Entry: Laskar Pelangi Tuesday, April 08, 2008



Pengarang      :   Andrea Hirata

Halaman          :   447

Tahun               :   2007

Terbitan           :   PTS Litera Utama Sdn Bhd

                                (versi terjemahan)

Harga                :   RM 28.00


Blurb:

 

Pelbagai peristiwa menakjubkan terjadi pada zaman para anggota Laskar Pelangi masih kecil. Sebelas orang anak Melayu Belitong yang luar biasa ini tidak menyerah kalah walau keadaan tidak selalu menyebelahi mereka.

 

Lintang, si miskin cilik yang genius dengan senang hati berbasikal berulang alik sejauh 20 kilometer untuk menuntut ilmu meskipun kadang-kadang hanya sempat menyanyikan lagu Padamu Negeri pada akhir waktu sekolah. Mahar, selain bersekolah dia turut memarut kelapa untuk biaya keluarganya adalah seniman yang imaginatif dan kreatif meskipun dia sering dipersendakan sahabat-sahabatnya. Tetapi dia berjaya mengangkat darjat Sekolah Muhammadiyah di kampung mereka. Begitu juga kisah sembilan orang Laskar Pelangi lain yang bersemangat dalam menjalani kehidupan dan berjuang meraih cita-cita.

 

Selamilah kehidupan mereka, kejujuran pemikiran, dan indahnya pengembaraan mereka.  Anda akan tertawa, menangis dan tersentuh menghayati gelagat mereka. Novel ini dipersembahkan untuk mereka yang meyakini the magic of childhood memories, dan untuk mereka yang masih percaya akan adanya pintu keajaiban lain untuk mengubah dunia pendidikan.

* * * * * *

Laskar Pelangi merupakan novel pertama dari siri Tetralogi Laskar Pelangi (diikuti Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov - belum diterbitkan lagi).

Membaca novel ini, sesungguhnya banyak ilmu yang aku kutip. Selain semangat yang ditunjukkan oleh setiap ahli Laskar Pelangi dalam mengharungi pelbagai dugaan pahit manis semata-mata untuk menimba ilmu.

Walaupun Sekolah Muhammadiyah iaitu sekolah tertua di Belitong amat daif dan hampir ditutup kerana kekurangan murid, jika dibandingkan dengan Sekolah PN yang 'kaya & mewah', namun tidak sedikitpun mematahkan semangat juang mereka untuk mengaku kalah. Betapa semangat yang ditunjukkan oleh mereka benar-benar membuatkan aku terpaku. Betapa hebatnya mereka dalam darjah mereka yang tersendiri.

'Pengembaraan' mereka penuh dengan keajaiban. Kecintaan mereka pada ilmu, keunggulan nilai persahabatan mereka dalam menempuh kesukaran hidup, kemurnian prinsip mereka, sesungguhnya menyuntik satu semangat baru dalam 'dunia pendidikan' mereka. Mereka belajar bukan sahaja dalam bilik darjah yang sungguh daif, tapi pada mereka dunia ini merupakan 'bilik darjah' bagi mereka. Tempat di mana mereka 'belajar' untuk hidup selain belajar untuk pandai. Mereka belajar ilmu kehidupan.

Moral of the story, kemiskinan bukanlah satu simbol kebodohan dan kekayaan bukanlah penentu kecerdikan. Tapi mereka -anggota Laskar Pelangi- menjadikan kemiskinan mereka sebagai peniup semangat untuk merubah 'dunia' mereka iaitu dengan menjadi manusia yang bijak dan berilmu walau dalam keadaan apa, walau dengan apa cara sekalipun.! 

Aku nak anda baca buku ini dan alami sendiri pahit manis suka duka mereka -anggota Laskar Pelangi- berjuang untuk menimba ilmu walaupun dalam keadaan hidup yang serba kekurangan, dan ada kalanya mereka harus akur pada ketentuan yang maha Esa. Tapi aku pasti anda akan terhibur dengan gelagat mereka, walaupun di masa yang sama hati anda menangis hiba mengenangkan nasib yang menimpa mereka.

Dan aku yakin anda juga akan berkata pada diri anda sebagaimana aku kata pada diri aku sendiri "Betapa bertuahnya aku dapat belajar dengan tenang tanpa perlu memikirkan perkara lain selain belajar". Tetapi tidak pada mereka.! 

Bacalah.. dan alami sendiri pengalaman mereka, kerana sesungguhnya Laskar Pelangi ini merupakan simbol kemenangan pada mereka yang mengerti akan erti kesusahan hidup yang sebenar-benarnya.!!

"Dalam laut dapat ku kira... Dalamnya dusta siapa yang sangka?" ~ms 154

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments