Entry: Biarkan Aku Menangis Saturday, September 09, 2006



Pengarang       : Norhayati Berahim (NB)

Halaman         : 566

Tahun             : 2006

Terbitan          : NB Kara Sdn Bhd

Harga             : RM 21.50


Sarah ~ Setelah 7 tahun dia melayari bahagia bersama suami walaupun tanpa cahayamata pengikat kasih, keharmonian rumahtangganya mula bergolak. Perkahwinannya yang sememangnya tidak direstui oleh Wan Khadijah ibu mertuanya mengeruhkan lagi keadaan. Sebaik manapun layanan Sarah terhadap ibu mertuanya, sering dipandang serong. Dalam diam Wan Khadijah mengatur perkahwinan kedua untuk si anak dengan alasan Sarah mandul dan tidak mampu memberikan zuriat untuk suami. Dalam keterpaksaan Sarah merelakan si suami mencari bahagia, walaupun dia sedar dia tiada sebarang masalah untuk memberikan suaminya anak. Mungkin rezeki masih belum berpihak kepada mereka. Tatkala suami melafazkan akad kali kedua, Sarah membawa hati yang sakit, kecewa dan sedih ke Riau dengan harapan untuk mencari ketenangan. Hanya kepada Yusman dan Bibik Yuli tempat dia meluahkan perasaan.

 

Armin ~ Antara isteri yang dicintai dan ibu yang disayangi, dia tersepit. Hasutan demi hasutan, akhirnya dia tewas dan bersedia mengahwini Kartika gadis pilihan ibunya, dengan harapan untuk memperolehi zuriat akan terkabul. Keputusannya telah mencalar hati si isteri yang selama ini setia di sisi. Pada Armin, keturunannya tiada yang mandul dan tidak bermasalah untuk dikurniakan anak memandangkan dia mempunyai adik beradik yang ramai dari perkahwinan ibunya yang lepas-lepas.  Namun dia lupa, segalanya adalah ketentuan Allah. Karenah isteri keduanya, mengeruhkan lagi hubungannya dengan Sarah. Masalah demi masalah melanda hidupnya selepas dia berkahwin dengan Kartika.  Berjayakah Armin mendapat apa yang dihajatinya.?

 

Zamil ~ Dia ditinggalkan Atie, isterinya ketika dia masih lagi bergelar pelajar di bumi kaherah tanpa sebarang alasan. Segalanya cukup mengelirukan, penat dia mencari kesilapan diri, puas dia menilik diri, namun dia gagal menemui jawapannya. Selepas 3 tahun dia berjaya menamatkan sarjananya dan selama itulah dia kehilangan Atie tanpa sebarang berita. Kepulangannya ke Malaysia dengan harapan dan satu misi yang tertunggak. Mencari Atie isterinya dan merungkai segala kekeliruan yang melanda rumahtangganya. Segalanya terbongkar dan sedikit demi sedikit rahsia yang ditutup kejap oleh Atie terbentang di depan mata. Pencariannya ternoktah tatkala dia bertemu dengan Armin.

 

*****

 

Biarkan Aku Menangis karya terbaru NB ini mengajak kita menyelami gelodak jiwa yang menekan Sarah apabila dia dimadukan oleh suami yang dinikahi atas dasar cinta. Permasalahan tentang ketiadaan anak menyebabkan ibu mertua yang tidak sukakannya menuding jari kearahnya. Betapa rapuhnya cinta Armin, hanya dengan hasutan dan desakan ibunya, dia tewas dalam mempertahankan mahligai bahagia yang dibina bersama Sarah. Hanya untuk serpihan kaca Armin sanggup mengetepikan sebutir permata.

 

Biarkan Aku Menangis memperlihatkan betapa tabahnya seorang Sarah yang bangkit dari kelukaan dimadukan oleh suami, terpaksa berdepan dengan karenah ibu mertua yang penuh dengan perasaan dendam dan syak wasangka serta karenah madu yang mula membuat onar. Kewibawaannya tercabar apabila terpaksa berdepan dengan kartika yang sakit dan dihantar ke hospital di mana dia bertugas.

 

Sebuah kisah masyarakat, asam garam kehidupan dan kemelut yang berlaku dalam rumahtangga ekoran dari ketiadaan anak. Hanya kesabaran dan ketabahan yang menjadi pendorong semangat untuk mengatasi segala rintangan yang melanda. NB sinonim dengan watak heroin yang cekal, tabah serta sabar dalam menghadapi setiap ujian dan cabaran. Walau seribu dugaan yang melanda heroin tetap teguh berdiri di atas paksinya.

 

*Ini hanya sekadar RASA saya !!! *

 

   3 comments

ruby
September 15, 2006   09:49 AM PDT
 
nawwir,
nasihatkan untuk sarah ke tu?..syok pula dgr.
wan amalyn
September 11, 2006   01:50 PM PDT
 
Nawwir... nak tahu ending kenalah baca buku ni... :D
nawwir
September 11, 2006   01:08 PM PDT
 
wan,

nak tahu apa ending nya... huwa....

Dan satu nasihat utk sarah, jgnlah kamu membuang terlalu banyak airmatamu kepada mereka yg tidak tahu menghagai dirimu sarah.

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments