Entry: Tuhan Lebih Tahu Monday, June 29, 2009



Pengarang  : Nora Ismail

Halaman     : 670

Tahun          : 2009

Terbitan      : NB Kara

Harga              : RM23.90


Blurb:

 

Dugaan itu terlalu sukar untuk ditempuhinya

 

Diperkosa sahabat baiknya sendiri, Hazry, Rina seperti hilang arah. Ke mana diri hendak dibawa? Perlukah harga diri dijaja? Dalam resah dan gundah, syukur ada tangan yang datang menghulur. Azfarel lelaki budiman yang memang meminati Rina dari jauh menghulurkan pertolongan. Hati Rina berbelah bagi, apakah perlu diterima hati yang cuba berbudi? Sedangkan Hazry hilang entah ke mana. Bahagiakah hidupnya nanti dengan Azfarel? Dapatkah dia melupakan segala bayangan hitam. Namun akhirnya Rina sedar… dalam hidup, bagaimana kita mencaturnya… Tuhan lebih tahu

 

******

 

Rasaku:

 

Sebenarnya karya ini sudah agak lama aku usai membacanya. Seusainya pesta buku antarabangsa yang berlangsung di PWTC kurang-lebih dua bulan yang lalu. Tetapi memandangkan masa sering dijadikan alasan, tinggallah ia terperuk di kotak mindaku. Aku benar-benar kewalahan dan kesuntukan waktu untuk menzahirkannya.

 

Baiklah, berbalik pada resensi untuk karya Nora Ismail ini. Sebenarnya ini bukanlah karya pertama Nora Ismail yang juga menggunakan nama pena Rose Harissa yang aku baca. Tuhan Lebih Tahu merupakan percaturan kedua beliau di bawah jenama terbitan NB Kara selepas Serasi Di Hati.

 

Naskhah ini berkisah tentang Rina Azia si gadis malang yang kehilangan kegadisannya dek perbuatan lelaki yang dia anggap sahabat karib. Si sahabat yang hilang kewarasan diri disebabkan oleh pengaruh Ectasy yang diambil ekoran rasa sedih atas kehilangan ayah tersayang. Ketika diri dalam keadaan yang 'tidak sedar diri', dia telah mencabul kehormatan sahabat baiknya sendiri.

 

Rasa kekesalan yang timbul akibat perbuatannya, dia 'melarikan' diri ke luar negara menyambung pengajian yang masih lagi berbaki. Dengan harapan dapat melupakan kejadian 'tidak sengaja' yang dilakukannya, juga demi menata kembali hidupnya yang duka lara akibat kehilangan ayah tercinta. Si gadis, dibiarkan terkapai-kapai sendirian mencari haluan demi masa depan yang tidak lagi menjanjikan sinar.

 

Namun nasib masih lagi menyebelahi diri Rina Azia, apabila sang arjuna sudi menerima dirinya demi satu jalinan rasa yang dinamakan cinta. Wan Azfarel sudi menghulurkan tangan, memimpin dirinya yang dalam kekalutan menghadapi masa depan yang tidak menentu. Rina juga beruntung kerana kedua ibu bapa mertua menerima dirinya seadanya.

 

Tapi tidak pada kedua orang tua kandung yang membuang dirinya. Tidak mengaku diri sebagai anak. Lantaran rasa kecewa dan terhina dengan 'salah laku' si anak. Hakikatnya mereka tidak tahu duduk perkara sebenar! Dan Rina dijatuhkan hukuman tanpa diberi kesempatan membela diri.

 

Kedamaian hidupnya bersama Wan Azfarel serta anaknya Ikhzal mula berantakan setelah lebih enam tahun hidup rukun damai. Pertemuan semula dengan Hazry telah mengucar-ngacirkan hatinya. Membuatkan dirinya tidak keruan. Rahsia keberadaan Ikhzal cuba disembunyikan daripada pengetahuan Hazry. Tambah malang lagi apabila Elisha, bekas kekasih Hazry mula mencucuk 'jarum'. Meracuni fikiran Nafisa, adik tirinya yang telahpun menjadi tunangan Hazry tentang sejarah silam mereka – Hazry & Rina.

 

Tidak berakhir di situ, kesabaran Rina juga diuji apabila penyakit tumor Azfarel menyerang kembali. Dalam keadaan kesihatan diri yang tidak menentu, dengan mainan perasaan yang bimbang akan kehilangan kasih Rina dan Ikhzal, membuatkan Azfarel mula meragui kejujuran Rina. Apatah lagi syarikat di mana Rina mencari rezeki berkerjasama dengan syarikat milik keluarga Hazry dan ditakdirkan Rina adalah calon terbaik untuk menguruskan projek tersebut, tambah mengusutkan lagi keadaan.

 

Apakah yang berlaku dalam hidup Rina Azia seterusnya? Adakah kasihnya akan beralih arah terhadap Azfarel dengan kemunculan semula Hazry Izhar? Wan Azfarel, sanggupkah dia berkorban hati dan perasaan demi seorang wanita yang amat dia cintai atas nama pengorbanan? Segala persoalan ini hanyalah… Tuhan Lebih Tahu… tapi jawapannya tetap anda akan ketahui apabila anda menatap buah tangan terbaru Nora Ismail ini.

 

Apa yang aku nak kongsikan dengan pembaca yang lain adalah cara Nora @ Rose membangunkan plot cerita Tuhan Lebih Tahu ini. Penceritaan yang berjalan mengikut kronologi ini amat mudah diikuti. Kisah bermula ketika mereka menuntut ilmu hinggalah melangkah ke alam pekerjaan dan berumahtangga.

 

Membaca naskhah ini, hati aku sering diburu perasaan geram. Geram pada Hazry yang tinggalkan Rina begitu sahaja. Tidak terpikirkah dia bagaimana nasib Rina di masa depan? Bagaimanakah Rina harus hidup dengan status diri yang sudah tercemar? Nama sahaja sahabat baik tetapi tak mahu berkorban untuk sahabat baiknya sendiri! Eee geramnya...

 

Aku juga geram dengan setiap olah Elisha dari awal cerita hinggalah ke penamatnya. Elisha sebagai watak antagonis benar-benar membuatkan aku jadi benci padanya! Hatta natijah yang menimpa diri Elisha juga tidak mampu membuatkan aku jatuh belas padanya! wah brutalnya wan!

 

Aku juga jadi geram pada Azfarel yang sanggup membuat 'MoU' dengan Hazry. Pada aku Azfarel khilaf dalam menginterpretasikan perasaan sayangnya pada Rina. Dia seharusnya mempertahankan 'hak milik'nya tanpa perasaan ragu-ragu! Dan sepatutnya Hazry itu menjadi musuh ketat dia. Hahaha rasanya aku sudah tidak dapat berfikir secara waras lagi!

 

Maafkan aku andai aku kedengaran terlalu emosional. Tapi itulah hakikatnya. Membaca karya Nora @ Rose kali ini, perasaan aku libang-libu dengan rasa geram dan menyampah. Aku benar-benar larut dalam pembacaan ini.

 

Walau bagaimanapun banyak persoalan yang berlegar dibenakku, tentang kewajaran setiap tindakan yang diambil oleh Rina, Azfarel mahupun Hazry sebagai teraju utama yang membangunkan naskhah ini.

 

Pertama sekali tentang kewajaran Rina ke tempat Hazry di malam buta tanpa ditemani sesiapa yang akhirnya telah membawa musibah kepada dirinya. Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan" – riwayat Imam Ahmad. Kenapa Rina tidak terfikir untuk mengajak teman untuk menemaninya?

 

Juga kewajaran Azfarel ingin 'menyerahkan kembali' isterinya kepada orang yang bertanggungjawab meragut kesucian wanita kesayangannya. Kemudian aku terfikir, hey! inikan sekadar cerita fiksyen! kenapa harus aku mempersoalkan setiap kewajaran yang diambil oleh mereka?? Hahaha

 

Namun aku harus memberi kredit kepada penulisnya kerana telah berjaya membangunkan keinginan yang kuat dalam diri aku untuk menatap karya ini demi mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya, dan seterusnya dan seterusnya. Memaksa aku menatap naskhah ini hingga ke penamatnya. Walaupun secara jujurnya, aku terpaksa menghentikan pembacaan beberapa kali demi menata kembali emosi yang bergulir dihati.

 

PS: Cik Rose, wan memang emo membaca novel ini! huhuhu

 

   2 comments

wan
June 30, 2009   11:51 AM PDT
 
nacha...
hahaha

itula... nasib baik wan tak ada penyakit darah tinggi... klu tak mahunya pressure naik! :P asyik geram jer!
nacha
June 30, 2009   10:51 AM PDT
 
bc buku ni mmg kena berada dlm keadaan tenang. kalo tak bole wat 'my blood go upstairs' bak kata Julie Dahlan. hahaha...
anyway, tahniah utk Nora@Ros kerana berjaya menghidupkan watak2 dlm novel ni.

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments