Entry: Yuda di Padang Maya Monday, April 19, 2010



Pengarang         : Xarine

Halaman            : 496

Tahun                  : Mac 2010

Terbitan              : Jemari Seni Publishing

Harga                   : RM20.00


Blurb:

 

... tiada manusia yang berseorangan ...

 

Cinta ini menolak hukum alam. Seperti cuba mencampurkan air dengan minyak, mempersahabatkan malaikat dengan syaitan, menyatukan kehidupan dan kematian. Cinta ini cinta yang mustahil.

 

"Puteri Silfia... kita hamba Tuhan yang sama tetapi dunia kita berbeza..." Azmi merenung mata puteri kayangan di depannya. Di mata Azmi, Silfia amat cantik. Meski bersayap dan bertanduk kecil.

 

Sampai ke tahap manakah seseorang sanggup berkorban untuk cinta? Sesetengah orang mungkin sanggup kehilangan segala-galanya untuk cinta. Dan mungkin ada yang sanggup merenangi lautan api untuk cinta. Tapi berapa ramai yang sanggup berkelana ke dunia dimensi lain demi cinta?

 

Untuk cinta Azmi sanggup ke dunia jin! Kerana persahabatan pula tiga siswa USM sanggup ke sana untuk menyelamatkan Azmi dan terperangkap di medan yuda! Tapi bagaimanakah kesudahan perang antara dua bangsa jin itu?

 

* * * * *

Sebuah roman percintaan luar biasa, dipersembahkan dengan cara yang tersendiri oleh XARINE!

 

* * * * *

Sinopsis :

 

Yuda di Padang Maya ini adalah naskhah kedua yang aku baca daripada penulis yang memegang title insinyur bernickname Xarine, selepas Bintang-Bintang Ke Syurga.

 

Novel ini terbahagi kepada '2 buku' iaitu Buku 1: Alam Manusia dan Buku 2: Alam Jin.

 

Buku 1: Alam Manusia

 

Kisah tentang Azmi, seorang anak istimewa, yang hidup dalam dunianya sendiri disebabkan oleh satu keadaan yang tak siapapun tahu.  Tak seorangpun sedar (kecuali orang-orang tertentu) bahawa dia ada 'kawan pendamping' yang sering menemaninya setiap masa.  Makhluk yang tak dapat dilihat oleh siapapun (kecuali 'dia' menampakkan diri). Bapanya pula seorang dukun yang terkenal dengan kebolehan mencari 'benda' yang hilang termasuklah orang.  Dan pastinyalah segala info daripada 'sahabat' Azmi.

 

Hinggalah dia menginjak dewasa dan berjaya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.  Dengan tekad yang baru, Azmi ingin lari daripada 'bayangan' bapanya.  Dia memohon sebagai 'cikgu' dengan harapan dapat menjalani hidup seperti manusia normal yang lain.  Tanpa rencana (atau sememangnya perancangan makhluk lain), berlakunya satu insiden di depan matanya dan dia tidak sampai hati untuk 'menutup mata'.  Ihsannya pada insan yang perlukan pertolongan membuatkan harapannya hanya tinggal harapan.

 

Ekoran daripada kejadian itu, dia berkenalan dengan 'Balqis' yang memohon bantuannya untuk membantu memulihkan ibunya yang sedang sakit.  Sakit akibat perbuatan sihir berbelas tahun yang lalu. Dalam masa yang sama dia berkenalan dengan Riduan, Amsyar & Zamsari senior yang terpaksa menyewa di luar (kampus) dek ketiadaan bilik (kampus) yang kosong.  Bilik-bilik yang pastinya prioriti harus diberikan pada pelajar junior (pelajar baru).

 

Satu demi satu insiden pelik berlaku, bermula dengan perkenalannya dengan 'Balqis' dan keluarganya, berlaku insiden di mana Riduan di'tegur' di rumah sewanya, perkenalan dengan Pak Karim dan pertemuan dengan Arissa yang buta. Semuanya membawa kepada tersingkapnya rahsia yang selama 17 tahun tersembunyi di sebalik 'sakit' Mastura – ibu Balqis.

 

 

Buku 2: Alam Jin

 

Rentetan daripada niat untuk memulihkan makcik Mastura, Arissa mencadangkan agar Azmi ke dunia jin. Tapi belum sempat Arissa 'menghantar' Azmi ke sana, Azmi telahpun diculik oleh 'Jin' (jahat).  Niat untuk membantu akhirnya Azmi yang harus dibantu. Demi menyelamatkan Azmi daripada terus dikuasai oleh 'roh' jahat, Zamsari, Riduan dan Amsyar dihantar ke sana untuk membawa Azmi dan makcik Mastura pulang ke dunia manusia.

 

Rupanya misi membawa Azmi & makcik Mastura balik tidak semudah yang disangkakan. Mereka -Riduan, Amsyar & Zamsari- terperangkap dalam kancah peperangan puak jin baik dengan jin jahat yang cuba untuk menghapuskan penganut agama wahyu.  Ya, jin juga ada kerajaan seperti kita di dunia. Ada agama yang mereka anuti. Ada Jin Islam, ada Jin kafir.

 

Berjayakan misi mereka, sekaligus kembali ke dunia realiti (manusia) sebagai manusia yang waras? Atau selamanya mereka terperangkap dalam tubuh dan dunia jin? Dan siapa sebenarnya 'Balqis' yang meminta pertolongan daripada Azmi?  Dan siapa sebenarnya makhluk yang selama ini menjadi pendamping Azmi? Wah! banyaknya rahsia yang perlu dibongkar!!

 

* * * * *

 

Sememangnya karya terbaharu daripada Xarine ini lain daripada yang lain!  Pada mulanya apabila mengetahui bahawa Jemari Seni bakal menerbitkan sebuah novel bergenre 'fiksyen' aku tertanya-tanya juga, bagaimana ya 'bentuk'nya?

 

Sebabnya, sebagaimana yang umum ketahui, salah satu daripada keutamaan JS adalah…  "karya-karya yang terpilih haruslah mempunyai nilai-nilai moral yang cemerlang... dan karya yang menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup menjadi keutamaan di Jemari Seni Publishing" (petikan dipinjam daripada laman sesawang JS), itulah yang membuatkan aku jadi cuak.

 

Membaca Yuda dengan perasaan yang tertanya-tanya. Perasaan ingin tahu 'rupa & bentuknya'. Bermula dengan helaian pertama ke helaian seterusnya.  Daripada Buku 1 hingga ke helaian terakhir Buku 2hey! baguslah novel ni…

 

Yuda merupakan sebuah naskhah yang sarat dengan info/gambaran tentang dunia 'mistik', dunia Jin yang kita tidak nampak dengan mata kasar tapi wajib percaya akan kewujudannya.  Sebagaimana satu firman Allah  "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.  (Az-Zariyat : 56)" sebagai bukti sahih akan kewujudan 'dunia' Jin.

 

Dalam naskhah kali ini penulis membawa kita pembacanya menjelajah dunia Jin, 'mengenali' makhluk yang menghuni 'dunia di sebelah sana'.  Dunia yang agak 'menyeramkan' aku. Entahlah mungkin pembaca lain tidak rasa apa-apapun tapi pada aku ia memang membuatkan bulu roma aku meremang ketika membaca naskhah ini.

 

Mungkin faktor membaca di waktu malam yang sudah melewati waktu tidur, bertemankan pekat malam, dengan cerita yang 'sebegitu' yang membuatkan bulu roma aku meremang.  Apatah lagi bila dihadapkan dengan insiden Zamsari terlihat makhluk hitam yang menekap di dinding tandas dengan kaki ke atas, kepala di bawah, menjelir-jelir lidah ke dalam mangkuk tandas..... uuuwwaaaaa tak sanggup!!!!

 

Mungkin disebabkan oleh kelemahan aku yang paling ketara, mudah larut dengan pembacaan. Mudah membayangkan benda-benda yang tak seharusnya aku fikirpun. Inikan sekadar cerita? Rekaan dan fiksyen penulis semata-mata... tapi itulah, susah aku nak pisahkan daripada dunia realiti bila sudah mula 'masuk' dengan cerita yang aku baca... Apatah lagi, bait kata yang tertulis dalam novel itu... 'setiap manusia tidak pernah berseorangan walau sesaat' memang 'menarik' ingatan aku terhadap 'mereka' yang berada di sekeliling aku.  Membuatkan aku terbayangkan benda yang bukan-bukan,... huhuhu

 

Cumanya bila memasuki Buku 2 rentak pembacaan aku agak perlahan berbanding dengan Buku 1.  Adakah kerana ia genre fiksyen? Aku tak rasa begitu kerana sebelum-sebelum ini aku layan juga fiksyen terutamanya karya Ramlee Awang Murshid yang ada elemen fiksyen terutamanya trilogi Bagaikan Puteri yang membariskan novel Cinta Sang Ratu & Hijab Sang Pencinta selain Bagaikan Puteri itu sendiri (dan yang terbaharu Cinta Sufi). Juga novel Amir Husaini yang berjudul Transgenesis : Bisikan Rimba. Jadi bukan sebab genre yang menyebabkan aku hilang punca (sekejap).

 

Aku cuba analisa diri apa yang membuatkan konsentrasi aku berubah.  Dan aku harus akui, nama (watak-watak penjahat di dunia jin) yang agak pelik-pelik, menyebabkan aku susah nak lekatkan di benak.  Mungkin kerana sebutannya yang agak membelit lidah jadi sukar untuk disebut, lalu aku hadapi kesukaran melancarkan pembacaan! huhuhuhu ada ke orang beri alasan sebegitu?? Susah nak sebut jadi mood membacapun berantakan? Orang lain aku tak pasti, tapi itulah yang aku rasa. Hatta bila membaca novel bukan fiksyenpun aku lebih sukakan watak hero/heroin diberi nama yang simple untuk mudah diingati.

 

Tapi, bila aku fikirkan kembali... namanya pun penjahat! takkan diberi nama yang bagus-baguskan?  Tak sesuailah dengan 'watak' jahatnya itu.  Bukankah nama juga mencerminkan keperibadian seseorang?  Jadi memang sesuai dah nama-nama yang penulis berikan pada watak antagonis itu. Nama-nama seperti Sughoir, Oggur, Alfus, Solbus, Botrus, Garmodus dan macam-macam 'us' lagi seharusnya secocok dah... tapi itulah...

 

Lagi satu, pada pendapat aku jika diletak terjemahan/glosari untuk perkataan-perkataan 'pelik' yang menjadi perbualan 'makhluk jin' tersebut pastinya lebih bagus lagi. Yelah, sebagai pembaca teringin juga nak tahu apa yang dibualkan oleh mereka? Kalau benar bahasa yang dipertuturkan itu Bahasa Arab? nak juga tahu apa maksudnya dalam Bahasa Melayu. Sekurang-kurangnya aku boleh belajar Bahasa Arab secara tidak langsung.   Atau jika benar tak ada maknapun, ianya cuma sekadar frasa perbualan mereka (makhluk jin) sekurang-kurangnya penulis rekalah apa-apa maknapun janji ada. Jadi tidaklah pembaca terutamanya aku, perlu membuat telahan sendiri.

 

Walau bagaimanapun, kredit harus diberikan pada 'pelukis' atas imaginasinya menggambarkan ilustrasi  peta lakaran kerajaan Arod, serta ilustrasi wajah makhluk keturunan Alfrit, Alfus, Sughoir & Oggur,  Walau itu cuma sekadar imaginasi pelukis semata, sekurang-kurangnya ia  sangat membantu aku 'mengenal' rupa makhluk pelik itu.  Lagi satu, aku harus memberi pujian pada penulis kerana berjaya menyelitkan lawak spontan. Apa taknya dalam kita dalam mood serius tiba-tiba ada 'insiden' yang menggeletek hati, yang membuatkan aku tergelak sorang-sorang.

 

Kamu bacalah... dan 'rasai' sendiri pengalaman Azmi, Riduan, Amsyar & Zamsari meneroka alam jin. Cuma satu saja pesan aku, kalau rasa diri tu penakut (seperti aku), jangan baca di waktu malam... hehehe nanti kamu langsung tak boleh nak lelapkan mata!

 

Buat penulis… Tahniah! Kerana naskhah ini tidak sekadar fiksyen semata tapi ada 'isi' berguna yang boleh dijadikan iktibar. Dan YA, kak wan tidak membuang masa secara percuma menatap Yuda di Padang Maya ini, tetapi ada ilmu yang dikongsi bersama, yang boleh kak wan jadikan pedoman.

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments