Entry: Kuseru Namamu Kekasih Friday, February 13, 2009



Pengarang : Maya Iris

Halaman    : 485

Tahun        : 2008

Terbitan     : PTS Millennia Sdn Bhd

Harga        : RM24.50


Blurb:

 

Empat wajah dengan latar berbeza, empat ideologi dan falsafah dalam kekeliruan cinta semalam

 

Rayyan, gadis yang sanggup berkorban apa sahaja demi teguhnya cinta pada Kekasihnya.  Dia sanggup memutuskan tali pertunangan dengan Zaim supaya mendapat keredaan Kekasih yang satu.

 

Hanisa, gadis keliru yang terpaksa meninggalkan dunia yang dikasihinya kerana kebahagiaan yang dikecapi berakhir dengan kesengsaraan. Dunia yang pada mulanya indah adalah palsu belaka.

 

Zaim, lelaki yang tidak pernah terfikir jatuh cinta dengan gadis yang bertudung yang mengamalkan cara hidup islam dengan sepenuhnya. Namun, dia sanggup melakukan apa sahaja demi membahagiakan hati seorang kekasih.

 

Mark, lelaki yang sedang tercari-cari kekasih sejati.  Kekasih yang dapat memberikannya kebahagiaan yang hakiki.

 

Sebuah kisah empat watak yang berbeza latar belakang, yang masih tercari-cari cinta sejati di sebalik bayangan semalam. Dalam pencarian mereka, seruan kekasih yang manakah bakal menggegarkan jiwa? Seruan kekasih yang manakah menjadi janji yang akhirnya tertunai.

 

******

 

Kuseru Namamu Kekasih adalah novel kedua hasil idea kreatif Maya Iris selepas Curahan Cinta Niagara dan merupakan novel pertama yang aku baca.  Kisah yang berlatarbelakangkan bumi kanggaro ini menyingkap kemelut yang dihadapi oleh sebilangan kecil pelajar Malaysia di Universiti Sydney. Menghadapi kuliah, di samping menunaikan tuntutan agama – berpuasa di bulan Ramadhan – tanpa meninggalkan suruhan-Nya serta amalan-amalan sunat yang di tuntut oleh Islam.

 

Rayyan – Hanisa – Zaim, adalah antara ribuan pelajar yang mendapat peluang meneruskan pengajian mereka di luar negara. Walaupun ada di antara mereka menjadikan peluang ini sebagai satu 'pelarian'. Melarikan diri daripada masalah yang membelit jiwa di tanah air.

 

Rayyan – pemilik nama unik yang namanya sering menjadi perhatian orang. Sebagaimana namanya yang mempunyai baik erti, begitulah juga pekertinya. Dia seorang anak gadis yang menjalani hidup berlandaskan ajaran islam sebagai pedoman. Seorang anak gadis yang mementingkan islam lebih dari segalanya. Bahkan dia sanggup kehilangan insan bergelar tunang demi cinta kepada-Nya.

 

Hanisa – dia gadis yang terlalu ingin diiktiraf sebagai lelaki. Dia tidak suka diperingatkan bahawasanya dia perempuan sedangkan dia ingin menjadi lelaki. Dia ingin diseru sebagai 'John' padahal namanya Jun Hanisa.  Krisis identiti yang dialaminya menjadikan dia tidak disenangi oleh Balkis dan Maisarah teman serumahnya, dia diperolok-olokkan oleh Steve, Brian dan Mark – lelaki Inggeris yang tidak sukakan penampilannya. Tapi ada sebab kenapa dia jadi begitu, malangnya tak siapa yang ambil peduli. Hanya Rayyan yang cuba memandunya ke jalan lurus. Apakah punca yang membuatkan Hanisa berubah laku dan berjayakah dia kembali ke pangkal jalan?

 

Zaim – dia jatuh cinta pada wanita yang tidak pernah terlintas dibenaknya. Seorang wanita bertudung yang menjadikan islam sebagai cara hidup. Tetapi bukan mudah untuk memikat hati seorang Rayyan. Ada syarat yang perlu dipatuhi sebelum diri diterima sebagai pasangan hidup. Apakah syarat yang dikenakan oleh Rayyan? Mampukah Zaim melaksanakan syarat tersebut dan akan tertunaikah hasratnya untuk memperisterikan gadis sebaik Rayyan itu?

 

Mark – seorang pelajar jurusan psikologi dari Universiti Sydney yang mendambakan kasih sejati dan masih tercari-cari akan makna kebahagiaan yang hakiki. Melalui Hanisa dia mengenal rasa cinta. Tapi sayang, perbezaan agama menyebabkan dia kehilangan cinta Hanisa apabila si gadis hilang tanpa berita. Hilang bersama kekeliruan yang perlukan jawapan. Berjayakah Mark mendapatkan cintanya, menemui kebahagiaan yang hakiki??

 

Aku tidak tahu bagaimana harus memulakan resensi tentang novel ini. Tapi terasa sayang pula kalau aku abaikan novel terbitan PTS Millennia ini. Ada sesuatu yang istimewa dalam novel ini yang seharusnya menjadi pertimbangan kawan-kawan untuk membaca dan seterusnya mengutip inti pati yang cuba diketengahkan oleh penulis.

 

Novel yang diangkat sebagai novel islami ini seharusnya tidak dipandang enteng oleh sebilangan kecil pembaca yang hanya inginkan novel berbau 'cinta duniawi' semata. Seharusnya kita tidak meminggirkan novel islami hanya kerana tiada unsur-unsur 'romantika-de-amour' yang sering menjadi pilihan utama kita. Tak salah jika sesekali kita luangkan sedikit masa senggang kita untuk menatap karya yang menjadikan Islam sebagai ad-din ini.

 

Apa yang membuatkan aku suka tentang novel Kuseru Namamu Kekasih ini adalah cara penulis memperincikan betapa indahnya islam sebagai ad-din. Aku harus memberi kredit pada penulis/editor akan kekreatifan mereka menyelitkan petikan terjemahan ayat dan hadis Al-Quran di setiap bab selari dengan plot cerita, secara tidak langsung memperingatkan aku akan isi kandungan Quran tanpa perlu membuka kitab terjemahan. Sekurang-kurangnya kita (terutamanya aku) mendapat manfaat walaupun hanya sekadar membaca novel!.

 

Aku teruja membaca perbandingan antara kisah dongeng Inggeris dengan kisah-kisah para Nabi yang terdapat dalam Al-Quran yang diselitkan ketika Hanisa sedang berperang dengan suara hatinya di bilik kuliah. Selain bab ketika Rayyan harus memperdebatkan isu agama, perbezaan antara agama Islam dan Kristian, menegakkan kesucian Islam di mata Mark.

 

Aku terpegun dengan rahmat-Nya tatkala Margaret Thompson yang mendapat hidayah-Nya dipenghujung usia. Pendedahan pada persoalan berkaitan kitab suci Al-Quran dan beberapa petikan daripada bible sedikit sebanyak memberi info berguna pada aku yang tidak pernah ambil tahu akan isi kandungan yang terdapat dalam bible itu.

 

Itu hanya sebahagian kecil apa yang aku nampak pada pandangan mata kasar aku, sebenarnya banyak lagi kelebihan yang terdapat dalam naskhah kecil ini. Hanya anda sebagai pembaca saja dapat mentafsirkannya.

 

Ops! jangan terkeliru… Kuseru Namamu Kekasih tidak tertumpu pada persoalan 'agama' semata. Ada juga diselitkan insiden yang mampu membuatkan jantung kita berdegup kencang menahan debar dengan situasi aksinya. Terutamanya ketika Rayyan hampir menjadi mangsa salib Paderi Swain – bapa Mark – yang rupanya syaitan bertopengkan manusia!. Juga situasi sedih tatkala Rayyan harus berkorban menyerahkan tunang demi menyelamatkan sahabatnya. Pendek kata Kuseru Namamu Kekasih ini seharusnya dapat membuka minda kita untuk menghayati akan makna sebuah pengorbanan untuk mencari keredaan-Nya.

 

Bacalah… moga anda mendapat sedikit manfaat daripada pembacaan anda tatkala mengisi masa luang yang amat berharga itu. Buat penulis, tahniah! Moga tinta pena anda akan terus aktif melakarkan ilmu melalui karya kreatif untuk dikongsi bersama para pembaca sekalian. Teruskan berkarya!

 

 

Nota kaki :

1- Terima kasih pada sahabatku – Neen yang menitipkan bahan bacaan yang amat berguna ini!!

  

   6 comments

yana..
April 10, 2009   08:38 PM PDT
 
syok gler..novel2 maya iris nie...
pe lagi novel yg dia da karang ??
nk taw..
wat masa skunk..bru bc 2 buah..
ku seru namamu kekasih..n curahan cinta niagara....
n ske novel2 terbitan PTS ..!
wan
February 18, 2009   09:24 AM PST
 
nacha..
bk dia yg 1st berjaman dah ada, tp blom bc lagi... :(

lina..
hehehe itu sekadar pendpt wan aje ;-) tp jgn marah pula klu tak ngam ngan selera lina... tp rasanya tak rugi baca!!

hehehe wan pun dah 2x khatam buku RR... so sweet!! sukee!!! ;-) tgh cari masa nk berkongsi rasa dgn kwn2 tp buat masa skrg ni tgh bz la :(
lina hilmin
February 17, 2009   05:36 PM PST
 
errmm, akan masukkan buku ni dlm list... skrg ni nampak cam dah byk kan novel cenggini... ada isi and a lil bit gaya kontemporari... pendek kata - saya suka fadlan! eheh!

ps - kita dah baca rooftop rant.. ending yg bagus utk citer yg bagus.. rr pun novel yg 'ada isi' kan... love it!
nacha
February 13, 2009   03:04 PM PST
 
buku dia yg 1st pun best gak. tajuk dia dah berjaya captured hati saya utk membelinya. as usual kaknOOr la yg tukang promote.
wan
February 13, 2009   01:30 PM PST
 
Nacha..
:-) sementara kerja x berapa nak byk nih *wink*

mmg betul... byk ilmu yg wan dpt! lepas ni nak try baca citer Maya Iris yg 1st pulak...

tp bab yg Rayyan nak kena salib tu mmg suspen giler, bahkan bila tapak tangan Rayyan dah kena paku, rasa mcm tapak tgn sendiri yg kena.. ngilu!! mmg thumbs up to Maya Iris.
nacha
February 13, 2009   11:39 AM PST
 
wah! Wan sudah kembali aktif.

walaupun citer ni tak ada ciri2 'romantika-d-amour' tapi sy tetap layan sbb intipatinya sgt bermanfaat. mula2 sy confuse sbb slalu tu nama Rayyan tu utk org lelaki. ada gak rasa x puas hati bila Rayyan melepaskan Zaim utk Hanisa. rasanya kalo jd kat saya x sanggup rasanya nak berkorban sebegitu rupa. saat2 Rayyan nyaris nak kena salib tu mmg sgt suspen. ngerinya bila fikir tangan nak kena paku. eeee... thumbs up utk Maya Iris.

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments