Entry: Kemilau Mutiara Raudhah Friday, October 30, 2009



Pengarang  : Saidatul Saffaa

Halaman      :  616

Tahun           : Oktober 2009

Terbitan      : Jemari Seni Publishing

Harga            : RM20.00


Blurb:

biar setinggi mana langit digapai, sedalam mana bumi digali, takkan kau temui cinta hakiki, kerana cinta itu letaknya di hati seorang abdi

Kerana pasir, terbentuknya mutiara. Kerana tanah, lahirnya manusia.

Ini sebuah kisah kembara di atas bumi Tuhan.

 

Kembara hati dalam jiwa hamba.

Kembara daripada hina kepada mulia.

Ini kisah kembara hidup. Kembara dia mencari mutiara cinta di laut dalam, dan kembara mereka menemui cinta Dia di langit nan tinggi.

 

Kata Raudhah, dia punya sejarah jahiliah tersendiri.

Katanya pula, Raudhah ibarat bidadari yang turun dari langit untuk menyebarkan keindahannya.

 

Lalu kata mereka,

langit kawannya bumi

laut pasangannya pantai

siang temannya malam

petang sahabatnya pagi

isteri pula pendampingnya suami

Bukankah kita diciptakan berbeza untuk saling melengkapi,

lantas nikmat Tuhan yang mana lagi mahu didustakan?

 

* * * *

 

Sebuah kisah cinta indah titipan daripada-Nya, tersusun tertib dalam Kemilau Mutiara Raudhah hasil kreatif seorang pelajar perubatan SAIDATUL SAFFAA.

 

*****

 

Kemilau Mutiara Raudhah (KMR), seperti kata blurb, adalah kisah cinta indah titipan daripada-Nya. Benar!. Rasa cinta itu hadir dalam pelbagai cara, di mana jua. Bila rasa cinta mula menyapa di dada, segalanya indah belaka.  

 

Pertemuan mereka berlaku secara tidak sengaja. Dia sang arjuna, lihat dia si badadari bagaikan 'taman syurga" yang menebarkan keindahannya. Dia si dara kenali dia sang teruna seorang lelaki yang punya sejarah hidup yang celoreng. 

 

Percintaan mereka (jika boleh ditafsirkan bercinta), percintaan yang unik. Kehadiran Jack tidak pernah dialu-alukan. Keberadaan Jack sering membuatkan hidup Raudhah gundah. Dan yang paling pasti Jack sudah berpunya.!

 

Pada Jack, Raudhah gadis yang unik. Bermata hijau, bertudung saiz XXXL, namun hatinya tetap juga terpaut. Dia telah terlanjur jatuh cinta pada si gadis tanpa dia sedar siapa sebenarnya si gadis itu. Dan hakikatnya, dia juga telah bertunang dengan gadis pilihan umi nya!

 

Sesungguhnya kasih itu roh yang buta! Tanpa mereka sedar, di loh mahfuz roh mereka telah terpateri menjadi satu. Sebagaimana asal penciptaan Adam dan Hawa daripada zat dan tubuh yang satu. Sebagaimana Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam yang hilang, dan diangkat sebagai teman pendamping Adam, begitulah juga harapnya mereka, walaupun pada lahirnya yang terbentang di depan mata berbeza sekali jalan ceritanya.

 

Namun jodoh, pertemuan, ajal dan maut adalah urusan-Nya. Walau sejauh mana Raudhah lari, di ceruk manapun Raudhah sembunyi, mata-Nya tetap memerhati. Walau lorong takdir mereka berliku, jika jodoh antara mereka telah tersurat, tiada siapa yang dapat memisahkan.

 

Jika Adam dipertemukan semula dengan Hawa di Jabal Rahmah, mereka dipertemukan di Jannatul Firdaus Resort. Jika Adam harus mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali dengan Hawa, berapakah pula masa yang harus diambil untuk mereka bersatu?? Atau selamanya biarlah begitu??

 

* * * *

 

Usai membaca Kemilau Mutiara Raudhah (KMR) aku tersenyum puas. KMR adalah sebuah naskhah yang sangat indah. Sangat comel. Sangat menarik. (pada skala akulah... orang lain aku tak tahu ya!)

 

Membaca KMR aku jadi kagum yang amat pada si bakal doktor ini. Aduh dik Saidatul, jalur cerita Raudhah ini secantik pelangi, sewangi kasturi. Hati kak wan bagaikan kudup bunga yang berkembang mekar! dan bersenandung lagu ria dalam dunia yang penuh warna-warni. Indah dan mempesona.

 

Aku sukakan Raudhah yang cantik bestari. Sudahlah cantik bijak pula. Tapi adakalanya tindak tanduk Raudhah membuatkan hati aku geram. Dalam lembut, kerasnya terserlah. Raudhah yang adakalanya hati sekeras kerikil. Tegar dalam membuat keputusan. Tegas yang amat!

 

Aku juga sukakan Jack. Walaupun pada awalnya dia pernah jadi jahat. Jack yang pernah terpesong arah. Hidup dalam dunia yang kelam. Malah aku jatuh sayang pada sosok Jack yang baharu. Jack yang berubah menjadi manusia yang kembali berpegang teguh pada 'tali'Nya. Menjadikan islam sebagai Ad-deen sebagaimana selayaknya. Aku sukakan cara penulis 'membawa' Jack kembali pada nur-Nya. Bahkan bukan sekadar Jack, tetapi mereka yang berada di seputar kehidupan Jack.

 

Mungkin kisah yang dipaparkan hanya sekadar kisah yang biasa, TETAPI yang berbeza adalah bagaimana setiap penulis ingin membawa kita pembaca menikmati cereka yang diciptakan mereka. Cantiknya susunatur cerita terpulang pada pena penulis untuk mencorakkannya.

 

KMR di tangan Saidatul Saffaa adalah contoh secebis kisah 'biasa' yang diadun sempurna menjadikan ia amat istimewa. Kita tidak sekadar dibuai dengan kisah cinta si Uda dan Dara semata, tetapi terselit sama rasa cinta kita pada-Nya. Intipati yang dihidangkan bagaikan santapan rohani buat kita. Cantiknya cara penulis mengangkat persoalan muamalat buat tatapan kita. Sebaik-baik amalan dalam hal kemasyarakatan dipersembahkan pada pembaca dengan cara yang tak terduga. Begitu juga indahnya cara penulis mengangkat hal-hal berkaitan munakahat dengan cara yang penuh berhemah. Lembut dan tertib.

 

Dan apa yang menarik lagi, bagaimana tata cara perkahwinan tanpa kehadiran pengantin perempuan dalam majlis akad nikah dipersembahkan. Ia merupakan sesuatu yang unik. Perkara sah yang jarang dipraktikkan. Sesungguhnya ia sesuatu yang amat jarang kita (terutamanya aku) temui dalam masyarakat kita hari ini. Mungkin ada, tapi aku tak pernah jumpa. (cara perkahwinan ini mengingatkan aku pada karya Siti Hazneza Angin Dingin Dari Utara terbitan CESB... oh rindunya nak menatap karya terkini Siti Hazneza... Apa khabar Neza agaknya ya! =)

 

Ops berbalik pada KMR, sebenarnya bukanlah cara perkahwinan mereka yang ingin aku bentangkan, tetapi bagaimana cara penulis melakarkan 'cara' si suami mempersiapkan diri untuk menghadapi isterinya yang masih belum 'kenal' siapa dirinya dan bagaimana penerimaan si isteri apabila mendapat tahu siapa suaminya.

 

Segala ilmu, segala amalan yang dipersembahkan, menjadikan naskhah ini sangat istimewa. Lain daripada yang lain. Bacalah... nescaya ada sesuatu yang boleh kamu kutip melaluinya.

 

Buat Saidatul Saffaa. Tahniah! sesungguhnya KMR adalah buah tangan yang sangat indah, teruskan berkarya.!

Nota: Sudah lama aku tidak berkongsi rasa, aku bagaikan sudah tidak pandai untuk menyusun kata. Maafkan aku andai rasaku ini tidak sempurna sebagaimana yang kamu harapkan!


   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments