Entry: Aku Yang Kau Tinggalkan Wednesday, December 19, 2007



Pengarang : Hendan Yahya

Halaman    : 374

Tahun       : 2005

Terbitan     : Creative Enterprise

Harga        : RM 18.90


Blurb:

 

Cintamu umpama rumah api yang memberi pedoman di dalam pelayaranku ini.

 

Liyana Asyikin. Gadis yang diburu untuk dicintai… namun akhirnya dikhianati cintanya dengan kejam. Iqmal tidak mampu menolak alunan cinta yang mengepung rasa… dimatanya ada cinta yang membara pada gadis istimewa. Menyala kala ditiup bayu asmara… berdegup bersama jalinan rasa yang menggetarkan jiwa. Namun kerana dendam orang tua… Iqmal butakan mata dan pekakkan telinga demi melunaskan hasad yang tidak pernah padam.  Maruah seorang gadis akhirnya tergadai… terlerai dari tampuk hati yang suci murni. Apakah kehadiran Fairul dapat menyelamatkan Liyana Asyikin yang terlelong hatinya? Dan tanda yang Iqmal tinggalkan apakah dapat Fairul jaga dengan penuh kasih sayang bersama Liyana Asyikin yang dicintai sepenuh hati?

 

******

 

Aku Yang Kau Tinggalkan adalah buku ketiga selepas Nabila & Nabila 2 karya Hendan Yahya yang aku baca. Aku Yang Kau Tinggalkan kisah tentang pembalasan dendam.

 

Iqmal yang telah kehilangan ibunya, bertekad untuk membalas dendam pada wanita yang didakwa menjadi perosak rumahtangga ibunya. Padanya, kematian ibunya adalah berpunca dari menderita dengan sikap bapanya yang suka berpoya-poya dan mengabaikan ibunya.

 

Namun kematian wanita yang menjadi dalang, menyebabkan Iqmal nekad menjadikan Liyana Asyikin yang ditakdirkan adalah anak gadis pada wanita yang menyebabkan ibunya merana hingga ke akhir hayat.

 

Liyana Asyikin menjadi mangsa keadaan. Menjadi korban pada sakit hati Iqmal terhadap ibunya. Iqmal, walau dalam hatinya ada cinta yang mula menjalar pada Liyana Asyikin tapi hasutan dan desakan akal, dia tanpa sekelumit belas dan simpati, telah merosakkan masa depan Liyana. Niatnya hanya satu untuk memusnahkan masa depan manusia yang telah menyebabkan ibunya menderita.

 

Liyana Asyikin si gadis polos yang terperangkap dalam permainan perasaan telah menyerahkan seluruh rasa hatinya pada Iqmal yang disangka 'baik' tanpa mengetahui niat sebenar si jejaka. Pada Iqmal diserahkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi dan berimpian untuk hidup bahagia disamping Iqmal.

 

Fairul si jejaka rakan sekelas Liyana Asyikin hanya mampu memendam rasa cintanya pada Liyana kerana terang-terangan hati Liyana hanya untuk Iqmal. Bersama luka yang bukan sedikit… sendirian, Fairul cuba mengubat luka dihati.

 

Namun mendung berarak membawa khabar buruk… Liyana Asyikin bukan lagi si gadis yang mampu mempersembahkan mahkota suci pada si suami. Segala-galanya menjadi kelam, segelap malam tanpa bintang..!! Mahkotanya telah diragut tanpa sedarnya..!! Dan memaksa Liyana Asyikin melupakan impiannya untuk menamatkan pengajian di Maktab Ilmu Khas, lantaran dirinya yang telah hamil anak Iqmal.

 

Bagaimana nasib dan masa depan Liyana bersama anak yang tidak disahtaraf itu ?? Dan Iqmal… berbalaskah rasa dendam yang beraja dihatinya selama ini setelah berjaya memperdaya dan merosakkan masa depan Liyana ?? Dan Fairul… dapatkan diubati hati yang luka, sedangkan sekelumitpun dia tidak mampu untuk melupakan Liyana Asyikin yang telah mengambil seluruh tempat dalam hatinya..?? Segala-galanya hanya terjawap bila anda membaca kisah ini.

 

Menatap kisah ini pelbagai rasa yang bergolak di dada, kadang-kala aku kesian dengan Liyana yang terlalu percayakan kata-kata manis lelaki hidung belang itu. Dalam masa yang sama aku tak dapat nak salahkan Liyana yang tergoda pabila asyik disogokkan dengan belaian mesra dan kata-kata manis lelaki, yang selama ini dia tidak dapat merasainya tatkala bersama bapanya yang kaki judi dan peminum itu. Jadi pabila ada lelaki lain yang mengambil tempat, sudah pasti sedikit sebanyak dia rasa bahagia..!! Usai membaca, aku menarik nafas lega…!! Akhirnya buku bertemu dengan ruas..!!

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments