Entry: Galau Di Hati Seri Thursday, October 28, 2010



Pengarang      : Kusyi Hirdan

Halaman          : 526

Tahun               : Februari 2010

Terbitan          : NB Kara

Harga               : RM21.50


Blurb:

 

Seri Arina seorang penyanyi cuba mengubah pandangan umum terhadap dunia hiburan kepada persepsi yang lebih baik. Sesuai dengan imejnya sebagai artis bintang realiti yang bertudung, dia cuba berdakwah dengan caranya yang tersendiri. Biarpun cuba menghindari fitnah dan tohmah dunia yang penuh kepura-puraan ini, namun kealpaannya yang sedikit, menjadikan dia mangsa fitnah yang amat lelah.

 

Bagi Sulaiman pula, dunia politik adalah impiannya sejak kecil. Dia mengimpikan politik yang bersih dan jujur. Di masa yang sama, dia benar-benar bencikan dunia hiburan yang baginya, sesuatu yang cukup melalaikan. Namun tanpa Sulaiman sedar, dunia politik adalah lebih kotor dan cukup menjijikkan.

 

Baik Seri Arina mahupun Sulaiman, kedua-dua mereka tidak pernah bersua muka. Namun dalam peristiwa hitam rancangan sang durjana, mereka ditemukan. Ada rasa tidak suka antara mereka dan seringkali bersengketa. Namun tanpa sedar, titik hitam itulah membuat hati mereka berdua terpaut.

 

~~***~~

 

Galau Di Hati Seri (GDHS), adalah karya pertama Kusyi Hirdan yang saya baca.  Sebenarnya selepas beberapa kali 'terkena' saya jadi serik untuk membaca karya-karya penulis yang tidak pernah saya baca sebelumnya kecuali atas saranan teman-teman yang arif tentang 'selera' saya.  Secara puratanya saya telah membaca lebih daripada 300 buah novel selama saya bergelumang dengan novel (berdasarkan jumlah novel yang ada dalam simpanan saya, tidak termasuk koleksi novel daripada seberang *wink*). Sebenarnya jumlah ini adalah sedikit berbanding dengan pembaca lain, tetapi bagi saya yang membaca 'ikut mood', jumlah ini dikira boleh tahan juga kan?? *ngee*

 

Jadi pelbagai jenis genre, plot cerita, gaya bahasa yang telah saya temui/baca. Ada antaranya saya suka sangat. Yang akan saya ulang baca berkali-kali.  Ada antaranya suka juga laaa. Ada antaranya, boleh la, dan ada juga yang membuatkan rasa suka saya hilang terus. Membuatkan saya jadi pemilih yang tegar bila datangnya pertimbangan dalam membuat pilihan untuk bahan bacaan saya. Dan salah satu pertimbangan saya adalah siapa penulisnya, selain jalan cerita dan bahasanya.

 

Berbalik pada cerita ini, kali ini pertimbangan saya berdasarkan 'ingin cuba'.  Dan percubaan saya membuahkan hasil! Saya sukakan Galau Di Hati Seri ini.  Selain jalan cerita yang berjaya mengikat tumpuan saya, saya juga tidak mempunyai masalah dengan gaya bahasa penulisnya. Mungkin kerana beliau seorang wartawan, memberi kelebihan kepada beliau untuk berkarya.

 

Galau Di Hati Seri ini berkisah tentang perjuangan Seri Arina dalam dunia seni (suara). Dia yang dinobatkan sebagai juara pertandingan nyayian Bintang-Bintang menjadikan bidang ini sebagai medan untuk berdakwah. Sementelah pula penampilannya yang bertudung dan kebal dengan prinsip, memberi impak positif serta menjadi satu fenomena baru dalam dunia seni.  Walau sedar laluannya bukan mudah, apatah lagi dia penyanyi popular yang menjadi rebutan produser dan penerbit, juga menjadi 'intipan' pemberita (hiburan) yang dahagakan cerita-cerita 'panas', namun dia teguh mempertahankan misi dan visi yang diperjuangkannya.

 

Tentang Sulaiman Adnan, individu yang sangat cintakan dunia politik.  Dia ahli politik yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai teras perjuangannya. Dia ingin berbudi dan berbakti pada masyarakat melalui 'dunia politik'.  Namun dia sedar, tak semua mereka yang berkecimpung dalam kancah politik atas nama perjuangan menegakkan keadilan pada masyarakat. Bukan semua ahli politik 'lurus' dan jujur dalam perjuangan sebagaimana dia ingin lurus dan jujur membela nasib rakyat. Mereka ada agenda tersembunyi.

 

Tanpa sedar, baik Seri Arina mahupun Sulaiman Adnan, ada insan yang tidak senang dengan prinsip yang mereka junjung. Ada 'musuh' yang tidak senang dengan keberhasilan mereka. Yang ingin menjatuhkan mereka. Yang berhasrat meranapkan impian dan angan mereka untuk berbakti dengan cara mereka tersendiri. Dalam satu insiden yang tak terduga, mereka dipertemukan dalam keadaan yang sungguh mengaibkan. Mereka diaibkan oleh insan yang paling hampir dengan mereka semata-mata atas nama kepentingan diri sendiri!

 

Bagaimanakah nasib dan masa depan mereka? Berjayakah mereka menangkis tohmahan  yang dilemparkan pada mereka? Segalanya akan terjawab apabila anda membaca karya ini.

 

Membaca karya ini, saya membayangkan senario politik tanahair (yang bukan bidang dan minat saya!). Saya membayangkan 'warna-warni' dunia hiburan tanahair yang saya baca di dada-dada akhbar, dan terkini menerusi laman-laman sesawang yang menulis tentang corat-coret dunia hiburan.  Walaupun 'cerita hitam' yang termuat dalam karya ini hanya fiksyen, hanya imaginasi dan rekaan penulis semata, tapi bagi saya, sedikit sebanyak fenomena ini pasti wujud dalam dunia realiti.  Yelah, masakan ada pepatah "kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang?"  jika senario sebegini tidak berlaku masakan kita boleh baca di mana-mana medium yang memuatkan cerita tersebut? Dan sedikit sebanyak memberi ilham pada penulis untuk mengarap cerita? Ye dak?? Dan baik dunia politik mahupun dunia hiburan perasaan hasad dengki dan perasaan tidak senang akan kelebihan pihak lawan pasti ada.  Lagikan sesama adik-beradikpun boleh ada perasaan ini apatah lagi pihak yang berseteru?

 

Walau bagaimanapun, kita sebagai pembaca yang matang, akan membaca, mencerna dan membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam membuat sesuatu penilaian kerana dalam setiap 'fiksyen' yang dipentaskan di dada kertas, pastinya terselit walau tak banyak, sedikit pasti ada pengajarannya buat kita. Sekurang-kurangnya kita tidak bazirkan masa membaca 300 500 halaman hanya untuk sesuatu yang sia-sia tanpa manfaat.

 

   2 comments

frankenstein essays
March 24, 2011   02:26 PM PDT
 
Excellent posting here people will get lot of information with the help of posted information & topics from this blog. nice work keep it going.
writing a dissertation
December 7, 2010   03:57 PM PST
 
The good thing about your information is that it is explicit enough for students to grasp. Thanks for your efforts in spreading academic knowledge.

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments