ber'cinta' la ya!! ahaks ;-)
lina hilmin
February 11, 2009   11:53 PM PST
 
tu wentworth miller ke? la hai.. x perasan pun.. pe pun, Chinta mmg best.. suka & dah ulang bc berkali2..

ps- wan, kita dah beli bohemian.. aiseyyy... kita jatuh cinta ngan fadlan! amat!
wan
February 11, 2009   10:30 AM PST
 
nacha..
hehehe

nak tau dak wan punya pertimbangan ketika nak beli novel apa??
1- cover mesti cantik!!
2- lepas tu baru belek belakang novel baca blurb - menarik ke tidak

sbb tu 2 benda ni amat penting kerana ia akan menarik pembaca membeli novel tu atau tidak... :)
nacha
February 11, 2009   09:03 AM PST
 
tgk cover dah jatuh cinta. muka Wentworth Miller tu mmg full of attraction. hehehe... tapi mmg x dpt dinafikan kisah Chinta ni pun ada kekuatannya yg tersediri. syabas utk kak Yati.

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments